Masakan Pedas-Pedas Buka Selera Amelina Sewaktu Berbuka

Share

Amelina bintang gegar Vaganza musim ke-5 dan penyanyi dangdut popular era 90-an dengan lagu seperti Asyik kini kembali aktif di persada seni. Istimewanya dalam program Rasa Nostalgia Ramadan, bintang ini turut meriuh rendah dapur Dato’ Chef Wan dalam menyiapkan menu kegemarannya.

Akui anak kelahiran Nilai, Negeri Sembilan suka yang pedas-pedas kala waktu berbuka.”Bagi Alin, dari zaman muda hingga kini waktu berbuka suka yang pedas-pedas. Kuih pun suka yang pedas. Orang Negeri Sembilan memang begitulah. Kalau tak pedas tak mari,” cerita Alin.

Ibu kepada enam orang cahaya mata ini menyediakan masakan kesukaan sudah menjadi tanggungjawabnya. Masing-masing mempunyai selera yang berbeza ketika Ramadan. Anak-anak menyukai masakan yang kering dan tidak berapa suka menu yang berkuah.

“Selalunya Alin akan memasak lauk utama seperti masak lemak daging salai. Kalau pergi ke pasar Ramadan hanya akan membeli lauk sampingan seperti lauk bakar,”ceritanya.
Alin menyukai lauk bersambal seperti ikan Sembilang tetapi kalau dapat sambal sotong memberi kenikmatan kerana itulah lauk kegemarannya.

Menyentuh tentang pilihan kuih muih pula, tetap memilih kuih yang rasanya pedas seperti popiah. Mempunyai kegemaran yang sama dengan Chef Wan , dia juga menyukai karipap dan popiah di kala Ramadan . Leka menikmatinya kalau dapat makan panas-panas.

Khas buat Alin, Chef Wan telah menyediakan dua resipi kegemaran bintang ini dengan ramuan istimewa membuatkan anda sendiri terliur melihatnya. Rasa yang seimbang dan padu serta tahap kepedasan yang memenuhi citarasa diakui sendiri oleh Alin. “ Tak sabar nak cuba sendiri resipi yang dikongsi ini untuk menu berbuka puasa nanti. Memang sangat sedap dan kecur liur dibuatnya,”akui Alin.

SAMBAL SOTONG PETAI NYONYA
Bahan-bahan:
500gm sotong ( potong memanjang dan kelar bahagian isinya)
1 mangkuk isi petai
Segengam daun pudina ( dicincang)
garam dan gula secukup rasa
5 sudu makan minyak masak
½ biji limau nipis ( diperah jusnya)

Bahan untuk kisar halus: pes
5 biji cili merah
10 biji bawang merah ( dikupas)
4 ulas bawang putih (dikupas)
2cm halia (dikupas)
1cm kunyit hidup (dikupas)
2 batang serai ( dihiris halus)
1 tangkai bunga kantan (dihiris halus)
1 sudu makan belacan
2 sudu makan sos tomato
2 sudu makan sos cili
1 sudu makan kicap cair
Air masak

Cara memasak:
1.Panaskan minyak di dalam kuali.
2.Masukkan bahan-bahan kisar dan tumis sehingga garing lebih kurang 10 minit.
3.Masukkan kicap cair, sos cili, sos tomato, perahan asam limau dan goreng untuk seketika.
4.Masukkan petai yang dikoyak-koyak, sedikit air masak untuk kuah dan masukkan sotong. Tutup kuali tadi seketika agar sotong boleh dimasak empuk.
5.Kemudian masukkan bunga kantan untuk menambahkan bau harum pada masakan , secukup garam dan gula.
6.Pastikan sotong tidak dimasak dengan begitu lama agar tidak keras. Tutupkan api dan sambal sotong petai nyonya sudah siap untuk dihidang.

THAI SPRING ROLL
BAHAN-BAHAN INTI:
10-15 keping kulit popiah
1 ulas bawang putih
Udang | dicincang
3 sudu makan sos tiram
Sedikit lada putih
1 sudu teh minyak bijan
2 besar makan udang kering
Cendawan butang | dipotong
Daun ketumbar
Gula dan garam secukup rasa
1 peket kecil suhun ( (direndam hingga lembut dan kerat-kerat sikit)
Buah berangan
100gm kubis
3 sudu teh sos ikan
tepung jagung
1 biji telur
Minyak untuk menumis

Cara memasak:

1. Panaskan minyak ke dalam kuali. Tumis bawang putih yang telah dikisar sehingga naik bau.
2. Masukkan udang yang telah dicincang, sos tiram, sedikit lada putih, minyak bijan dan udang kering. Kacau seketika.
3. Masukkan cendawan butang yang telah dipotong, daun ketumbar, gula secukup rasa, suhun dan buah berangan.
4. Kemudian masukkan sedikit kubis, 3 camca sos ikan, daun ketumbar dan sedikit tepung jagung lalu kacau untuk seketika.
5. Apabila sudah siap, biarkan inti sejuk sebentar.

Penyediaan Thai Spring Roll:
1.Sapukan telur yang telah dipukul ke atas kulit popia dan masukkan inti dan tutup semula dengan sekali lagi sapukan telur ke atas kulit popia.
2. Goreng popia ini dengan minyak masak yang banyak tetapi api yang sederhana.
3. Apabila kulit popia kelihatan rangup dan kekuningan boleh tutup api dan dihidangkan.

Bahan untuk sos:
1 biji bawang besar | dikisar
1 ulas bawang putih | dikisar
Sedikit cuka
Air secukupnya
Sos ikan
Kacang
Gula secukupnya
1 sudu makan sos cili

Penyediaan sos :
1.Kisar bawang besar, bawang putih lebih sedikit dan sedikit cuka .
2.Rebuskan air bersama air secukupnya, sos ikan dan kacang.
3.Kemudian masukkan bahan kisaran, tambahkan sedikit air, sos cili dan masak sehingga kuah sos itu pekat.
4.Sedia untuk dihidang bersama dengan popia.

*JANGAN LUPA TONTON RASA NOSTALGIA RAMADAN ESOK BERSAMA SHARIFAH SHAHIERA

Published by
Putri