Berbekalkan tujuh jenis perisa, suami isteri iaitu Muhammad Hanafi dan Eika Mus kini semakin serius mengusahakan boko atas nama Boko Leleh Viral. Bermula pada 2019, namun terkesan dengan wabak COVID-19, mereka tetap konsisten dengan apa yang diusahakan hingga kini menyewa premis untuk dijadikan pusat perusahaan.
“Kami usahakan boko secara sambilan pada 2019. Suami berhenti kerja dan kami mula serius pada awal tahun 2020. Kami sewa premis untuk membuat boko, menyimpan mesin dan peralatan yang banyak dibeli untuk memudahkan perusahaan. Pendek kata duit simpanan juga memang sudah hampir habis. Pada Mac 2020, negara mengeluarkan arahan perintah kawalan pergerakan (PKP). Keadaan tersebut sedikit sebanyak memberi tamparan buat kami. Namun berkat sokongan keluarga, kami masih dapat bertahan hingga ke hari ini,” cerita Eika Mus memulakan bicara.
Boko yang dijual ada tujuh perisa iaitu ubi, durian, kacang merah, jagung, cendol gula apong, keladi dan coklat. Sebekas dijual pada harga RM5 sahaja.
Kini, mereka turut mempunyai satu lagi produk iaitu Ratu Boko. Produk Ratu Buko ada empat perisa iaitu mangga, anggur, bandung laici dan cendol gula melaka. Sebekas dijual pada harga RM10 dengan berat 500 ml.
Menurut Eika Mus, dia ingin produk jualannya lebih luas pasarannya. Bukan hanya bertumpu di Kuala Selangor sahaja.
“Buat masa ini, kami yang membuat dan menjual boko ini tanpa ada ejen. Harapan kami pada masa depan, produk Ratu Boko ini dapat dipasarkan dengan lebih meluas supaya lebih dikenali oleh masyarakat terutamanya di luar daerah Kuala Selangor. Kami berhasrat untuk meletakkan boko di tempat tumpuan ramai seperti di restoran dan stesen minyak terpilih. Kami yakin produk Boko Leleh dan Ratu Boko mempunyai potensi besar jika dipasarkan dengan cara yang betul,” katanya lagi.
Produk boko yang dijual menitik beratkan soal kualiti dan kebersihan dalam penghasilan produk-produknya. Sebagai contoh, ubi kayu yang digunakan sebagai bahan utama didapatkan terus dari kebun supaya segar dan memenuhi cita rasa pelanggan. Bahan-bahan lain seperti buah juga dipilih daripada buah terbaik. Contohnya buah anggur dipilih anggur yang rangup dan tidak berbiji supaya pelanggan berpuas hati.
“Ayah saya selalu berpesan. Jika kita berniaga makanan, sediakanlah sesuatu juadah itu seperti mana kita sendiri ingin memakannya. Pesan itu saya ikut dan alhamdulillah, pelanggan amat berpuas hati dengan boko yang kami sediakan,” katanya menutup bicara.
Info Kedai:
Boko Leleh Viral & Ratu Boko
Lokasi: Taman Malawati Jaya, Kuala Selangor
Pasar Malam Puncak Alam (Rabu & Sabtu)
Pasar Malam Tanjung Karang (Ahad)
Facebook: https://www.facebook.com/BokoLelehViralBokoLiciousbyIka
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI