Tiba-tiba terbayang sedapnya daging tulang rusuk panggang. Nak makan selalu kat kedai parah juga dibuatnya. Kalau masak sendiri tak berapa nak rajin sebabnya daging liat dan susah lekang dari tulang.
Tapi dengan info dan tip yang Rasa kongsikan ini, semua masalah remeh ini tiada lagi dan anda boleh cuba praktikkan bagi menikmati keenakan daging tulang rusuk yang disediakan sendiri di rumah dengan seronok.
Supaya daging tulang rusuk empuk dengan cepat, anda disarankan pilih daging yang melekat pada tulang rusuk dengan warna merah segar dan ada sedikit lemak. Tekstur yang sebegini menunjukkan daging tulang rusuk yang lembut dan berjuicy.
i. Goreng Dan Bakar: Sebaiknya perap daging dengan bahan perapan sekurang-kurangnya tiga jam. Perapan membantu tekstur daging lebih lembut atau empuk dan masa sekata. Atau boleh lembutkan daging tulang rusuk dengan parutan nanas atau meramasknya dengan daun betik.
ii. Sup Dan Gulai: Cara paling mudah celur atau celupkan tulang rusuk dalam air mendidih sehingga berbuih dan segala kotoran timbul di permukaan air rebusan. Kemudian buang air rebusan dan cuci daging tulang rusuk hingga bersih, sebelum dimasak sup atau gulai.
iii. Gunakan Periuk Tekanan: Ini cara terbaik dan paling mudah, tidak ada masalah jika anda tidak mempunyai periuk tekanan, gunakan saja pengukus gaul daging tulang rusuk bersama bahan rempah ratusnya sekali. Tetapi menggunakan api kecil sehingga daging empuk, elakkan dari menggunakan api besar, ia akan hanya menjadikan daging liat.
Simpan daging tulang rusuk dalam bekas kedap udara dan masukan dalam freezer, jika anda ingin memasaknya anda boleh pindangkannya ke chiller atau rak bawah dalam peti ais untuk mencairkan bekuan aisnya. Cara ini paling baik kerana ia tidak mengubah rasa dan tekstur daging, cuma memerlukan lebih masa. Ingin lebih cepat? Keluarkan sahaja daging pada suhu bilik, bungkus kemas dan rendam dalam air selama lebih kurang satu jam, baru sedia untuk dimasak .
Semoga tip ini dapat menjadi panduan anda apabila ingin memasak daging tulang rusuk, selamat mencuba!
INFO CHEF:
Semasa memanggang tuangkan lebihan bahan perapan ke atas tulang rusuk yang dibakar.