Mengakui tak pernah memasak rendang, maka pada program RASA Nostalgia Ramadan, Chef Wan yang memasak sepenuhnya untuk Nad Zainal. Menurut Nad, dia selalunya hanya memerhatikan sahaja ibunya memasak. Namun dia tak pernah jemu untuk belajar.

Selepas berkahwin, Nad tetap memasak namun hanya lakuk-pauk simple yang mudah disediakan.

“Kalau bersahur, saya suka masak simple saja. Selalunya ayam goreng kunyit atau ayam masak kicap. Tapi saya suka belajar masak. Tengok orang masak. Jadi bila masak dengan Chef Wan ni, bolehlah saya try masak rendang udang galah ni raya nanti,” kata Nad.

 

MENGAKU TAK PANDAI MASAK SANGAT

Nad mengakui kurang mahir di dapur. Sepanjang penggambaran bersama Nad, memang agak lucu tengok aksi spontan Nad yang teragak-agak ketika memasak. Dia lebih banyak membantu Chef Wan masak dan dengar apa yang chef ajarkan. Nampak polos gitu riak muka Nad. Sebagai anak tunggal, Nad kata kerja di dapur memang agak jarang dilakukan sejak dulu.

Hadir ke lokasi penggambaran ketika hujan, berbusana polos kuning cair, Nad memang nampak cantik betul. Rambut pula disisir rapi dan diikat tocang kuda.

IKLAN

 

 

Dua resipi yang dihidangkan dalam rancangan ini adalah Rendang Udang Galah dan Puding Cream Caramel. Kedua-duanya nampak menyelerakan. So, nak cuba masak? Jom tengok resipi di bawah.

RENDANG UDANG GALAH

BAHAN KISAR
6 ulas bawang merah kecil
4 tangkai serai
3 cm kunyit
3 cm halia
Sedikit daun limau purut
Sedikit cili padi
Sedikit lengkuas

BAHAN LAIN
Sedikit cili kering (dikisar jadikan pes)
Semangkuk santan
Sedikit air masak
Asam keping
Garam
Daun limau purut
1 kg udang galah
Kerisik

CARA MEMBUAT
1. Panaskan minyak masak.
2. Tumis bahan kisar. Masukkan pes cili kering. Tumis lagi.
3. Masukkan santan dan sedikit air.
4. Kemudian masukkan asam keping dan garam.
5. Masukkan juga daun limau purut. Kacau seketika.
6. Kemudian masukkan udang dan biarkan.
7. Kacau seketika rendang. Kemudian masukkan kerisik.
8. Kacau lagi dan biarkan masak.

PUDING CREAM CARAMEL

BAHAN-BAHAN
1 cawan gula
Sedikit air.
5 biji telur ayam
1 sudu kecil esen vanila
1/2 cawan susu pekat
1 cawan susu cair

CARA MEMBUAT
1. Masukkan gula dan sedikit air.
2. Biarkan masak jadi gula hangus.
3. Kacau perlahan.
4. Dalam mangkuk lain, pukul telur. Masukkan esen vanila.
5. Tuang susu pekat.
6. Masukkan susu cair. Kacau sebati.
7. Dalam acuan, tuangkan gula hangus.
8. Kemudian tuangkan pula adunan.
9. Kukus sehingga masak.

 

Jangan lupa saksikan episod seterusnya dalam rancangan RASA Nostalgia Ramadan di Astro Prima dan Prima HD sepanjang bulan Ramadan ini. Rancangan ini bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 5 petang. RASA Nostalgia Ramadan dihebatkan oleh Coway.