KUANTAN – Meskipun perniagaan Nasi Lemak Simple pernah ditutup kira-kira empat tahun lalu, namun sebaik dibuka semula ia masih mendapat sambutan menggalakkan.

Perniagaan Nasi Lemak Simple yang sebelum ini telah beroperasi selama 25 tahun dan popular di kalangan warga Kuantan, kembali dengan nama baharu Llan Nasi Lemak Simple sebagai langkah penjenamaan semula seiring kerancakan Tahun Melawat Pahang (TMP) 2017.

Menurut peniaganya, Saiful Bahri Samuel, kemunculan Llan Nasi Lemak Simple itu mampu mengubat rindu penggemarnya untuk merasai keenakan masakan air tangan pengasasnya, Rusland Dol.

Katanya, beliau menjalankan perniagaan itu secara kongsi dengan Rusland yang lebih dikenali sebagai Pok Lan dan pemilik Restoran Santai, Ruslan Sulaiman Mat.

“Kami berniaga di beberapa lokasi sekitar bandar Kuantan termasuk Taman Esplanade yang dikenali sebagai Benteng dalam kalangan warga Kuantan sejak 1991.

“Sambutan amat menggalakkan. Orang ramai sanggup beratur panjang membeli nasi lemak ini sebab keenakan sambalnya, selain telur dan sambal bilis. Nasi yang kita jual tak mahal iaitu RM2.50 sebungkus dan turut dijual di Restoran Santai, Tanjung Lumpur,” katanya ketika ditemui di Dataran Teluk Chempedak di sini.

IKLAN

Menurut Saiful Bahri, mereka turu menyediakan perkhidmatan penghantaran nasi lemak itu kepada pelanggan yang membuat pesanan dalam kuantiti banyak.

Kata beliau, usaha menghidupkan kembali perniagaan nasi lemak dengan nama Llan Nasi Lemak Simple adalah sebagai langkah mereka menyumbang mempromosi TMP 2017.

Selain itu, ujarnya, kemunculan semula Llan Nasi Lemak Simple juga mampu mengubat rindu pelanggan tetapnya dan memberi peluang kepada orang ramai menikmati keenakannya.

IKLAN

“Berdasarkan maklum balas menerusi media sosial, ramai peminat nasi lemak ini termasuk dari luar Kuantan turut mencari dan rindu dengan masakan ini selepas penjualannya dihentikan pada 2013,” katanya.

 Llan Nasi Lemak Simple ubat rindu warga Kuantan
Shahiruddin (dua, kanan) bersama Saiful (dua, kiri) menikmati Llan Nasi Lemak Simple dalam Volkswagen Kombi.

Dalam pada itu, jelas Saiful lagi, mereka turut melakukan sedikit pembaharuan terutama pada bungkusan yang digabungkan dengan kertas bercetak bagi tujuan pengiklanan, di samping daun pisang bagi memastikan keharumannya kekal.

“Kita turut mencetak logo TMP2017 pada bungkusan nasi itu sebagai tanda kerjasama kami dengan kerajaan negeri dan sedikit ruangan iklan kepada pihak yang berminat.

IKLAN

“Inilah sedikit perubahan yang kami lakukan dalam usaha menjadikan Llan Nasi Lemak Simple jenama francais terkemuka dan pada masa sama mewujudkan usahawan berjaya.

“Kami beri jaminan rasa dan keenakannya tetap sama seperti sebelum ini kerana kita kekal menggunakan resipi asal oleh Rusland,” katanya.

Saiful berkata, mereka turut mengadakan perbincangan dengan beberapa hotel untuk membekalkan Llan Nasi Lemak Simple dan tentunya dapat beri tarikan kepada pengunjung hotel berkenaan.

“Sekiranya ada acara di luar kawasan, kami turut menggunakan konsep perniagaan bergerak dengan menggunakan kereta Volkswagen Kombi yang sudah diubah suai sebagai tujuan promosi,” katanya.

Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI