Lembut & Sangat Sedap! Chef Jason Kongsi 3 Resipi Istimewa Masak Guna Daging Halal Dari Australia

Share

Sajian Malaysia penuh dengan rasa yang enak dan menyelerakan. Adunan pelbagai ramuan serta rempah menjadikan makanan negera ini makin dikenali serta digemari ramai bahkan menjadi bualan masyarakat di luar negara. Selain penggunaan bahan mentah yang segar dan berkualiti, pemilihan daging juga amat penting dalam penghasilan sajian yang memukau selera.

Bersempena Webinar Halal Integrity of Australian Beef and Lamb from Farm to Table, Chef Jason Manson telah berkongsi 3 resipi istimewa menggunakan daging dari Australia yang pastinya memenuhi cita rasa dan selera tempatan.

Webinar ini juga turut menampilkan 3 orang speaker yang memberi penerangan lanjut mengenai daging lembu & kambing Halal dari Australia iaitu Encik Sanjay Boothalingam dari Australian Agriculture Counsellor, Australian High Commission, Encik Terry Nolan, wakil dari Australian Meat Industry Council (AMIC) dan Cik Valeska Valeska, Regional Manager for Southeast Asia, Meat & Livestock Australia.

 

1. AUSTRALIAN BEEF RENDANG (RENDANG DAGING)

BAHAN-BAHAN:
500gm kiub daging lembu Halal Australia
1 kuntum bunga lawang
1 keping kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
2 helai daun kunyit
3 helai daun limau purut – hiris nipis
4 sudu makan kerisik
4 sudu makan gula melaka / gula kabung
Garam secukup rasa
1 cawan minyak masak
1 cawan santan

BAHAN KISAR:
7 biji bawang merah


10 ulas bawang putih
4 inci halia
2 inci kunyit segar
2 inci lengkuas
5 batang serai
6 tangkai cili merah

BAHAN SANGAI/GORENG TANPA MINYAK:
½ sudu teh jintan manis
½ sudu teh jintan putih
½ sudu teh biji ketumbar

CARA MEMASAK:
1. Panaskan periuk saiz sederhana dan masukkan minyak masak.
2. Tumis kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga. Kemudian masukkan bahan kisar bersama bahan-bahan yang disangai.
3. Tumis dan kacau semua bahan hingga mula naik bau.
4. Masukkan daging yang telah dipotong kiub dan gaul sebati bersama rempah tumis tadi. Masukkan juga daun kunyit.
5. Bila daging kelihatan sebati bersama rempah, masukkan santan dan kacau sebati. Masak guna api sederhana hingga daging lembut dan empuk.
6. Bila daging sudah masak, tambahkan kerisik dan juga daun limau purut. Perasakan dengan gula melaka yang telah diparut dan juga garam secukupnya.

 

2. CHEF JASON’S AUSTRALIAN BEEF SOTO (SOTO DAGING)

BAHAN-BAHAN:
400gm kepingan daging lembu Halal Australia – hiris nipis
750gm bihun – dicelur
150gm timun – hiris nipis
150gm tauge – buang akarnya
5 biji telur – rebus
50gm hirisan ketumbar – untuk hiasan
50gm hirisan daun bawang – untuk hiasan
3 biji limau – potong dua
2 sudu makan minyak masak

BAHAN AIR REBUSAN DAGING :
1.5 liter air
6 kiub pati daging
1 uncang sup bunjut

BAHAN KISAR:
3 batang serai
3 biji bawang merah kecil
2 inci halia
2 ulas bawang putih
2 ketul kunyit segar

CARA MEMASAK:
1. Panaskan periuk, masukkan minyak dan tumis bahan kisar hingga masak.
2. Bila bahan kisar telah masak, masukkan air rebusan daging dan masak lagi hingga mendidih anggaran 10-15 minit. Kecilkan api dan biarkan kuah mereneh.
3. Untuk menghidang, masukkan bihun yang telah dicelur ke dalam mangkuk bersama hirisan timun dan tauge.


4. Ambil hirisan daging, celur seketika di dalam sup panas selama 1 minit dan letakkan di dalam mangkuk berisi bihun tadi.
5. Tuang 1-2 senduk kuah sup panas ke dalam mangkuk.
6. Hiaskan dengan hirisan ketumbar, daun bawang, bawang goreng dan juga limau.

 

3. STIR-FRIED AUSTRALIAN BEEF WITH BELIMBING BULUH (DAGING GORENG BERSAMA BELIMBING BULUH)

BAHAN-BAHAN:
300gm kepingan daging lembu Halal Australia
200gm Belimbing Buluh – potong dua
100gm Taucu
1 sudu makan kicap pekat
1 sudu makan kicap cair
1 sudu makan sos tiram
2 sudu makan gula
3 biji bawang merah – potong baji nipis
3 biji cili padi merah – hiris
2 ulas bawang putih – cincang
½ cawan minyak masak

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak masak dan tumis bawang putih. Kemudian masukkan taucu, kicap cair, kicap pekat, sos tiram dan gula. Tumis hingga wangi.


2. Kemudian masukkan hirian daging. Kacau hingga sebati bersama sos.
3. Tambahkan hirisan cili dan bawang merah. Goreng selama 2 minit.
4. Akhir sekali, msukkan belimbing buluh. Goreng lagi selama 1 minit.
5. Hiaskan dengan hirisan cili merah dan hidangkan bersama nasi panas.

Wow…Nampak sedap kan? Masak menggunakan daging lembu dan kambing Halal dari Australia ini ternyata lazat dan berkhasiat. Nak masak menu Asia lain atau masakan Barat pun boleh menggunakan daging dari Australia ni. Ini kerana dagingnya yang berkualiti, segar dan lembut. Malah bagi orang muslim, tidak perlu lagi rasa was-was bila menikmatinya.

 

NIKMATI DAGING HALAL AUSTRALIA TANPA RAGU

Australia adalah pembekal daging dan produk daging yang dipercayai malah telah membekalkan produk daging lembu dan kambing halal ke lebih 100 buah negara termasuk Timur Tengah, Indonesia dan Malaysia.

Peka akan kepentingan ‘Halal’ dalam sumber makanan masyarakat Muslim, haiwan ternakan di negara ini dipastikan memenuhi syarat serta kriteria yang ditetapkan oleh undang-undang Islam.

Di Autralia, haiwan ternakan dibela dengan baik dalam persekitaran yang bersih dan bebas dari penyakit. Haiwan-haiwan ternakan dibiarkan merumput secara bebas di padang ragut. Ini adalah selaras dengan undang-undang pihak berkuasa tempatan bagi menjaga kebajikan haiwan ternakan. Maka tidak hairanlah Australia mampu menghasilkan daging lembu dan kambing Halal yang berkualiti tinggi secara konsisten.

Baru-baru ini satu kajian oleh Meat and Livestock Australia (MLA) telah mendedahkan bahawa haiwan yang dibesarkan dan diproses dalam persekitaran bebas tekanan akan menghasilkan daging berkualiti yang konsisten, lebih bersih, selamat dan berkhasiat menjadikan daging-daging ini pilihan terbaik untuk dinikmati oleh para pengguna.

 

MACAM MANA DAGING UNTUK PASARAN MALAYSIA DIPROSES?

Semua lembu, biri-biri dan kambing yang diproses di Australia untuk pasaran Malaysia disembelih oleh orang Islam bertauliah di bawah Program Halal Selia Kerajaan Australia (Australian Government Supervised Halal Programme). Ia adalah salah satu program yang diselia oleh Jabatan Pertanian Persekutuan (Federal Department of Agriculture) di Australia.

Selain itu, semua kemudahan pemprosesan di Australia hanya menggunakan penyembelih Muslim yang berdaftar dan terlatih dari Halal Certifying Bodies yang diiktiraf dan diluluskan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

Sebelum diimport ke Malaysia, daging akan diperiksa dengan teliti supaya mematuhi standard Halal oleh wakil-wakil yang dilantik. Terdapat juga syarat-syarat lain yang perlu dipatuhi malah setiap penghantaran dilengkapi dengan sijil Halal dan sijil Kesihatan.

Oleh itu tidak perlu lagi ragu-ragu untuk membeli dan menikmati seleksi daging Halal dari Australia ini. Macam-macam menu boleh disediakan dan pastinya bakal menggembirakan seisi keluarga.

Selamat mencuba!

Published by
Nur