Sesuai dengan musim durian ni, menu tempoyak jadi kemestian. Tak kira sama ada tempoyak di makan begitu sahaja bersama sambal mahupun dibuat gulai semuanya pasti membuka selera. Kesedapan gulai ini adalah terletak pada penggunaan tempoyak dan jenis ikan patin yang digunakan. Tempoyak baru kurang menyengat rasanya berbanding menggunakan tempoyak lama. Nak sedap rasa dan berlemak lagi, pilihlah ikan patin buah. Rasanya nyata berbeza.
PATIN MASAK TEMPOYAK
BAHAN- BAHAN :
1 ekor ikan patin
1 senduk tempoyak
1 ikat daun kesum
1 batang bunga kantan
1 batang timun tua
7 – 15 biji cili api
1 inci kunyit hidup
1 keping asam keping
Air secukupnya
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
CARA MEMASAK :
1. Masukkan cili api, kunyit dan tempoyak ke dalam mesin pengisar dan kisar dengan sedikit air. Jika suka pekat boleh tambahkan tempoyak. Jika suka pedas boleh tambahkan lagi cili api.
2. Masukkan bahan yang sudah dikisar kedalam periuk dan bukak api.
Tambahkan air ikut cita rasa masing-masing.
3. Kemudian masukkan daun kesum dan bunga kantan.
4. Bila sudah mendidih baru masukkan ikan dan timun tua. Perasakan dengan garam dan gula.
5. Jika tempoyak kurang masam boleh tambahkan dengan sekeping asam keping.
6. Kacau rata dan biarkan sehingga mendidih.
7. Siap dihidangkan bersama nasi panas.
*Masak ikan patin ini, lagi pekat kuah tempoyak lagi sedap.
Kredit: Sis Mas
Dua Sajian Baba Nyonya Warisan Berzaman. Serasi Tekak Melayu
ANDA SEDANG MENCARI PERALATAN DAPUR YANG MEMUDAHKAN KERJA RUMAH, JOM LAYARINYA DI SINI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Cara Buat Chocolate Cheese Brownies Bakar Sedap, Gebu & Tak Kering
Wow…Nampak sedap Chocolate Cheese Brownies Bakar perkongsian saudari Azza Ahsani ni. Menurut beliau resipi yang dikongsi ini adalah Brownies versi bakar namun memounyai rasa yang sangat sedap, gebu dan juga tidak kering. Sangat sesuai dicuba bagi anda yang tercari-cari resipi brownies yang sangat enak dimakan bersama keluarga. Jom cuba. Pasti puas hati dengan hasilnya.
CHOCOLATE CHEESE BROWNIES VERSI BAKAR. SEDAP, GEBU & TAK KERING
BAHAN-BAHAN A:
250gm mentega yang dicairkan – beli online disini
1 cawan gula kastor – beli online disini
1 cawan serbuk koko – beli online disini
1 cawan susu segar
½ cawan susu pekat manis – beli online disini
BAHAN-BAHAN B:
1½ cawan tepung gandum (*) – beli online disini
1 sudu teh soda bikarbonat (*) – beli online disini
1 sudu teh baking powder (*) – beli online disini
3 biji telur (suhu bilik)
1 sudu teh esen vanilla – beli online disini
(Ayak semua bahan bertanda *)
BAHAN-BAHAN C (TOPPING):
250gm krim keju / cream cheese
1 biji telur (suhu bilik)
1 cawan gula – beli online disini
CARA MEMASAK:
1.Masak semua bahan A dengan api perlahan. Mentega perlu dicairkan terlebih dahulu barulah diletakkan bahan-bahan lain.
2. Bila sudah agak sebati dan menggelagak, boleh tutup api dan sejukkan. Pada masa yang sama, sudah boleh panaskan ketuhar pada suhu 170°c mengikut kesesuaian ketuhar masing-masing.
3. Sementara menunggu bahan A sejuk, pukul telur dan esen vanilla hingga kembang.
4. Begini rupa telur yang sudah kembang.
5. Masukkan telur yang dipukul kembang tadi ke dalam bahan A. Kacau sebati.
6. Kemudian masukkan tepung sikit demi sedikit sambil dikaup balik sampai sebati.
7. Rupa adunan yang siap diadun.
8. Sediakan loyang yang bersesuaian. Sapu sedikit mentega dan alas dengan wax paper. (empunya resipi guna loyang saiz 7″x7″. Masak 2 kali sebab boleh dapat banyak keping bila dipotong.)
9. Bakar dalam ketuhar pada suhu 170°c selama 45 minit atau hingga brownies masak. Nak tahu masak atau belum, cucuk dengan lidi. Kalau lidi kering masa ditarik keluar, itu menandakan brownies telah masak sempurna.
10. Untuk topping brownies, pukul krim keju, gula dan telur hingga sebati.
11. Letak bahan C atas brownies yang sudah masak tadi. Ratakan dan bakar balik selama 15-20 minit atau hingga keperangan.
Tip: Brownies tadi empunya resipi bakar dalam ½ jam sahaja. Masa ni kek lembap sikit. Bila letak cream cheese dan bakar balik, tekstur kek tak akan jadi kering.
12. Chocolate Cheese Brownies yang sedap dan gebu sedia untuk dinikmati.
NOTA: Semasa menyukat bahan, sila guna 1 cawan yang sama sahaja supaya sekata timbangannya.
Kredit resipi & foto: Azza Ahsani
Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA:
Resipi Ayam Bakar Mayones Sukatan 1/2 Ekor, Sedap Menjilat Jari
Kulit Rangup, Inti Enak. Resipi Karipap Ikan Ni Memang Terlajak Sedap
Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official
Sajian Terbaik 4 Aneka Nasi Arab dan Mediterranean Paling Sedap
Nasi iaitu dari beras basmathi boleh dimasak dengan pelbagai cara masakan. Lebih-lebih lagi nasi dari negara Arab mahupun Mediterranean.
Kalau masak guna basmathi tu jangan lupa direndam dahulu sekurang-kurangnya setengah jam sebelum memasak. Barulah gebu nasi tu. Ni min kongsikan 4 resipi Nasi dari negara Yemen, Turki, Palestin dan Mesir. Boleh jadikan juadah raya.
1. NASI DAGING YEMEN
BAHAN-BAHAN:
- 500gm daging | potong kiub besar
- 4 cawan beras basmathi | basuh dan toskan
- 2 biji bawang besar | mayang halus
- 4 cawan air rebusan daging
- 3 sudu makan mentega/minyak sapi
- 1 sudu makan serbuk ketumbar
- 1 sudu makan serbuk jintan manis
- 1 sudu teh air rendaman safron
- 1 sudu teh jus lemon
- 2 helai daun bay leaf
- 1 sudu teh biji lada hitam
- 5 ulas bawang putih
- Garam dan gula perang secukupnya
- Bawang goreng dan kismis secukupnya
- Air secukupnya
BAHAN-BAHAN B (TUMIS):
- 1 batang kulit kayu manis
- 3 kuntum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
- 3 kuntum bunga cengkih
- 4 ulas bawang putih | kisar
- 3cm halia |kisar
CARA MEMASAK:
1. Rebus daging bersama bay leaf, lada hitam dan bawang putih hingga daging empuk. Angkat dan ketepikan.
2. Panaskan mentega di dalam periuk. Tumis bahan-bahan B dan bawang besar yang dimayang halus hingga wangi.
3. Masukkan serbuk ketumbar dan serbuk jintan manis bersama sedikit air lalu teruskan menumis hingga pecah minyak.
4. Masukkan daging yang telah direbus bersama air rebusan daging. Masukkan beras, garam dan gula perang secukup rasa. Tanak hingga masak.
5. Tuang air rendaman safron dan jus lemon ke dalam nasi. Kacau sebati.
6. Tambah bawang goreng dan kismis jika suka.
7. Angkat dan sedia dinikmati.
Saiz hidangan: 4-5 orang
Jenis hidangan : Yemen
Keistimewaan : Penuh perisa
Jenis masakan : Nasi
Cara memasak : Rebus dan didih
Info chef: Tidak perlu masak lauk lain kerana sudah terdapat daging di dalam nasi.
2. NASI KOSHARY RINGKAS
BAHAN-BAHAN A:
- 4 cawan beras basmathi | basuh dan toskan
- 4 cawan air rebusan ayam/daging
- ½ cawan tomato puri
- ½ cawan kacang dhal | rebus hingga empuk
- 1 sudu teh air rendaman safron/pewarna kuning
- Garam, lada sulah dan serbuk lada hitam secukup rasa
BAHAN-BAHAN B (TUMIS):
- 2 sudu makan minyak sapi
- 4 ulas bawang merah |mayang halus
- 2 ulas bawang putih | mayang halus
- 4 kuntum bunga cengkih
- 4 biji buah pelaga
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak sapi dan tumis bahan B hingga wangi.
2. Masukkan beras, tomato puri dan air rebusan ayam/daging.
3. Tambah garam, lada sulah, lada hitam dan tanak hingga nasi masak.
4. Renjiskan air rendaman safron/pewarna kuning dan gaul rata.
5. Gemburkan nasi sebelum dihidangkan bersama lauk-pauk yang bersesuaian.
Saiz hidangan: 3-4 orang
Jenis hidangan : Mesir
Keistimewaan : Penuh perisa dan lemak
Jenis masakan : Nasi
Cara memasak : Rebus dan didih
Info chef: Jika ikut resipi asli dari Mesir mereka akan menambah ½ cawan kacang kuda dan ½ cawan makaroni ketika nasi sedang mendidih. Kacang kuda direndam dulu.
3. NASI TURKI KAMBING
BAHAN-BAHAN:
- 3 cawan beras basmathi | basuh & toskan
- 2 cawan air rebusan daging kambing
- 2 cawan susu cair
- 300gm daging kambing | potong dadu sederhana & rebus empuk
- 2 biji ubi kentang |belah empat
- 2 biji tomato | potong bulat
- 1 batang lobak merah |potong bulat
- 3 sudu makan minyak sapi
- Garam secukup rasa
- Kismis & bawang goreng | untuk hiasan
- 2 – 3 biji telur rebus | pilihan
BAHAN-BAHAN B (KISAR):
- 1 biji bawang besar
- 5 ulas bawang putih
- 3cm halia
- 2 sudu teh jintan putih
BAHAN-BAHAN C:
- 1 batang kulit kayu manis
- 3 kuntum bunga lawang
- 4 biji buah pelaga
- 3 kuntum bunga cengkih
CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak sapi di dalam periuk lalu tumis bahan-bahan B dan C hingga wangi dan naik bau.
2. Masukkan daging kambing berserta air rebusan, susu cair, beras, garam, ubi kentang dan lobak merah lalu didihkan hingga nasi tanak.
3. Gemburkan nasi menggunakan garpu dan ratakan.
4. Jika suka boleh tambah 2-3 biji telur yang telah direbus ketika cecair telah sejat dan gaulkan sebati. Tabur dengan kismis dan bawang goreng.
5. Angkat dan sedia dinikmati
Saiz hidangan: 3-4 orang
Jenis hidangan : Turki
Keistimewaan : Rasa daging kambing
Jenis masakan : Nasi
Cara memasak : Rebus dan didih
Info chef: Enak jika dihidangkan bersama sup dan salad sayuran sebagai tambahan.
4. Nasi Maqlubah Kambing
BAHAN-BAHAN :
- 1 kg beras basmathi /basuh dan rendam setengah jam
- 2 kg daging kambing /dipotong kiub 2 inchi@ 5 sm
- 4 sudu makan rempah Maqlubah
- 1 sudu makan serbuk lada hitam
- 2 liter air stok daging
- 2 biji bawang besar /dimayang
- 10 ulas bawang putih/ diketuk
- 2 batang kayu manis
- 10 biji bunga cengkih
- 10 biji buah pelaga
- 5 biji cili hijau / potong 1 inci@ 2.5 sm
- 3 biji lobak merah /dihiris dan goreng kuning keemasan
- 3 biji terung panjang /dipotong bulat 1 sm, digoreng kuning keemasan
- 6 biji kentang / dipotong bulat 1 sm , digoreng kuning keemasan
- 300 gm kubis bunga/ dipotong, digoreng kuning keemasan
- 1/2 cawan minyak masak
- 4 sudu makan minyak sapi
- 1 sudu makan garam halus
Bahan hiasan :
- Beberapa hiris tomato
- Beberapa helai daun pudina
- Beberapa hiris lemon
CARA MEMASAK :
1. Daging kambing direbus selama 30 minit, dan ambil air stoknya.
2. Panaskan minyak sapi dan minyak masak di dalam periuk.
3. Tumiskan bawang besar dan bawang putih.
4. Masukkan cili hijau bersama rempah ratus kayu manis, cengkih, pelaga, tumis hingga naik bau.
5. Masukkan rempah maqlubah dan serbuk lada hitam . Tumis hingga pecah minyak.
6. Masukkan air rebusan daging kambing dan masukkan garam halus
7. Didih dengan api perlahan selama 45 minit. Angkat asingkan kambing dan masukkan pula beras.
8. Kacau dan ratakan beras, laraskan sukatan air kira-kira 40 mm melebihi paras beras.
9. Biarkan mendidih dengan api sederhana dan tutup api sebelum kering.
10. Sediakan periuk lain, masukkan satu sudu makan minyak masak.
11. Masukkan satu senduk daging kambing, masukkan satu lapisan sayuran yang telah digoreng tadi diikuti satu lapisan beras. Lapiskan sayur, daging dan beras secara berselang seli.
12. Setelah semua dimasukkan keringkan nasi menggunakan api paling kecil selama 20 minit.
13. Setelah masak ambil dulang dan tutup periuk menggunakan dulang. Angkat periuk dan terbalikkan atas dulang tadi dan ketuk perlahan-lahan bahagian luar periuk.
14. Tarik periuk keluar perlahan-lahan dan hiaskan nasi dengan hirisan lemon, daun pudina dan tomato.
Saiz hidangan : 8 -10 orang
Waktu memasak : 1 jam 45 minit
Cara memasak : Tumis dan reneh
Jenis hidangan : Nasi Arab Palestin dan Syria
Keistimewaan : Berbeza dengan nasi Arab yang lain, nasi Maqlubah menggunakan sayur goreng sebagai ramuan.
Anggaran kos : RM 70
INFO CHEF : Nasi Maqlubah adalah sajian Arab yang terkenal di Palestin dan Syria. Campuran daging dan sayur menjadikan ia sajian nutrisi lengkap berempah dan lazat.
Koleksi Resipi Lauk Pauk Chinese Style Yang Mudah & Sedap.
Hmmm…enaknya hidangan masakan lauk pauk Chinese style atau gaya Cina seperti Ayam Pong Teh, Ketam Bercili, Ayam Lada Hitam Cendawan, Ketam Telur Masin dan Sotong Nestum ni. Sesekali ubah selera memang sedap dan boleh menaikkan selera. Cara masaknya juga tidak sukar. Sesuai sangatlah dicuba di hujung minggu dan di hari cuti. Jom intai bahan-bahan yang anda perlukan!
1. AYAM PONG TEH
BAHAN – BAHAN:
- 1/2 ekor ayam bersaiz sederhana |dipotong kecil
- 1 biji kentang | direbus dan belah empat
- 6 ulas bawang merah| dihiris halus
- 3 ulas bawang putih | ditumbuk halus
- 2.5cm halia | ditumbuk halus
- 1 biji cili merah | dihiris halus
- 3 sudu makan taucu | hancurkan sedikit
- 1 sudu makan kicap cair
- 1 sudu makan kicap pekat
- Gula Melaka secukup rasa
- Air secukupnya
- Minyak untuk menumis
CARA MEMASAK:
- Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih, cili merah dan halia hingga harum.
- Masukkan taucu dan masak hingga wangi dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
- Kemudian masukkan ayam dan gaul rata. Masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya sehingga ayam tenggelam. Masak hingga mendidih.
- Masukkan kicap pekat dan kicap cair. Kacau rata.
- Apabila ayam sudah masak, masukkan ubi kentang. Perasakan dengan sedikit gula Melaka. Sedia untuk dinikmati.
Info chef: Ayam Pong Teh sedap dimakan bersama nasi putih dan ulam-ulaman.
2. KETAM TELUR MASIN
BAHAN-BAHAN:
- 1/2 kg ketam
- 3 sudu makan tepung jagung
- 6 ulas bawang merah | dihiris nipis
- 3 ulas bawang putih | dihiris nipis
- 2.5cm halia | ditumbuk halus
- 1 biji cili merah | dihiris nipis
- Beberapa helai daun kari
- 2 biji kuning telur masin
- 1 cawan susu cair
- Garam secukup rasa
- Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
- Bersihkan ketam dan lumurkan dengan tepung jagung dan juga sedikit garam.
- Panaskan minyak dan goreng ketam sehingga masak. Angkat dan toskan minyak.
- Ambil sedikit minyak lebihan gorengan ketam dan tumis bawang merah, bawang putih, cili dan daun kari.
- Kemudian masukkan kuning telur masin yang telah dihancurkan. Biarkan ia masak dan tuangkan susu cair sedikit demi sedikit.
- Biarkan kuah memekat dan masukkan ketam yang telah digoreng tadi. Gaul rata. Sedia untuk dinikmati.
Info chef: Santan juga boleh digunakan bagi menggantikan susu cair
3. AYAM LADA HITAM CENDAWAN
BAHAN-BAHAN:
- 300gm ayam | dipotong kecil
- 5 biji cendawan butang segar | dihiris nipis
- 3 ulas bawang putih | dihiris nipis
- 2.5cm halia | dihiris nipis
- 1/2 biji bawang besar |dipotong empat
- 1 sudu teh serbuk lada hitam
- 1 sudu teh minyak bijan
- 250ml stok perang ayam
- 1 sudu teh kicap manis
- 3 sudu makan minyak masak
- Sedikit tepung jagung | dibancuh dengan sedikit air
- Garam dan gula secukup rasa
- Minyak untuk menumis
CARA MEMASAK:
- Gaulkan ayam bersama garam dan goreng menggunakan api yang besar sehingga separuh masak. Angkat dan ketepikan.
- Menggunakan minyak yang sama, tumis bawang putih dan halia sehingga naik bau. Kemudian masukkan serbuk lada hitam.
- Masukkan ayam dan kacau seketika. Masukkan pula cendawan, minyak bijan dan kicap manis. Kacau sehingga cendawan sedikit layu.
- Tuang stok perang ayam dan kemudian masukkan sedikit bancuhan tepung jagung supaya kuah menjadi pekat.
- Perasakan dengan gula dan garam secukupnya. Siap untuk dinikmati.
Info chef: Stok perang ayam boleh juga digantikan dengan air biasa
4. SOTONG NESTUM
BAHAN-BAHAN:
- 1/2 kg sotong | dihiris kecil
- 5 biji cili padi | dihiris halus
- 1 tangkai daun kari
- 3 sudu makan mentega
- 2 sudu makan bijirin Nestum
- 3 sudu makan oat
BAHAN PERAPAN:
- 2 sudu makan tepung jagung
- 2 sudu makan tepung beras
- 1/2 sudu teh serbuk lada putih
- Garam secukup rasa
- 1 sudu teh gula
CARA MEMASAK:
- Sangai oat bersama nestum hingga keperangan. Angkat dan ketepikan.
- Gaulkan sotong bersama tepung jagung, tepung beras, lada putih dan garam hingga rata. Panaskan minyak dan goreng hingga masak. Angkat dan toskan minyak.
- Cairkan mentega di dalam kuali dan masukkan cili padi dan daun kari.
- Bila daun kari kelihatan sedikit garing, masukkan udang dan gaul rata.
- Akhir sekali masukkan nestum dan oat yang telah disangai. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Siap untuk dihidangkan.
Info chef: Guna minyak yang banyak semasa menggoreng sotong bagi memastikan ia masak secara sekata.
5. KETAM BERCILI
BAHAN-BAHAN:
- 3 ekor ketam | dibersih dan dipotong dua
- 1 biji bawang besar | dimayang
- 7 biji cili merah | dikisar kasar
- 5 ulas bawang merah | dikisar
- 3 ulas bawang putih | dikisar
- 2 batang serai | dititik
- 2 sudu makan jus lemon atau limau nipis
- 1 biji telur | dipukul sedikit
- Garam dan gula secukup rasa
- Air secukupnya
- Minyak untuk menumis
CARA MEMASAK:
- Gaulkan ketam dengan sedikit garam dan serbuk kunyit kemudian digoreng sehingga masak. Ketepikan.
- Panaskan minyak dan tumiskan serai bersama bahan kisar sehingga pecah minyak.
- Masukkan sedikit air bersama bawang besar, gula dan garam secukup rasa. Biarkan mendidih.
- Kemudian masukkan telur sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga sebati.
- Akhir sekali masukkan ketam dan gaul sehingga rata. Angkat dan hidangkan.
Info chef: Pastikan telur dipukul terlebih dahulu supaya sebati rasanya dengan sekata pada kuahnya.