Masak Acar Rampai Sedap  & Rangup,  Ini Caranya.

Share

Acar Rampai antara menu sayur sampingan yang dihidangkan bersama lauk-pauk bila ada pelbagai jenis kenduri kendara. Gabungan sayur lobak merah dan timun dalam acar ini akan lebih sedap kalau ia rangup, tidak berair serta cukup rasa masam, manis dan sedikit pedasnya. Kalau anda nak cuba, berikut disertakan resipinya.

RESEPI ACAR RAMPAI
BAHAN-BAHAN :
BAHAN HIRISAN:
2 biji timun
2 batang lobak merah
10 ulas bawang merah
10 ulas bawang putih
10 biji cili padi hijau
4 inci halia
BAHAN KISAR:


1 peket kecil udang kering
15 tangkai cili kering
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci halia
BAHAN LAIN:
2 cawan cuka
1 cawan gula pasir
1 cawan air
Garam halus
Ajinomoto
Kapur makan
Minyak masak
Biji sawi | disangai

CARA MEMBUAT :

  1. Timun (dibuang empulur), lobak merah dan halia dihiris memanjang seperti batang mancis.
  2. Rendam dalam air kapur selama 15 minit (supaya rangup). Kemudian dibasuh dan dituskan hingga kering airnya.
  3. Bawang merah dan bawang putih jika besar ukurannya hendaklah di belah dua. Cili Padi dibuang tangkai.
  4. Blend cili kering, bawang besar, bawang putih, halia dan udang kering hingga halus.
  5. Panaskan minyak hingga pijar dan tumiskan bahan-bahan yang telah diblend tadi hingga naik minyak.
  6. Kemudian masukkan cuka, air, gula, garam halus dan perasa. Masak bahan selama 1/2 jam hingga kuahnya pekat.
  7. Bila kuah telah pekat baru masukkan halia, lobak merah, bawang merah, bawang putih, cili padi dan timun. Gaulkan hingga rata baru masukkan biji sawi yang telah disangai dan gaul lagi hingga rata dan tutup api.
  8. Biarkan acar di dalam kuali selama 1/2 jam barulah dihidangkan ( supaya bahan tumisan meresap dalam bahan hirisan tadi)

INFO: Acar rampai sedap di makan bersama nasi panas atau nasi minyak atau nasi beriani.

Kredit : fauziah ali

Published by
webadmin