Mesti Cuba! 6 Resipi Seafood Masak Style Baba Nyonya Yang Gerenti Sedap.

Share

LAUK PAUK SEAFOOD BABA NYONYA PIKAT SELERA PELBAGAI KAUM

Negara kita mempunyai pelbagai kaum dan keturunan termasuklah keturunan Baba Nyonya atau Peranakan. Keturunan ini banyak terdapat di Melaka dan Pulau Pinang. Masakan mereka juga banyak dipengaruhi dengan kaum lain seperti Melayu, India dan Cina namun ada perbezaan dan ciri tertentu. RASA kongsikan lapan resipi berasaskan makanan laut Baba Nyonya untuk anda cuba.

UDANG MASAK LEMAK NANAS

BAHAN-BAHAN:

  • 10 ekor Udang XL  | potong janggutnya dan bersihkannya
  • 1 biji nanas | potong dadu
  • 2 biji tomato | belah empat
  • 2 biji cili merah | hiris
  • 2 keping asam gelugur
  • 2 batang serai | titik
  • 1 helai daun kunyit | koyakkan
  • 1 mangkuk santan
  • ½ mangkuk air
  • Garam dan gula secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR:

  • 8 biji cili api
  • 3 biji bawang merah
  • 1 inci kunyit hidup=

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam periuk masukkan bahan-bahan kisar, serai dan air ke dalam periuk.
  2. Renehkan seketika sehingga bahan-bahan kisar masak. Kemudian masukkan nanas dan asam gelugur, biarkan ia masak seketika.
  3. Apabila sudah mendidih, masukkan santan, udang, tomato dan cili merah. Biarkan udang masak dan masukkan daun kunyit.
  4. Akhir sekali perasakan garam dan gula secukup rasa. Kacau dan angkat.
  5. Sedia dinikmati bersama nasi putih panas.

Info chef:   Udang tak perlu dibuang kulit.

UDANG MASAK ASAM

BAHAN-BAHAN:

  • 10 ekor udang XL | bersihkan dan potong janggut
  • ½  mangkuk air asam jawa pekat
  • 1 batang daun saderi  | potong serong
  • Sedikit gula Melaka mengikut rasa
  • Sedikit daun bawang
  • Minyak masak secukupnya

BAHAN-BAHAN TUMIS:

  • biji bawang merah | hiris nipis
  • 2 ulas bawang putih  | hiris nipis
  • 1 biji cili merah | hiris nipis

CARA MEMASAK:

  1. Perap udang bersama dengan air asam jawa. Kemudian goreng dengan sedikit minyak. Goreng seketika dan angkat. Ketepikan.
  2. Kemudian dengan minyak yang digoreng udang tadi, tumis bahan tumisan sehingga naik bau.
  3. Kemudian masukkan air asam jawa daripada perapan udang tadi dan daun saderi. Akhir sekali masukkan gula Melaka dan perasakan dengan garam secukup rasa.
  4. Angkat dan sedia dinikmati.

Info chef:  Tabur sedikit daun bawang ketika menghidang.

SOTONG MASAK SAMBAL PETAI

BAHAN-BAHAN:

  • 1 papan petai | buang kulit
  • 10 ekor sotong basah  | potong, belah, kelar (tanpa putus)
  • 1 mangkuk cili kering yang dikisar
  • 7 biji bawang merah | dikisar
  • 3 ulas bawang putih | dikisar
  • 1 sudu makan pes tomato
  • ½  mangkuk air asam jawa
  • 2 biji tomato | dibelah 4
  • 1 labu bawang besar | hiris
  • 3 sudu makan minyak untuk menggoreng
  • Garam dan gula secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Dalam kuali, panaskan minyak dan goreng sebentar petai. Angkat dan ketepikan.
  2. Kemudian menggunakan minyak yang sama, tumis bahan-bahan yang dikisar seperti cili kisar, bawang merah dan bawang putih.
  3. Kemudian masukkan pes tomato, air asam jawa dan biarkan ia masak seketika.
  4. Apabila ia sudah mendidih, masukkan udang dan petai.
  5. Kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  6. Akhir sekali masukkan tomato dan hirisan bawang besar.

Info chef:  Enak dinikmati bersama nasi putih panas.

SAMBAL UDANG

BAHAN-BAHAN:

  • ekor udang XL | bersihkan
  • 1 mangkuk cili kering yang dikisar
  • biji bawang merah | kisar
  • 3 ulas bawang putih | kisar
  • 1 sudu makan pes tomato
  • ½  mangkuk air asam jawa
  • 3 sudu makan minyak untuk menggoreng
  • Garam dan gula secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Dalam kuali, panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang dikisar seperti cili kisar, bawang merah dan bawang putih hingga terbit bau.
  2. Kemudian masukkan pes tomato diikuti air asam jawa dan biarkan masak seketika.
  3. Apabila ia sudah mendidih, masukkan udang.
  4. Kemudian perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  5. Angkat dan sedia dinikmati.

Info chef:  Boleh juga masukkan hirisan tomato untuk lebih sedap

KETAM SAMBAL NYONYA

BAHAN-BAHANNYA:

  • 3 ekor ketam  | bersihkan
  • Sedikit garam
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Minyak masak secukupnya

BAHAN-BAHAN TUMIS:

  • 4 biji bawang merah | hiris nipis
  • 3 ulas bawang putih | hiris nipis
  • 1 sudu makan serbuk kari ikan
  • 1 sudu makan taucu
  • 2 tangkai daun kari

BAHAN-BAHAN LAIN:

  • ½  mangkuk air asam jawa
  • Minyak untuk menggoreng
  • Garam dan gula secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Gaulkan ketam dengan garam dan kunyit. Kemudian goreng ketam seketika dan angkat. Ketepikan.
  2. Tumis bahan-bahan tumis seperti bawang merah, bawang putih dan daun kari hingga terbit bau. Kemudian masukkan taucu dan serbuk kari ikan.
  3. Biarkan ia masak seketika dan masukkan air asam jawa.
  4. Apabila ia mereneh, masukkan perasa seperti garam dan gula secukup rasa.
  5. Akhir sekali masukkan ketam yang telah digoreng tadi. Gaul sebati.
  6. Angkat dan sedia dihidangkan.

Info chef:  Kalau mahu lebih pedas, boleh masukkan sedikit cili kisar ketika menumis.

KARI BEBOLA NYONYA

BAHAN-BAHAN:

UNTUK BEBOLA IKAN:

  • 500gm isi ikan Tenggiri
  • 1 sudu makan tepung jagung
  • Air garam secukupnya

BAHAN-BAHAN TUMIS:

  • 5 biji bawang merah | kisar halus
  • 3 ulas bawang putih | kisar halus
  • ½ inci halia | kisar halus
  • ½ inci lengkuas | kisar halus
  • 4 batang cili merah | kisar halus
  • 1 mangkuk air asam jawa
  • 1 sudu makan serbuk ketumbar
  • 1 sudu makan jintan manis
  • Minyak untuk menggoreng secukupnya
  • Garam dan gula secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

BAHAN-BAHAN SAYURAN:

  • 1 batang terung | potong panjang
  • 2 biji tomato | belah 4
  • 5 batang bendi

CARA MEMASAK:

  1. Kikis kulit ikan tenggiri, ambil isi ikannya sahaja.
  2. Kemudian hancurkan isi ikan tenggiri dengan lumat dan masukkan air garam serta tepung jagung. Adun hingga boleh membentuk doh untuk membuat bebola ikan. Ketepikan.
  3. Untuk membuat kari; tumis bahan-bahan yang telah dikisar halus seperti bawang merah, bawang putih, cili merah, halia dan lengkuas ke dalam periuk.
  4. Selepas itu masukkan serbuk ketumbar dan serbuk jintan manis dan kacau sehingga naik bau.
  5. Kemudian masukkan air asam jawa dan biarkan ia mereneh seketika.
  6. Bentukkan bebola ikan dan masukkan ke dalam renehan tumisan tadi.
  7. Setelah bebola itu terapung ke atas bermakna bebola itu sudah masak.
  8. Kemudian masak masukkan sayur-sayuran seperti terung, tomato dan bendi sehingga separuh masak.
  9. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Angkat dan sedia dinikmati.

Info chef:  Boleh juga masukkan cili hijau untuk lebih sedap.

 

Published by
Mastura Abu Kassim