Musim Covid Ni Elok Jaga Pemakanan, Resipi Mantap Untuk Kekal Sihat & Bertenaga

Share

Hari demi hari, bilangan kes mereka yang dijangkiti Covid-19 makin meningkat. Kesihatan menjadi sesuatu yang amat berharga dan tiada tolok bandingnya.

Dan apabila berada dalam situasi begini, mencegah itu lebih baik dari merawat. Bagaimana untuk kita mencegah dan menjaga kesihatan sebaiknya?

Nah, cara yang paling mudah adalah melalui pemakanan kita. Amalan pemakanan buah-buahan dan sayuran tempatan banyak manfaatnya.

Menerusi usaha yang dijalankan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dengan ini memperkenalkan menu sihat yang mengandungi pelbagai khasiat buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan melalui program MAFI Prihatin Meal.

 

Buahan & Sayuran Tempatan Pilihan Terbaik

Tidak perlu diragui, buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan adalah pilihan terbaik dalam menjaga kesihatan kita pada ketika ini.

Tahukah anda bahawa buah mangga boleh diumpamakan seperti booster otak pada waktu pagi. Terdapat banyak khasiat dan nutrisi penting yang ada di dalam mangga seperti vitamin A, C dan E, folat, B6, zat besi, kalsium dan juga antioksida. Paling menarik, kandungan nutrisi yang ada pada mangga dapat meningkatkan imunisasi tubuh, membantu penyerapan zat besi, dan baik untuk pencernaan.

Manakala betik pula, ada 5 kebaikan utama yang ramai tidak tahu. Siapa sangka betik yang mudah tumbuh dan murah ini mempunyai khasiat untuk badan kita iaitu anti oksida, anti kanser, kesihatan jantung, anti inflamasi dan menghalang kerosakan kulit.

Merujuk kepada Piramid Makanan Malaysia 2020 yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kita disarankan mengambil sekurang-kurang 2 sajian sehari bagi buah-buahan manakala 3 sajian atau lebih sehari bagi sayur-sayuran.

Percaya atau tidak, buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai kandungan air yang lebih tinggi berbanding makanan pepejal yang lain. Apabila kita makan buah dan sayur, ia membolehkan badan kita untuk menyerap kandungan air dalam buah dan sayur dengan lebih perlahan berbanding apabila kita minum air putih. Tambahan pula, air yang diperoleh daripada buah dan sayur ini akan kekal lagi lama dalam badan.

Antara sayur yang mengandungi peratus air yang tinggi ialah bayam, timun, saderi dan tomato.

 

Makanan Sihat Tidak Mahal

Orang selalu sebut makanan sihat itu mahal? Opss, salah tu. Makanan sihat tidaklah mahal jika tahu mencari sumber yang betul, contohnya buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan kita.

Buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan boleh diambil dengan pelbagai cara mengikut kreativiti dan selera anda dalam penyediaan makanan, selain diambil terus sebagai snek atau pembuka selera. Jadi, jom masak dengan bahan-bahan segar, murah dan berkualiti!

 

        SOMTAM BETIK MUDA & MANGGA

BAHAN-BAHAN:

½ biji betik muda | dihiris memanjang
1 biji mangga muda | dihiris memanjang
½ biji lobak merah | dipotong memanjang
3 biji kacang panjang | dipotong seinci panjang
1 biji tomato | dibelah 4-6

BAHAN SOS:

1 biji bawang putih |ditumbuk
2-6 biji cili padi | ditumbuk
2 sudu makan udang kering | tumbuk kasar


2 sudu makan kacang goreng | tumbuk kasar
3 sudu besar jus limau nipis
3 sudu makan sos ikan
3 sudu makan gula

CARA MEMASAK:

1. Masukkan bawang putih, cili padi, udang kering, jus limau, sos ikan serta gula ke dalam bekas dan gaul hingga sebati.
2. Kemudian masukkan betik, mangga, tomato dan kacang panjang. Gaul dan tumbuk-tumbuk sedikit sayuran agar ramuan mesra.
3. Akhir sekali masukkan kacang. Sesuaikan rasa dan sedia dihidangkan.

 

               KENGSOM IKAN SIAKAP

BAHAN-BAHAN:

1 ekor ikan siakap | dipotong sederhana besar


½ biji nenas | dipotong mengikut citarasa
½ ikat kangkung
2 batang serai | ketuk
1 biji limau nipis| ambil jus
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa

BAHAN KISAR:

2 biji cili merah
8 biji cili padi
1 biji bawang besar
6 ulas bawang putih
3cm kunyit hidup
Sedikit belacan

CARA MEMASAK:

1. Masukkan bahan kisar dan air secukupnya ke dalam periuk. Masak hingga mendidih.
2. Masukkan nanas dan serai, didihkan seketika. Kemudian masukkan ikan.
3. Setelah ikan masak, masukkan garam dan gula.
4. Tutup api dan masukkan kangkung agar kangkung tidak layu dan lembik
5. Kemudian,masukkan perahan jus limau, kacau rata dan sedia dihidangkan

 

       PANKEK BUAH NAGA / DRAGON  FRUIT PANCAKE

BAHAN-BAHAN:

1 cawan tepung gandum
½ sudu kecil soda bikarbonat
½ sudu kecil baking powder
1 cawan susu segar
½ biji buah naga merah
1 sudu besar gula kastor
1 biji kuning telur
2 biji putih telur, putar hingga kental
3 sudu besar mentega cair

CARA MEMASAK:

1. Ayakkan tepung, soda bikarbonat, baking powder dan ketepikan.
2. Kisar buah naga dan susu segar hingga halus. Masukkan gula, kuning telur dan mentega cair, kacau hingga sebati.
3. Kemudian masukkan tepung, kacau hingga sebati dan licin.
4. Masukkan putih telur (meringue) sedikit demi sedikit dan kaup balik hingga sebati.
5. Panaskan kuali, tuang adunan dan masak dengan api yang perlahan. Tutup kuali dengan penutup dan masak hingga permukaan atas kering.
6. Angkat dan hidangkan dengan buah naga yang dipotong dadu, madu atau jem.

                       

JELI HONEY DEW

BAHAN-BAHAN:

¼ biji honey dew | buang biji
Jus honey dew secukupnya
10gm agar-agar
½ kilo gula
4 liter air

CARA MEMASAK:

1. Masak agar-agar hingga betul-betul cair dan hancur.
2. Masukkan gula dan jus honey dew. Masak lagi hingga gula larut dan sebati.
3. Kemudian tutup api dan biarkan selama 20 minit.
4. Sediakan acuan, masukkan buah honey dew secukupnya ke dalam setiap acuan.
5. Kemudian tuang agar-agar tadi dan biarkan sejuk seketika sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk. Sedia untuk dihidangkan.

Published by
Team Rasa