Koleksi Kuih Muih Homemade Tak Rugi Cuba

Share

Koleksi resipi kuih muih Melayu sememangnya banyak jika disenaraikan. Semuanya punyai keistimewaan yang tersendiri. Jika dibeli pun belum tentu sedap sepertimana dibuat sendiri. Lebih puas makan dimasak sendiri kerana kita tahu apa yang kurang dan lebih bahan yang mahu diletakkan. Keria Keladi tidak kurang hebatnya. Rasa setanding dengan keria gula melaka yang menggunakan ubi keledek sebagai bahan utama. RASA senaraikan kuih muih yang buat anda terliur.

Kuih Keria Keladi

BAHAN-BAHAN:

  • 400gm keladi  |  kupas kulit  dan rebus
  • 150gm tepung gandum
  • Sedikit pewarna ungu
  • Garam secukupnya

UNTUK SIRA:

  • 1 cawan gula pasir
  • 1/2 cawan air
  • 1 sudu makan  air kapur

CARA MEMASAK:

1. Keladi yang telah direbus dilenyek hingga lumat. Gaulkan dgn sedikit garam dan sedikit pewarna ungu.

2. Gaulkan keladi dengan 100 gram tepung gandum dahulu. Uli hingga sebati. Kalau masih lembik, barulah tambahkan 50 gram lagi tepung sedikit-sedikit hingga boleh dibentuk. Tinggalkan sesudu tepung untuk digunakan bila membentuk doh.

3. Bentuk lah doh menjadi seperti roda. Jika melekit bolehlah gunakan lebihan tepung tadi untuk diletakkan di tapak tangan supaya tidak melekat.

4. Kemudian goreng doh tadi dalam api yang sederhana. Balik-balikkan supaya rata di kedua-dua belah. Masak hingga kekuningan. Angkat dan toskan. Ulangi langkah hingga selesai. Ketepikan.

5. Dalam kuali lain, didihkan gula bersama air dan air kapur. Masak sehingga airnya hampir kering dan melekit. Tutup api, alihkan dari dapur. masukkan kuih keria. Gaulkan kuih keria sehingga gulanya serata.

6. Sedia dinikmati.

LEPAT LABU

BAHAN-BAHAN:

  • 180gm labu | dikukus dan dilecek
  • 100gm tepung gandum
  • 100gm santan
  • 85gm gula pasir
  • 1/4 sudu teh garam
  • 1/2 biji kelapa putih parut | digaul bersama sedikit garam
  • Daun pisang yang dilayurkan

CARA MEMASAK:

  1. Gaul labu bersama gula hingga sebati. Kemudian masukkan tepung gandum. Kacau rata.
  2. Seterusnya masukkan santan dan garam. Kacau lagi sehingga semua bahan mesra.
  3. Ambil satu sudu makan adunan dan ratakan di atas daun pisang.
  4. Letakkan kelapa parut di tengah-tengah adunan dan tutupkan dengan sedikit adunan labu di atasnya.
  5. Bungkus memanjang dan kukus selama 25-30 minit atau sehingga masak.

TALAM PISANG

BAHAN-BAHAN:
BAHAN LAPISAN BAWAH :-

  • 3½ cawan santan
  • 1¼ cawan tepung beras
  • ½ cawan tepung gandum
  • ½ cawan gula
  • 1 cawan pisang  | lenyek
  • ½ sudu teh Garam
  • Pewarna kuning secukupnya

BAHAN LAPISAN BAWAH :-

  • 3 cawan santan
  • ¾ cawan tepung gandum
  • ¼ cawan tepung jagung
  • ¼ cawan gula
  • ½ sudu teh garam
  • 2 sudu makan air pekat perahan daun pandan

CARA MEMASAK:

  1. Guna acuan 9 inci. Sediakan lapisan bawah. Campurkan kesemua bahan, kecuali pisang lenyek, gaul sebati  dan tapis.
  2. Masak di atas api kecil sehingga naik wap.
  3. Masukkan pisang lenyek  dan masak sehingga naik wap.
  4. Tuang ke dalam tin dan kukus selama 15 minit.
  5. Garu permukaan dengan garpu sebelum dituangkan lapisan atas.
  6. Untuk menyediakan lapisan atas. Campurkan kesemua bahan sehingga sebati dan tapis.
  7. Masak di atas api kecil sehingga naik wap.
  8. Tuang ke atas lapisan pertama tadi dan kukus selama 20 minit.
  9. Sejukkan sebelum dipotong.
  10. Sedia dinikmati.

KUIH BADAK BERENDAM

BAHAN DOH:
250gm tepung pulut
350ml air kisaran daun pandan
1/2 sudu teh garam


Pewarna hijau dan kuning
secukupnya

BAHAN INTI:
200gm kelapa parut putih
150gm gula merah
1 helai daun pandan
125ml air
Gula pasir secukupnya | jika suka

BAHAN KUAH:
400ml santan
1/2 sudu makan tepung beras
1/2 sudu teh garam

CARA MEMASAK:
1. Untuk menyediakan inti, masak gula melaka dan gula pasir bersama air dan daun pandan hingga gula larut. Tambah jumlah air jika perlu.
2. Masukkan kelapa parut dan kacau sehingga kering. Ketepikan dan biarkan sejuk sebelum dibulatkan sebesar guli.
3. Untuk kuah pula, campur semua bahan lalu dimasak sehingga pekat. Tutup api dan ketepikan.
4. Bagi menyediakan doh, larutkan garam ke dalam air pandan. Tuang sedikit demi sedikit ke dalam tepung sehingga menjadi doh yang boleh dibentuk dan melekat di tangan. Bahagikan doh kepada dua bahagian dan warnakan.
5. Ambil sedikit doh dan leperkan. Letakkan inti kelapa di tengahnya dan dikelim rapat. Ulang proses sehingga doh habis.
6. Didihkan air dan masukkan doh yang dibulatkan tadi. Biar sehingga timbul di permukaan air.
7. Angkat dan toskan airnya. Masukkan ke dalam kuah yang telah siap dimasak tadi. Sedia untuk dinikmati.

TOK AJI SERBAN 

BAHAN-BAHAN A
(BAHAGIAN BAWAH):

2 cawan beras pulut | dibersihkan dan tos
250ml santan cair
Sedikit garam

BAHAN BAHAGIAN B
(BAHAGIAN ATAS):

3 biji telur
500ml santan pekat
150gm gula merah
150gm gula pasir

CARA MEMASAK:
1. Untuk membuat bahagian pulut; masak beras pulut bersama santan.
2. Tuang pulut ke dalam loyang bersaiz 6 inci. Tekan permukaannya supaya padat. Ketepikan.
3. Untuk membuat bahagian atas; kisar semua bahan B dan tuang di atas adunan pulut tadi. Kukus selama satu jam.
4. Angkat dan biarkan sehingga agak sejuk sebelum dipotong.

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

 

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:

https://www.rasa.my/resipi-nasi-kerabu-kuning-sedap-masak-sendiri-baru-puas-makan/

https://www.rasa.my/resipi-rojak-ayam-sedap-masak-sendiri-puas-hati-lebih-jimat/

https://www.rasa.my/cara-masak-oden-homemade-ala-family-mart-sedap-puas-makan/

https://www.rasa.my/jom-cuba-resipi-kuih-kole-kacang-sedap-mudah-kurang-manis/

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official

 

Published by
Putri