Mama Shida Kongsi 8 Resipi Masakan Ayam Paling Mudah & Sesuai Masak Setiap Hari.

Share

Bila setiap hari masak lauk yang sama, agak jemu juga kan? Bila sampai tengah minggu, dah tak idea nak sediakan menu apa untuk suami dan anak-anak. Ni ada lapan resipi berasaskan ayam air tangan Mama Shida yang sangat mudah dan sesuai disajikan buat keluarga. Puan-puan boleh cuba.

 

1. AYAM CENDAWAN  SOS LADA HITAM

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm hirisan isi dada ayam | diperap 15 minit dengan serbuk lada putih dan garam
  • 5-6 ketul cendawan shitake | potong dua
  • 1 biji bawang besar | potong dadu kecil
  • 3 ulas bawang  putih | cincang halus
  • 3 cm halia | hiris halus
  • 2 sudu makan sos tiram
  • 2 sudu makan kicap pekat
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • Minyak masak | untuk menggoreng dan menumis
  • Garam dan gula secukupnya

CARA-CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak, goreng hirisan isi dada ayam separa masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Tinggalkan sedikit minyak, kemudian tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi.
  3. Seterusnya masukkan cendawan shitake,kacau seketika, masukkan isi dada ayam tadi.
  4. Kemudian perasakan dengan sos tiram, kicap, serbuk lada hitam, garam dan gula secukup rasa.
  5. Setelaah cukup rasa angkat dan hidangkan panas-panas.

 

2. AYAM PANGGANG KENTANG BERKEJU

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm isi dada ayam | potong dadu
  • 2 biji kentang | belah empat
  • 1/2 biji cili benggala hijau | potong dadu
  • 1/2 biji cili benggala merah | potong dadu
  • 1 biji  bawang Holland | potong dadu besar
  • 2 tangkai daun rosmarry segar
  • 1 sudu teh serbuk Thyme
  • 1 sudu teh empingan cili
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 4 sudu makan minyak zaitun
  • 2 sudu makan yogurt
  • ½ cawan parutan keju
  • 3 sudu minyak zaitun
  • 1/2  biji lembon | jus sahaja
  • Garam secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Campurkan ayam,kentang, bawang Holland, cili benggala merah dan hijau, bawang Holland, daun rosemary, serbuk thyme, serbuk lada hitam, empingan cili, jus lemon,  yogurt dan minyak zaitun. Gaul rata.
  2. Perap lebih kurang 15 minit dalam peti sejuk.
  3. Sementara itu panaskan ketuhar dengan kepanasan 180C.
  4. Keluarkan ayam dan letakkan di atas aluminium foil dan taburkan parutan keju di atasnya.
  5. Balut bahan perapan dan kemaskan balutan.
  6. Akhir sekali bakar dalam ketuhar lebih kurang 15 minit.
  7. Keluarkan dari ketuhar, dan sedia dihidangkan panas-panas.

 

3. AYAM TERIYAKI

BAHAN-BAHAN:

  • 2 keping isi dada ayam | hiris
  • 1/4 cawan kicap cair
  • 2 sudu makan cuka makan
  • 1 sudu makan  parutan halus halia
  • 2 sudu makan minyak bijan
  • 1 sudu makan  gula perang/gula putih
  • 1 sudu makan sedikit minyak masak
  • 1 sudu makan bijan putih | goreng tanpa minyak
  • 1 pokok daun bawang | hiris halus
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

  1. Bersihkan dada ayam, hiris memanjang setebal anggaran 1/2cm.
  2. Dalam mangkuk, gaulkan dada ayam bersama kicap cair, cuka makan, parutan halia, minyak bijan dan gula. Perap selama 15 minit.
  3. Bakar ayam dalam ketuhar dengan suhu 180C lebih kurang 15 minit. Angkata dan ketepikan.
  4. Sementara itu, campurkan minyak bijan, cuka makan, kicap cair dan gula dalam mangkuk. Kacau rata.
  5. Panaskan minyak, tumiskan parutan halia hingga wangi.
  6. Seterusnya, masukkan campuran sos tadi, kacau rata dan biarkan hingga kuah pekat.
  7. Masukkan ayam dan tutup api.
  8. Taburkan bijan dan gaul rata.
  9. Sebelum dihidangkan taburkan sedikit lagi bijan dan hirisan daun bawang jika suka.

INFO CHEF: Jangan masak ayam terlalu lama kerana isi ayam akan menjadi keras dan kurang berjus.

 

 4. AYAM  KARI MENTEGA YOGURT

BAHAN PERAPAN AYAM:

  • 500gm isi dada ayam | hiris nipis
  • 1 sudu makan serbuk kari
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 1 sudu gogurt
  • Sedikit garam

BAHAN CINCANG HALUS:

  • 1 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 3cm halia
  • 1 batang serai

BAHAN KISAR HALUS:

  • 1 biji tomato
  • 1 pokok daun ketumbar

BAHAN LAIN-LAIN:

  • 1 biji ketang | potong dadu
  • 125gm yogurt
  • 150 ml susu cair
  • 2 sudu makan rempah kari
  • 1 sudu makan serbuk cili
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 4 sudu makan mentega

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan ayam dalam mangkuk bersama bahan perapan lain. Gaul rata dan perap sekurang-kurangnya 30 minit dalam peti ais.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, tumiskan bahan cincang halus hingga wangi.
  3. Masukkan pula campuran rempah kari dengan cili serbuk yang dibancuh dengan sedikit air.
  4. Kacau rata hingga timbul minyak.
  5. Masukkan ayam yang telah diperap, kentang dan bahan kisar. Kacau rata dan biarkan seketika hingga mendidih.
  6. Seterusnya masukkan yogurt, susu cair. Kacau lagi hingga kuah pekat.
  7. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  8. Sedia dihidangkan.

 

5. AYAM  GORENG  PERI-PERI

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm drummet ayam | bersih dan toskan
  • 2 biji cili merah | cincang halus
  • 3 ulas bawang putih | cincang halus
  • 1 sudu makan sos peri-peri
  • 1 biji perahan lemon
  • 1 sudu makan paprika
  • sehelai daun bay kering
  • 1 sudu teh oregano
  • 1 sudu teh garam
  • 1/2 sudu teh lada sulah
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 3 sudu makan mentega | untuk menumis
  • Minyak masak secukupnya | untuk menggoreng ayam

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan ayam bersama serbuk kunyit dan garam halus. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak, kemudian goreng ayam hingga kekuningan. Angkat dan ke tepikan.
  3. Menggunakan kuali lain, panaskan mentega, tumiskan bawang putih dan daun bay.
  4. Masukkan cili, paprika, oregano serta sos peri-peri.
  5. Kacau rata dan masukkan ayam , Gaul rata.
  6. Kecilkan api, perah jus lemon dan perasakan dengan garam dan gua secukupnya.
  7. Setelah cukup rasa, angkat dan hidangkan.

 

 6. RANCH CHICKEN BITES  CRISPY

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm isi dada ayam | potong dadu dan tos
  • 3 sudu makan sos ranch
  • 1 sudu makan serbuk lada hitam
  • 1/2 cawan parut keju
  • 4 biji tomato ceri
  • 1 biji telur
  • 2 cawan nestum
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng

CARA MEMASAK:

  1. Untuk menyediakan ayam goreng. Gaulkan ayam bersama lada hitam dan sedikit garam halus. Ketepikan.
  2. Sementara itu pecahkan telur dalam mangkuk,kacau rata.
  3. Panaskan minyak dalam kuali .
  4. Celupkan tempung dalam telur, kemudian gaulkan dalam nestum.
  5. Goreng hingga kekuningan.
  6. Langkah seterusnya panaskan ketuhar pada suhu 180C.
  7. Masukkan ayam goreng dalam dulang pembakar, kemudian taburkan di atasanya dengan parutan keju dan tomato.
  8. Bakar dalam ketuhar lebih kurang 5 minit sebelum dihidangkan.

 

 7. CILANTRO LIME CHICKEN

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm ayam | potong kecil
  • 4 sudu makan minyak zaitun
  • 1 sudu makan empingan cili
  • 2 biji limau nipis | ambil jus sahaja
  • 1 biji tomato | hiris
  • 1/2 biji cili benggala hijau | potong dadu
  • 1/2 cawan daun ketumbar/cilantro | cincang halus
  • 4 ulas bawang putih | titik
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • Sedikit garam

CARA MEMASAK:

  1. Untuk bahan perapan, masukkan ayam, daun ketumbar, bawang putih, cili benggala, bawnag putih, hirsan tomato. Gaul rata.
  2. Tambah pula dengan minyak zaitun, jus limau nipis empingan cili, serbuk lada hitam. Gaul rata dan ketepikan.
  3. Panaskanketuhar pada suhu180C.
  4. Sementara itu, alas dulang pembakar dengan aluminium foil, kemudian masukkan perapan ayam di atasnya.
  5. Taburkan di atasnya dengan sedikit empingan cili .
  6. Bakar lebih kurang 15 minit. Angkat dan hidangkan.

 

8. JEJARI AYAM  NESTUM BERSAMA SOS MADU BAWANG PUTIH

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm isi dada ayam | hiris memanjang
  • 3 cawan nestum | kisar kasar
  • 2 biji telur
  • 1 sudu teh lada sulah
  • 1 sudu teh serbuk paprika
  • 1 sudu makan daun ketumbar yang dicincing halus
  • 1 sudu teh garam
  • Minyak secukupnya | untuk menggoreng

BAHAN SOS BAWANG PUTIH MADU:

  • 2 ulas bawang putih | cincang
  • 4 sudu makan madu
  • 2 sudu makan kicap pekat manis
  • 2 sudu makan sos cili Thai
  • 1/2  biji lemon | jus sahaja
  • Secubit garam

CARA MEMASAK:

  1. Keringkan ayam di atas tisu dapur.
  2. Sementara itu, pecahkan telur di dalam mangkuk dan campurkan lada sulah, garam,serbuk paprika dan daun ketumbar. Kacau rata.
  3. Celupkan ayam dalam telur, kemudian gaulkan dalam serbuk nestum. Ulang cara yang sama hingga ayam habis.
  4. Panaskan kuali, goreng ayam hingga kuning keemasan.
  5. Angkat dan toskan minyak atas tisu dapur.
  6. Sementara itu sediakan sos Honey Garlic
  7. Campurkan semua bahan sos dalam mangkuk, kacau hingga sebati.
  8. Setelah cukup rasa hidangkan bersama dengan jejari ayam tadi.Cara memasak :

INFO CHEF: Anda sebenarnya, boleh gunakan serbuk roti untuk menggantikan  nestum.

 

 

Published by
Nur