Nah, 5 Resipi Rendang Istimewa, Betul-Betul Sedap Untuk Raya.

Share

Ada bermacam jenis resipi rendang tapi yang mana satu pilihan hati. Min dah rasa semua rendang ni, memang betul-betul umpph. Bila dah terhidang rendang di meja, aroma berempah wangi boleh ‘terkecur’ air liur.

Lauk rendang ni memang terbaiklah kalau dihidang di hari Lebaran nanti. Cer tengok  ada resipi rusa sekali, ni opsyen aje boleh aje ganti daging.

Bila dah ngadap ni  dah tak pandang kiri kanan lagi dah. Cubalah…

1.RENDANG TULANG RUSUK RUSA

BAHAN-BAHAN :

  • 1 kg tulang rusuk rusa `

Bahan dikisar :

  • 1.5 sm halia
  • 2 batang serai /dihiris sebelum dikisar
  • 2 biji bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 300 gm lengkuas
  • 5 helai daun limau purut
  • 200 gm cili kering/direbus terlebih dahulu
  • 1 biji santan kelapa
  • 100 gm kerisik
  • Gula secukup rasa
  • Garam secukup rasa
  • Air secukupnya (menutupi tulang)

CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bahan-bahan dikisar. Tumis hingga naik bau.
2. Masukkan tulang rusuk rusa dan air secukupnya.
3. Gaul sebati dan biarkan mendidih, biarkan daging lembut.
4 .Masukkan santan dan kerisik.
5. Masukkan gula dn garam secukup rasa
6. Masak hingga kuah menjadi pekat
7. Sedia untuk dihidang

Saiz hidangan : 7- 8 orang
Masa memasak : 50 minit – 1 jam
Cara memasak : Tumis dan reneh
Jenis masakan : Lauk utama
Keistimewaan : Hidangan eksotik yang kurang lemak, kalori dan kaya zat besi
Anggaran kos : RM 50

INFO CHEF :Jika anda ingin memakan daging yang amat kurang lemak dan kalori, daging rusa adalah pilihan terbaik cuma harganya agak mahal sedikit.

2.RENDANG BAHU KAMBING

BAHAN-BAHAN :

  • 600 gm daging bahu kambing | direbus terlebih dahulu
  • *Ambil sedikit air rebusan
  • 200 gm cili padi | ditumbuk halus
  • 100 gm serbuk jintan manis
  • 100 gm serbuk jintan putih
  • 300 gm kerisik
  • 4 batang serai | diketuk
  • 2 helai daun kunyit | dihiris/carik
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis secukupnya

Bahan dikisar :

  • 400 gm bawang merah
  • 200 gm bawang putih
  • 50 gm halia
  • 200 gm lengkuas

CARA MEMASAK :
1. Pijarkan minyak dalam kuali. Tumis bahan-bahan yang dikisar sehingga naik bau dan garing.
2. Setelah itu masukkan serbuk jintan manis, jintan putih,cili padi, serai dan sedikit air untuk mengelakkan dari kering.
3. Kemudian masukkan bahu kambing, kacau rata biarkan rencah sebati dengan daging, masukkan air rebusan kambing secukupnya. Apabila air daging hampir kering masukkan santan.
4. Seterusnya masukkan daun kunyit dan kerisik. Masukkan garam dan gula secukup rasa apabila daging sudah empuk.
5. Makanan sedia untuk dihidang

Saiz hidangan : 10 orang makan
Waktu memasak : 1jam
Cara memasak : Tumis dan reneh
Jenis hidangan : Lauk utama
Keistimewaan : Rendang sedap dimakan bersama ketupat, nasi impit dan leman
Anggaran kos : RM 45

INFO CHEF: Biarkan daging mereneh lama, agar ia benar-benar

3.RENDANG DAGING KERBAU

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg daging kerbau | dihiris lebar
  • 1liter santan pekat
  • 500ml santan cair
  • 4 sudu makan kerisik
  • 3 batang serai | dititik
  • 3cm lengkuas | dititik
  • 1 sudu makan air asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis secukupnya

Bahan Kisar:

  • 10 biji bawang merah
  • 10 tangkai cili kering
  • 6 ulas bawang putih
  • 2cm halia
  • 3cm kunyit hidup
  • 3 batang serai

CARA MEMASAK:
1. Bersihkan daging dan toskan.
2. Panaskan minyak, tumiskan bahan kisar hingga wangi dan pecah minyak.
3. Masukkan daging, kacau rata, dan biarkan air daging keluar.
4. Setelah air daging kering masukkan santan cair, biarkan mereneh hingga daging empuk.
5. Masukkan pula santan pekat, air asam, garam dan gula secukupnya.


6. Apabila timbul minyak, kecilkan api dan masukkan kerisik.
7. Teruskan kacau hingga kuah rendang pekat atau kering. Bergantung kepada citarasa anda.

INFO CHEF:
Daging kerbau popular di negeri Pahang dijadikan hidangan lauk utama di Hari Raya dan juga kenduri kahwin.

Saiz hidangan: 12-15 orang.
Jenis hidangan: Lauk pauk.
Waktu memasak: 1 jam.
Cara masak: Tumis dan reneh.
Keistimewaan: Rasa daging lebih kenyal dan enak dihidangkan bersama lemang.
Anggaran kos: RM30.

 

4. RENDANG PEDAS UDANG

BAHAN-BAHAN:

  • 1kg udang saiz XL |dibersihkan dan tos
  • 1liter santan pekat
  • 2 helai daun kunyit | dicarik-carik
  • 3 batang serai | dititik
  • 1 keping asam gelugor
  • Garam dan gula secukup rasa

Bahan Kisar:

  • 10 tangkai cili kering
  • 3 tangkai cili kering
  • 8 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 2cm halia
  • 3cm lengkuas
  • 3cm kunyit hidup

CARA MEMASAK:
1. Masukkan santan dalam kuali bersama bahan kisar.
2. Masak sehingga kuah hampir pekat.
3. Seterusnya, masukkan udang, daun kunyit, serai, asam gelugor, garam dan gula secukupnya.
4. Kecilkan api dan kacau selalu sehingga rendang kering.
5. Sedia dihidangkan.

INFO CHEF: Untuk rasa udang yang lebih manis, goreng udang seketika dan ketepikan. Masukkan bila kuah rendang hampir kering.

Saiz hidangan: 10 orang.
Jenis hidangan: Lauk pauk….
Waktu memasak: 35 minit.
Cara masak: Reneh.
Keistimewaan: Enak dan pedas sesuai dimakan bersama lemang atau ketupat.
Anggaran kos: RM40.

5.RENDANG DAGING TOK PERAK

BAHAN-BAHAN :

  • 1 1/2 kg daging/dipotong ikut saiz dikehendaki
  • 3 liter santan kelapa
  • 1 biji kelapa parut/disangai jadi kerisik
  • Sedikit isi kelapa / dihiris kecil jadikan kepingan dan disangai
  • 2 helai daun kunyit /dicarik
  • 3-4 helai daun salam/dicarik
  • 3 batang serai /dititik
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 4 biji bunga lawang
  • 10 biji bunga cengkih
  • 1 1/2 keping gula nipah/kabung atau melaka
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak untuk menumis

Bahan disangai/goreng tanpa minyak :

  • 1 1/2 sudu makan jintan manis
  • 1/2 sudu makan jintan putih
  • 2 sudu makan biji ketumbar

Bahan dikisar :

  • 20 biji cili kering/rendam dahulu
  • 1 sudu teh lada hitam
  • 1 labu bawang besar
  • 5 ulas bawang putih
  • 3 sm lengkuas
  • 5 sm halia
  • 3 sm kunyit hidup
  • Bahan yang disangai tadi/dikisar sekali

CARA MEMASAK :
1. Perapkan daging dengan sedikit bahan kisar.
2 .Panaskan minyak dan tumiskan serai, kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan baki bahan kisar. Tumiskan rempah hingga wangi.
3. Masukkan daging yang diperap beberapa jam tadi. Kacau.
4. Masukkan santan, gula Melaka/kabung, separuh dari kerisik, daun salam dan daun kunyit yang telah dicarik. Kacau sedikit dan biarkan ia masak, tambah air jika perlu.
5. Bila daging empuk masukkan semua baki kerisik dan kepingan kecil kelapa yang disangai tadi, kacaukan. Masakkan rendang tok ini biar betul-betul kering.
6. Hidangkan panas-panas

Saiz hidangan : 10 orang
Masa memasak : Satu jam
Cara memasak : Tumis dan reneh
Jenis masakan : Lauk utama
Keistimewaan : Rendang Tok popular di negeri-negeri utara
Anggaran kos : RM 40

INFO CHEF: Rempah yang disangai menerbitkan rasa wangi dan aroma rempah yang lazat. Pilih daging batang pinang, jika mahu rendang yang cepat empuk dan sedap.

ANDA MUNGKIN JUGA SUKA RESIPI INI :

DAN JUGA RESIPI INI :

Published by
Faridah Talib