Limau Kasturi, Nipis Dan Purut, Nampak Sama Tapi Ada Beza

Share

Sebut sahaja limau, ada pelbagai jenis yang terbayang di fikiran. Namun untuk limau yang biasa diguna dalam masakan Melayu, ada tiga jenis dimana ia digunakan untuk tujuan aroma dan rasa dalam masakan. Ketiga-tiga jenis limau itu tidak lain tidak bukan adalah Limau Nipis, Limau Purut dan Limau Kasturi. 

Walaupun semuanya digunakan di dalam masakan, namun ada juga yang tidak bersesuaian. Nak tahu apa yang membezakan limau-limau ini? Jom baca.

 

FIZIKAL DAN TEKSTUR:

Sekali pandang, ketiga-tiga limau ini kelihatan hampir sama dari segi rasanya iaitu masam dan berwarna hijau. Namun ada sedikit beza.

Limau Purut dan Limau Kasturi berwarna hijau lebih pekat berbanding Limau Nipis yang biasanya berwarna hijau muda atau hijau kekuningan.  

Dari segi saiz, Limau Kasturi paling kecil manakala Limau Purut dan Nipis hampir sama saiznya namun tekstur kulit Limau Purut bergerutu berbeza dengan Limau Nipis dan Kasturi yang lebih licin.

JUMLAH AIR DAN WARNA AIRNYA:

Bila dibelah kesemuanya hampir sama, tapi jumlah air dan warnanya tidak sama. Limau nipis dan Purut, airnya berwarna hijau cerah dan jernih sedangkan Limau Kasturi hijau kekuningan.

Bila diperah jumlah airnya juga berbeza. Limau Kasturi paling banyak, diikuti Limau Nipis dan Limau Purut paling sikit airnya.

 FUNGSI DALAM MASAKAN:

Ketiga-tiga air limau ini mempunyai rasa masam, namun rasa masam itu tidak sama.  Limau Kasturi lebih masam tapia da sedikit manis berbading Limau Nipis dan Purut. Sebab itu Limau Kasturi lebih banyak dicampur dalam masakan seperti sambal belacan. Malah lulitnya juga dicampur bersama bagi menaikkan keenakan rasa.

Sementara itu, Limau Nipis biasanya diambil airnya sahaja. Kulitnya jarang digunakan di dalam masakan kecuali diparut nipis pada bahagian hijaunya untuk ditambah dalam adunan kek.

Bagi Limau Purut pula, amat jarang ia digunakan dalam masakan. Mungkin ada namun tidak secara menyeluruh. Biasanya daun pokok limau ini lebih banyak digunakan dalam masakan berbanding dengan buahnya.

Limau Nipis dan Limau Purut juga digunakan untuk menghilangkan bau hanyir ikan mahupun organ dalaman. 

Banyak gunanya limau-limau ini. Namun jangka hayatnya tidak terlalu lama membuatkan ia cepat busuk atau kering, Jangan risau, boleh simpan guna petua-petua di bawah ini. Kalau nak tanam pun ada petuanya. Selamat mencuba & moga bermanfaat buat semua.

 

 

Published by
Nur