Kupi Sojuk, Kopi Tepi Jalan Tapi Rasa Premium

Share

 

 

Bagi peminat kopi, kini anda mempunyai satu lagi pilihan untuk dicuba. Namun percayalah, kopi ini mungkin boleh jadi salah satu kopi yang ada dalam senarai mesti cuba dan dibeli berulang kali.

 

RASA bertuah kerana dapat mencuba kopi ini di gerainya yang dibuka di Padang Jawa, Shah Alam. Berbicara dengan Rakan Niaga Kupi Sojuk Atok Kayo Shah Alam, Ariff Khalid, nyata kopi yang dijual di jalanan ini mempunyai masa depan cerah kerana rasanya yang sedap sesuai dengan tagline

Boto-Boto Kaw (Betul-Betul Kaw).

Ejaan jenama kopi ini adalah mengikut loghat Negeri Sembilan kerana pemiliknya berasal dari sana.

KEUNIKAN

 

Cita rasa kopi yang sedap sudah semestinya menggabungkan rasa pahit dan manis. Cukup lengkap rasa secawan kopi apabila kopinya tidak tawar walau ais mulai mencair. Inilah yang membuatkan Kupi Sojuk dapat mengekalkan rasa sedapnya.

 

“Boleh saya katakan keunikan rasa kopi ini adalah kopi yang ada rasa coklat. Selagi tak dicuba, memang takkan tahu. Jadi peminat kopi kena cuba sendiri kopi ini kemudian bolehlah berikan pendapat. Bagi anda yang suka kopi, boleh cuba Kupi Sojuk kerana rasanya premium seperti jenama-jenama besar tapi harganya mampu milik. Setakat ini, yang telah mencuba memberikan maklum balas positif,” kata Ariff memulakan bicara.

 

Ada tiga menu yang boleh dipilih iaitu kopi sahaja, kopi ditambah aiskrim atau float dan kopi ditambah cendol. Setiap satu menu mempunyai rasa tersendiri dan pasti membuatkan anda menggemari rasanya.

PELUANG BISNES

Menurut Ariff, jenama kopi ini masih baru dan mengalu-alukan anak muda untuk menyertainya. Dengan modal serendah RM490, anda berpeluang bergiat dalam bisnes kopi yang mempunyai pasaran sangat luas.

 

“Bisnes kopi mudah diurus dan berpotensi untuk pergi jauh. Pasaran kopi ni besar. Lagipun belum ada konsep jualan kopi yang rasanya premium tapi harganya mampu milik. Dengan menyasarkan pelanggan di lokasi strategik, pasti jualan kopi boleh mendapat sambutan hebat,” ujar Ariff menutup bicara.

 

 

INFO GERAI
NAMA GERAI: Kupi Sojuk Atok Kayo
PEMILIK: Ariff Khalid
LOKASI: Padang Jawa, Shah Alam (depan Restoran Mohd Chan)
WAKTU OPERASI: 9.30 pagi – 5.30 petang
WAJIB CUBA: Kopi tambah aiskrim

Published by
Maryam Elyas