Lebih 40 Menu Asli Padang Dihidangkan Di Padangs On Wheels

Share

Rindukan masakan padang dengan deretan menu yang menyelerakan, hidangan di Padangs On Wheels memang tidak mengecewakan. Sempurna rasa, apabila lauk pauk ini dimakan dengan nasi panas-panas memang bertambah makan.

Restoran ini diusahakan oleh Abjda Zulkifli, Sukinah Zulkifli dan Farrah Adeeba Mohamed Ashraf sejak tahun 2016 bermula secara kecilan dengan jualan menggunakan perkhidmatan ‘trak makanan’ di mana juadah disediakan dari “dapur pusat”.

Namun di atas permintaan pelanggan, mereka seterusnya membuka dua lagi cawangan restoran terletak di S13 Shah Alam dan Subang Bestari. Cawangan Subang Bestari yang dibuka melalui sistem francais menjadi langkah pertama Padangs OnWheels melebarkan sayapnya.

Kedua-dua restoran berkeluasan hampir empat ribu kaki persegi mampu mengadakan majlis berskala kecil seperti ulang tahun perkahwinan, hari keluarga, hari lahir malah sering menerima tempahan resepsi jamuan makan pernikahan untuk tetamu seramai 200 orang pada setiap satu masa.

Abjda dan Sukinah yang berketurunan Minang menjadikan resipi arwah nenek mereka yang berhijrah dari Sungai Limau, Pariaman, Padang sebagai tanda aras serta rujukan setiap juadah di sini. Padangs On Wheels menyajikan lebih daripada 40 menu asli Padang serta lebih daripada 30 kuih-muih tradisi dan kontemporari setiap hari.

Antara menu “best seller” restoran ini termasuk gulai tunjang (gulai urat), rendang minang, gulai ayam kalio, daging dendeng (versi rangup), daging balado (versi lembut), bakso, soto, lontong dan pastinya sambal hijo dan sambal merah. Malah sambal Padangs On Wheels yang dimasak segar setiap hari sering kehabisan kerana permintaannya yang cukup tinggi. Justeru syarikat ini sedang melalui proses dan fasa R&D menghasilkan sambal secara komersial.

Konsep restoran bertema moden kontemporari turut menjadi tarikan pelanggan kerana suasana dalamannya segar, menghijau, bersih serta berhawa dingin selain menyajikan lauk-pauk sesuai dengan citarasa harian rakyat Malaysia.

Padangs On Wheels beroperasi seawal jam 7.30am sehingga 7pm pada waktu biasa dan dari jam 8.30am sehingga 7pm sepanjang PKP. Pelanggan sekitar Shah Alam dan Subang Bestari juga boleh menempah makanan melalui grabfood dan food panda. Manakala pelanggan dari kawasan luar radius restoran boleh mengubungi 018-2496642 untuk tempahan penghantaran makanan ke rumah.

 

Published by
Putri