Lie Familia Tawar Hidangan Itali dan Mexico Bawah RM10

Share

Apabila mencari makanan jalanan atau streetfood, dua perkara penting yang difikirkan adalah rasa mesti sedap dan harganya murah. Kalau dapat dua perkara ini, itu sudah sangat berbaloi. Antara foodtruck yang boleh memenuhi dua kriteria ini adalah Lie Familia. Foodtruck ini menyediakan menu makanan Itali dan Mexico. Paling menarik, harganya di bawah RM10.

Memulakan perniagaan sejak 16 Mei 2015, foodtruck ini memang mendapat sambutan yang amat memberangsangkan. Hidangan Itali dan Mexico dijual pada harga murah menjadikan menu di sini menarik perhatian orang sekeliling.

"Lie Familia memilih menu berasaskan makanan Itali dan Mexico kerana menu sebegini agak susah didapati melalui jualan foodtruck. Lagi pula dijual pada harga murah. Sebab tu kami keluarkan idea untuk membuat menu ini," kata Asyraf.

Tampil dengan resipi yang diolah daripada resipi asal, menjadikan Lie Familia mengeluarkan hidangan yang bercita rasa enak dan memuaskan. Olahan tidak menjejaskan cita rasa asal. Cuma disesuaikan dengan porsi untuk gaya hidangan streetfood.

Memiliki tiga foodtruck, kini Lie Familia fokus untuk perniagaan harian dan juga di majlis-majlis tertentu. Banyak permintaan diterima disebabkan pelanggan menggemari cita rasa menu Lie Familia yang diusahakan oleh Asyraf yang juga bekas seorang chef hotel.

"Saya mempunyai empat orang krew yang membantu saya menjaga foodtruck ini. Saya lebih banyak memantau semua menu disediakan mengikut resipi dan mematuhi piawaian SOP yang telah ditetapkan. Cabaran berniaga foodtruck adalah persaingan. Jadi kita kena kekal sedap barulah pelanggan jadi setia," ujarnya menutup bicara.

Nama gerai: Lie Familia
Pemilik: Asyraf
Lokasi:Jalan Setia Gemilang BG U13/BG dan Jalan Setia Utama AR U13/AR, Shah Alam
Waktu operasi: 4 petang hingga 12 tengah malam

Published by
Siti Mariam Elias