Nak Bagi Ikan Bilis Sentiasa Ranggup, Kena Cuba 9 Kaedah Ni!

Share

Ikan bilis goreng memang enak. Teksturnya yang rangup serta berperisa menjadikan ia sesuai dinikmati bersama hidangan nasi dan sebagainya.

Ramai juga dikalangan ibu-ibu yang gemar menyimpan stok ikan bilis goreng tetapi ada kalanya ikan bilis yang digoreng menjadi tidak rangup dan kurang enak setelah lama disimpan. Petua-petua di bawah boleh membantu anda.

1.Pilih Ikan Bilis Berkualiti

Terdapat pelbagai jenis ikan bilis yang dijual dan harganya juga berbeza mengikut gred serta kualiti. Untuk mendapatkan ikan bilis goreng yang mudah dimasak, garing serta enak, guna ikan bilis yang berkualiti. Ia boleh dilihat dari segi ikan bilis yang bersih, berwarna terang dan tidak hapak.

 

2.Guna Ikan Bilis Saiz Sederhana

 

Sebelum membeli ikan bilis, pilih ikan bilis yang bersaiz sederhana dan tidak terlalu besar. Bilis yang besar lebih liat serta agak lambat untuk garing ketika digoreng.

 

3.Keringkan Sepenuhnya

Selepas membasuh ikan bilis, pastikan ia dikeringkan dengan sepenuhnya sebelum dimasak. Guna tisu dapur sudah memadai bagi mengurangkan kelembapan.

 

4.Guna Cuka

 

Ada juga yang menggunakan cuka bagi mendapatkan bilis goreng yang rangup. Caranya mudah sahaja, masukkan ikan bilis ke dalam bekas dan renjiskan cuka hingga rata. Biarkan 5 minit dan goreng seperti biasa.

 

5.Guna Minyak Panas

 

Sebelum menggoreng, pastikan minyak telah dipanaskan terlebih dahulu dalam kuantiti yang secukupnya.

 

6.Goreng Guna Api Sederhana

Semasa menggoreng, perlahankan api agar ikan bilis yang digoreng tidak cepat hangus. Guna api sederhana dan masak sehingga ikan bilis menjadi kuning keemasan.

 

7.Tos Minyak Sepenuhnya

Setelah diangkat, toskan lebihan minyak menggunakan tisu dapur. Ia bagi mengelakkan ikan bilis menjadi berminyak sewaktu disimpan.

 

8.Simpan Dalam Balang Kedap Udara

 

Setelah ikan bilis goreng sejuk, masukkan segera ke dalam balang kedap udara. Ia amat penting bagi mengelakkan ikan bilis masuk angin dan menjadi lemau.

 

9.Goreng Secara Berperingkat

Jika anda mahu menggoreng ikan bilis dalam kuantiti yang banyak, lakukan secara berperingkat. Elakkan menggoreng dalam kuantiti yang banyak secara sekaligus. Ia bukan sahaja menjadikan ikan bilis tidak garing bahkan melambatkan proses memasak.

 

BOLEH CUBA RESIPI IKAN BILIS MENARIK INI:

http://www.rasa.my/cara-cara-menghasilkan-serbuk-pati-ikan-bilis-secara-homemade-sesuai-digunakan-untuk-beri-rasa-pada-makanan-bayi/

Published by
Mastura Abu Kassim