Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bakal menganjurkan Malaysia #QuranHour untuk kali yang ke-9 bertemakan “Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar” sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 dengan membawa misi Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insan dan Surah Al-Asr di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada jam 12 hingga 1 tengahari pada 30 Ogos 2023.
Malaysia #QuranHour merupakan kempen MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah dengan mengajak rakyat Malaysia di dalam dan luar negara untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal. Ia bermula dengan penganjuran #MalaysiaNgaji dan telah dilaksanakan di seluruh negara semenjak 2015.
Untuk tahun ini, Surah Al-Fatihah (Pembukaan), Surah Al-Insan (Manusia) dan Surah Al-Asr (Masa) menjadi surah pilihan bagi mengangkat tema “Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar” dalam membentuk Malaysia Madani, negara sejahtera, harmoni dan progresif.
Pemuda menjadi tonggak dan aset penting dalam pembinaan negara. Tema ini dicetuskan daripada pepatah Arab, “Pemuda hari ini, pemimpin hari esok” mengenai pembinaan pemuda yang akan menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.
Tiga surah tersebut menjadi panduan untuk membina berkemahiran (mastery) dalam membina pelbagai projek yang membina negara dan pastinya akan membina pemimpin yang akan memimpin negara pada masa akan datang.
#QuranHour merupakan sebuah gerakan yang diinisiatifkan oleh WUIF bertujuan menggalakkan setiap individu berinteraksi dengan Al-Quran melalui Baca, Faham dan Amal. Ia merupakan satu usaha untuk melakukan anjakan paradigma atau menukar kerangka fikir sehingga lahir karakter mulia.
Malaysia #QuranHour disambut baik oleh semua rakyat Malaysia di negara dan luar negara. Ia adalah kempen utama anjuran WUIF yang dibentuk melalui solidariti ummah, dengan penglibatan pelbagai rakan sinergi terdiri dari rangkaian media utama Negara, badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat, awam, agensi serta individu dari pelbagai kluster masyarakat.
WUIF bertindak sebagai pelopor gerakan kempen #QuranHour yang menggerakkan QuranicValley atau Lembah Al-Quran sebagai matlamat jangka panjang menuju 1500H di mana pelbagai program Baca, Faham & Amal Al-Quran telah disusun bagi membentuk generasi yang berpegang teguh, berfikir dan berakhlak al-Quran. Pelbagai program disusun dan diterbitkan di bawah Quranic Valley untuk disampaikan kepada semua lapisan masyarakat.