Nak Buat Kek Tapi Tiada Oven dan Mixer, No hal lah!

Share

 

Time Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni, ramai yang mula berjinak-jinak nak ke dapur. Malah ada yang cuba-cuba nak buat kek. Tapi maklumlah, setahun tak sekali buat kek kan? Nah, RASA berikan panduan untuk korang cuba nak buat kek walau tak ada peralatan lengkap di dapur.

Jangan jadikan alasan takda oven dan mixer tak boleh baking ye, banyak resipi kek dan kuih yang tidak memerlukan dua perkakas ini. Jadinya, sebelum memilih resipi yang tidak memerlukan oven dan mixer ada beberapa perkara perlu diberi perhatian supaya hasil kek yang dibuat masak sukses, terutama resipi yang membabitkan pembuatan kek yang memerlukan proses pengembangan,contohnya kek kukus.

Berikut perkara yang perlu diperhatikan sebelum membuat kek tanpa oven dan mixer:-

Gunakan Bahan Pada Suhu Bilik

Kebanyakan resipi kek, terutamanya yang mempunyai tekstur mengembang, bahan-bahan yang akan digunakan mestilah pada suhu bilik kerana ia lebih mudah digaul rata dan tidak ‘terkejut’ apabila berlaku perbezaan suhu secara drastik semasa diadun, dengan ini kek tidak akan ‘bantat’ atau atau mengempis selepas naik semasa dikukus. Oleh itu keluarkan bahan-bahan seperti telur, mentega  dan susu dari peti sejuk dan biarkan sehingga ia pada suhu bilik sebelum digunakan.

 

Kurangkan Penggunaan Telur

Logiknya, telur boleh melembutkan adunan dan memberi rasa pada kek, sebab itu telur dikatakan sebagai agen pengembangan semula jadi adunan bahan.  Namun, telur yang tidak dipukul atau dikacau sempurna boleh meninggalkan bau hanyir telur. Untuk mengatasinya, boleh tukar penggunaan telur dengan bahan lain seperti tauhu lembut atau Chia Seed yang telah direndam.

Gunakan Baking Powder Double Acting

Mixer adalah keperluan dalam baking, antara tujuannya adalah untuk memasukkan udara  supaya adunan mengembang sekata. Sebab itulah ada sebahagian bakers mengabaikan bahan pengembang buatan. Tetapi jika tiada mixer

, anda boleh gunakan baking powder double acting.  Selain praktik digunakan, bahan ini juga mengurang masalah kek menjadi ‘bantat’, apabila anda sukar mengadun bahan menggunaan spatula dan whisk.

Cairkan Bahan Padat Sebelum Sedia Digunakan.

Bila tidak ada mixer, pastikan bahan-bahan yang akan digunakan mudah diadun atau digaul rata dengan spatula atau whisk. Oleh itu bahan padat seperti mentega dan coklat lebih awal dan ayak bahan kering dan lumatkan bahan tambahan seperti pisang menggunakan garpu sebelum dimasukkan dalam adunan.

Pastikan Periuk Pengukus Dalam Keadaan Panas

Sama seperti membakar menggunakan ketuhar yang  perlu dipanaskan sebelum sedia digunakan. Begitu juga dengan pengukus, panaskan pengukus dengan api sederhana dan tutup penutup, biarkan hingga air kukusan mendidih. Harus diingat api yang terlalu besar akan menyebabkan cepat naik dan akan kempis bila sejuk.

Diharapkan dengan tip ini tidak ada masalah lagi untuk anda membuat kek yang mengembang dengan cantik ye.

Published by
Maryam Elyas