Bagi mereka yang mudah mendapat alergi , telur adalah satu ramuan makanan yang patut dielakkan. Terdapat banyak koleksi menu kuih muih tradisi yang tidak mengandungi telur. Jadi sesuai sangat bagi mereka yang alergi.

Dahlah sedap kosnya pula sangat menjimatkan. Boleh jamu famili sampai puas dan kenyang. Jom semak resipi dari Chef Fame Taufiq Fakarudin dari UOW Malaysia KDU University College

1. PULUT DAKAP @ PULUT PISANG

IKLAN

BAHAN-BAHAN :

  • 400gm beras pulut | direndam selama sejam bersama beberapa titik pewarna
  • 250gm santan pekat
  • 50gm gula
  • 15gm garam
  • 5 biji pisang raja @ secukupnya
  • Daun pisang secukupnya | dilayur
  • Beberapa helai tali untuk mengikat
  • Beberapa titik pewarna jika suka

CARA MEMASAK:

1. Panaskan air didalam periuk kukus
2. Keringkan beras pulut yang telah direndam.
3. Letakkan di atas dulang yang dilapik daun pisang dan kukus pulut selama 25-35 minit, separuh atau 3/4 masak
4. Keluarkan pulut yang dikukus dan gaulkan santan, gula dan garam sebati
5. Layukan daun pisang untuk dibuat pembalut
6. Kupas kulit buah pisang dan belah 2 pisang secara melintang/memanjang
7. Letak sebanyak 120gm pulut tadi ditengak daun pisang secara melintang,ratakan.
8. Letakkan buah pisang yang dipotong di tengah tengah pulut.
9. Lipat 2 daun pisang tapi pastikan pulut membalut buah pisang
10. Gulungkan daun pisang, pastikan pulut dan buah pisang berada ditengah
11. Lipatkan kiri dan kanan daun pisang tadi dan pastikan balutan tadi kemas dan padat
12. Ambil 2 biji kuih yang telah dibalut tadi dan satukan kuih tadi, atas dan bawah
13. Ikat keliling 2 kuih dengan tali untuk dijadikan satu,pastikan ikatan kuat dan kemas
14. Letakkan di atas dulang dan kukuskan selama 10-15 minit
15. Keluarkan dari pengukus dan sedia untuk dihidang

Saiz Hidangan : 10 orang
Waktu memasak : 20 minit
Cara memasak : Kukus
Jenis masakan : Kuih tradisional
Keistimewaan : Gandingan rasa lemak pulut dan pisang yang manis
Anggaran kos : RM 12

INFO CHEF : Elok pilih pisang raja sebab tak mudah lembik macam jenis pisang lain.

2. KACANG KASTURI

BAHAN-BAHAN:

Bahan inti kacang hijau:

  • 250gm kacang hijau | direbus empuk
  • 150gm kelapa parut
  • 180gm gula
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak untuk menggoreng

Bahan bancuhan tepung:

  • 200gm tepung gandum
  • 100gm tepung beras
  • 5gm garam
  • 5gm gula
  • 2gm serbuk kunyit
  • 50ml air kapur
  • 300ml air

CARA MEMASAK:

IKLAN

Cara masak inti :
1. Gaulkan kacan hijau bersama kelapa parut, gula dan garam sehingga sebati
2. Kepalkan adunan tadi sebesar bola gof dan tekan setebal 10mm

Cara memasak kuih kasturi:
1. Bancuh kesemua bahan adunan di dalam balang pengisar, kisar sehingga sebati.
2. Panaskan minyak di dalam kuali
3. Celupkan kepalan kacang hijau tadi ke dalam adunan tepung
4. Goreng sehingga kuning keemasan
5. Sedia dihidangkan

Saiz Hidangan : 10 orang
Waktu memasak : 40 minit
Cara memasak : Goreng
Jenis masakan : Kuih tradisional
Keistimewaan : Gandingan rasa lemak pulut dan pisang yang manis
Anggaran kos : RM 8

INFO CHEF : Ada yang panggil kuih kasturi, kuih kacang hijau atau kuih rengas tapi cara memasaknya sama sahaja. Rasa inti kacang hijau berkrim dan bancuhan tepung diluar merangupkan kuih ini.

3. APAM ENO BERAS

BAHAN-BAHAN

Bahan Apam:

  • 400gm tepung beras
  • 200gm nasi sejuk
  • 500ml air
  • 10gm yis kering
  • 60gm gula
  • Garam secukup rasa
  • 1 paket ENO
  • Beberapa titik pewarna

Bahan kelapa parut :

  • 2 biji kelapa parut | ambil yang putih sahaja
  • Garam secukup rasa
    *Gaulkan

CARA MEMASAK:

1. Campurkan nasi, gula, air dan yis ke dalam pengisar dan kisar sehingga halus
2. Tuangkan ke dalam bekas tepung beras dan gaul sehingga sebati
3. Perap adunan tadi selama 2-3 jam di dalam bekas yang tertutup.
4. Campurkann ENO kedalam adunan dan bahagikan kepada dua adunan
5. Campurkan satu adunan pewarna merah
6. Masukkan adunan merah kedalam acuan yang disapukan sedikit minyak dan paipkan adunan putih keatas/ke dalam adunan merah
7. Kukus selama 10-15minit
8. Sedia untuk dihidangkan dan taburkan kelapa parut pada apam yang telah dimasak

Saiz Hidangan : 12 orang
Waktu memasak : 5 jam 20 minit
Cara memasak : Kukus
Jenis masakan : Kuih tradisional
Keistimewaan : Eno dan tapai menjadikan tekstur apam gebu dan lembut lagi enak
Anggaran kos : RM 8

INFO CHEF : Kukus sekejap kelapa parut agar tahan lama dan tak cepat basi.

4. CARA BERLAUK

BAHAN-BAHAN :

Bahan Inti :

  • 200gm daging | dikisar
  • 60gm serbuk kari
  • 60ml air
  • 50gm bawang putih | dicincang
  • 120gm bawang besar | dipotong dadu kecil
  • 20ml minyak masak
  • Garam dan lada sulah secukupnya
  • 5gm gula

Bahan hiasan :

  • 100gm cili Merah
  • 50gm bawang goreng
  • 50gm daun bawang
  • 50gm daun sup

Bahan adunan kuih cara :

  • 200gm tepung gandum
  • 450ml santan cair
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • Serbuk kunyit secukupnya

CARA MEMASAK :

Cara masak inti:
1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih, bawang besar sehingga kekuningan
2. Masukkan rempah kari yang dicampurkan air dan masak sehingga pecah minyak
3. Masukkan daging bersama lada sulah dan kacau sehingga air kering
4. Masukkan garam dan gula secukup rasa

Cara masak kuih :
1. Bancuh kesemua bahan adunan di dalam balang pengisar, kisar sehingga sebati.
2. Panaskan loyang dan sapu sedikit minyak, tuang adunan ke dalam acuan
3. Sudukan inti ke atas adunan tadi, kemudian taburkan bahan hiasan di atas inti
4. Tutup Loyang dengan penutup
5. Masak selama 4-5minit diatas api yang perlahan
6. Cungkilkan kuih cara yang telah masak dan hidangkan apabila sejuk

Saiz Hidangan : 10 orang
Waktu memasak : 30 minit
Cara memasak : Kukus
Jenis masakan : Kuih tradisional
Keistimewaan : Inti daging menjadikan ia kuih yang mengenyangkan
Anggaran kos : RM 15

INFO CHEF : Boleh juga menggantikan daging dengan ayam atau tuna. Tapi daging pilihan yang paling sedap.

5. KUIH JONGKONG

BAHAN-BAHAN :

Bahan hijau manis :

  • 200gm tepung beras
  • 600gm santan cair
  • 25gm gula
  • 30gm garam
  • 10 helai daun pandan
  • 150gm gula kabung/Melaka, dihiris halus

Bahan putih pekat :

  • 200gm santan pekat
  • 30gm tepung jagung
  • Garam secukup rasa

Daun pisang untuk membalut | potong sebesar 2 inci

CARA MEMASAK :

1. Kisarkan santan cair bersama daun pandan, tapis
2. Di dalam pengisar yang sama, kiraskan tepung beras, gula, garam dan santan pandan sehingga sebati
3. Tuang kedalam periuk
4. Kacau dan masak adunan tadi di atas api yang sederhana sehingga pekat
5. Di dalam periuk yang berasingan, kacau dan masak santan pekat bersama tepung jagung dan garam diatas api yang sederhana sehinggan pekat.
6. Potong daun pisang dan layurkan di atas api
7. Letak 1 1/2 sudu besar adunan pekat yang berwarna hijau di tengah tengah daun pisang
8. Taburkan hirisan halus gula Melaka ditengah adunan hijau tadi, sudukan 1 sudu besar adunan hijau untuk menutupi gula Melaka tadi
9. Sudukan pula satu sudu besar adunan pekat putih ke atas adunan hijau tadi
10. Lipatkan daun pisang keatas, pastikan adunan tadi berada di tengah-tengah daun pisang
11. Sekarang lipat bahagian tepi kiri dan kanan daun pisang ke tengah, kemaskan lipat tersebut
12. Dengan mengunakan pencungkil gigi atau lidi buluh yang dipotong pendek, cucuk daun pisang tadi dibahagian atas daun pisang supaya tidak terbuka
13. Panaskan air di dalam periuk kukus
14. Kukus selama 10-15 minit
15. Keluarkan dari pengukus dan sedia untuk dihidang

Saiz Hidangan : 12 orang
Waktu memasak : Sejam
Cara memasak : Kukus
Jenis masakan : Kuih tradisional
Keistimewaan : Kuih tradisional lama yang lemak manis
Anggaran kos : RM 8

INFO CHEF : Anda boleh juga mencampurkan sedikit tepung ubi kayu ke dalam adunan kuih.

RESIPI : CHEF FAME TAUFIQ FAKARUDIN
TERIMA KASIH: UOW Malaysia KDU University College, Utropolis Glenmarie
Jalan Kontraktor U1/14, Seksyen U1, Glenpark U1, Shan Alam, Selangor