Meriah Lain Macam, Assalamualaikum, siri program anjuran Astro membuka tirai 2025 dengan penuh kemeriahan di Masjid Sri Sendayan, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan pada Sabtu, 1 Febuari.
Team Rasa dan Borak Seeni turut serta memeriahkan acara dengan program Mantai Rasa seeNI. Siapa yang tak teruja dapat pengat pisang dan onde-onde yang diagihkan sendiri oleh selebriti-selebriti Astro seperti Sherry Alhadad, Zizan Razak, Nadhir Nasar, Meerqeen, Faizal Ismail, Jay Iskandar, Azqa Aziz dan ramai lagi.
Program ini menyasarkan penyatuan komuniti melalui pelbagai aktiviti yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga mendalam dari aspek nilai budaya dan keagamaan.
Team Rasa dan Borak seeNI membuka acara di Assalamualaikum Negeri Sembilan dengan program Mantai Rasa SeeNI, yang mengangkat tradisi Melayu merewang sebagai simbol kebersamaan, kasih sayang, dan kepelbagaian komuniti.
Mantai merupakan tradisi memasak dan menyediakan makanan secara bergotong-royong, yang sinonim dengan masyarakat Negeri Sembilan.
Melalui aktiviti ini, komuniti tempatan, selebriti dan juga kariah Masjid Sri Sendayan bersama-sama menyediakan dua hidangan tradisional, Pengat Pisang dan Onde-Onde yang bukan hanya melambangkan kekayaan warisan Melayu tetapi juga semangat perpaduan yang merentas latar belakang.
Sebagai jenama makanan unggul di bawah Astro, Rasa memainkan peranan besar dalam menjadikan makanan sebagai medium perpaduan. Dengan reputasinya sebagai jenama yang meraikan masakan tradisional dan kontemporari, Rasa sentiasa berusaha menghubungkan komuniti melalui kekuatan makanan dan budaya.
Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, berkata “Makanan adalah simbol budaya yang paling kuat, dan melalui Rasa, kami tidak hanya membawa resipi kepada penonton kami, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara komuniti. Mantai Rasa SeeNI adalah manifestasi bagaimana makanan boleh menjadi alat perpaduan yang menyatukan kita, tanpa mengira perbezaan latar belakang. Sebagai sebuah jenama, Rasa mewakili satu tiang unik dalam tawaran Astro dan Karangkraf, menggabungkan pengalaman peribadi dengan elemen yang benar-benar merangkumi Malaysia. Inilah yang membuatkan program seperti Assalamualaikum ini begitu bermakna, bukan hanya kepada kami dan keluarga Astro, tetapi juga kepada seluruh masyarakat.”
Dihoskan oleh Keanu Azman dan kemunculan Istimewa Faizal Ismail, sesi edaran yang bermula sekitar jam 12 tengah hari mendapat sambutan hangat daripada pengunjung yang hadir. Rata-ratanya tidak melepaskan peluang mendapatkan pengat pisang dan juga onde-onde selain bergambar dengan selebriti Astro yang ada.
Selain Mantai Rasa SeeNI, Assalamualaikum Negeri Sembilan dimeriahkan dengan pelbagai program dan aktiviti seperti rakaman program Astro Oasis, Tazkirah Malam Jumaat Persembahan Animasi Didi & Friends serta Omar & Hana, persembahan artis popular dan juga pertandingan mewarna, tulisan khat dan memanah.
Mantai Rasa seeNI, memang Meriah Lain Macam!