Nak Buat Mee Celup Sedap Sama Seperti Di Kedai, Boleh Cuba Resipi Ini!

Share

Kalau sebut pasal mee celup, mesti orang dah terbayangkan mee celup yang terkenal di Kelantan.

Mee celup di Kelantan, antara yang memang mendapat sambutan dan sukar untuk mendapat rasa yang sama seperti di kedai.

Resipi mee celup yang dikongsikan Ben Safwan ini, adalah antara yang paling lengkap.

Boleh ikuti tip yang dikongsikan termasuk dari segi penyediaan bahan yang sama supaya anda dapat merasai kenikmatan mee celup pada level sebenar.

Namun, apa yang penting, anda harus ambil masa sediakan bahan rencah terlebih dahulu. Dah siap bahan rencah, baru buat mee celup, meggi celup dan nasi air ni.

 

MEE CELUP PALING SEDAP

 

10 BAHAN RENCAH YANG MENYEDAP MEE CELUP VERSI KELANTAN:

1. BAHAN MINYAK CILI

4 batang serai | potong pendek, masukkan dalam food chopper & ketepikan
2 labu bawang putih | kupas, masuk food chopper & ketepikan
5 cm halia muda | kupas, masuk food chopper & ketepikan
½ genggam cili padi | potong, masuk food chopper & ketepikan
½ genggam cili besar | potong, masuk food chopper & ketepikan
2 cawan minyak masak
4 sudu teh serbuk cili

CARA MENYEDIAKAN:

1. Guna 2 cawan minyak masak. Goreng satu persatu bahan di atas ikut urutan. Api sederhana kecil ja. Angkat bila garing.
2. Simpan semua bahan termasuk minyak yang sama ke dalam bekas kaca. Minyak tu tunggu suam .Masukkan 4 sudu teh serbuk cili untuk lebih sedap.

 

2. BAHAN AIR LADA:

½ genggam lada Thai
½ cawan jus limau Thai dalam botol
4-5 sudu makan cuka

[Jangan Terlepas Resipi Menarik Di Channel Rasa]

CARA MENYEDIAKAN:

1. Cincang lada thai setengah genggam guna food chooper tanpa air. Masukkan ½ cawan jus limau thai dalam botol dan 4-5 sudu makan cuka.
2. Biarkan 1 malam di luar dan seminggu dalam peti, baru sedap makan.

 

3. BAHAN LADA SOLOK JERUK:

Lada solok (ikut nak guna banyak mana, saya guna 1.2kg – 1.5kg lada solok. Senang buat banyak sekaligus)
½ sudu makan kapur
4-5 cawan air
2 cawan cuka
5-6 sudu makan gula
2 sudu teh garam

CARA MENYEDIAKAN:

1. Potong lada solok. Lepas tu rendam dengan air dan masukkan ½ sudu makan kapur. Rendam 1 jam. Tujuan supaya cili tak lembik nanti kekal rangup dijeruk.
2. Lepas tu, tos bersih bagi buang rasa kapur tu. Ketepikan. Didihkan air dalam periuk. Dah mendidih, tutup api.
3. Masukkan lada dan kacau sebati 30 saat. Ingat 30 saat je. Lepas tu, cepat-cepat buang air dan alirkan air paip. Masukkan dalam bekas bersih.
4. Panaskan 4,5 cawan air dengan 2 cawan cuka, 5-6 sudu makan gula serta 2 sudu teh garam. Lebih/kurangkan bergantung kuantiti dan rasa.


5. Tak perlu tunggu mendidih. Dah nampak hancur gula dan garam, tutup api. Biarkan sejuk.
6. Dah sejuk tuang dalam bekas lada tadi dan biarkan semalaman. Dah boleh makan dah lada jeruk. Guna lada solok kalau nak bertambah sedap.

 

4. KACANG TANAH

Beli di kedai kacang tanah kisar yang tak berapa halus.

5. SERBUK CILI THAI

Boleh beli di shopee. Saya beli guna keyword ‘serbuk cili thai’. Pilih yang halus lagi sedap.

 

6. SERBUK LADA PUTIH

Beli di mana-mana ikut suka.

[Sertai Telegram Geng Rasa Share Resipi]

7. IKAN BILIS RANGUP

Masukkan 1 genggam ikan bilis dalam air fryer, renjis minyak sikit dan bakar suhu 200 selama 12-13 minit. Pasti garing sedap. Kalau tiada AF, goreng macam biasa.

 

8. BAWANG GORENG ASLI

Saya beli yang RM15 sebotol. Yang homemade dan rasanya sedap sangat. Yang tak de tepung berkilo melekat pada bawang.

 

9. GARAM
10. GULA HALUS

 

RESIPI KUAH MEE CELUP

BAHAN-BAHAN:

4-5 liter air
Ayam/perut muda/perut tebal/tulang rusuk/daging
1 serai | diketuk
3 ulas bawang putih | ketuk
2 batang akar ketumbar | ketuk
1cm halia | ketuk
2cm lengkuas | ketuk
1 kayu manis
1 sup bunjut
1 cengkih
2 sudu makan kicap pekat (saya guna jenama Jalen)

CARA MEMASAK:

Masukkan dalam periuk, ketuk semua yang mana perlu. Lepas tu masukkan dalam periuk. Renehkan 50-60 minit supaya turun air daging, air ayam tu bagi sedap. Tak perlu perasakan dengan garam gula. Itu diproses nak makan dah.

 

BUBUR NASI

BAHAN-BAHAN:

1 cawan beras
6-7 cawan air

CARA MEMASAK:

1. Masak atas api dapur gas, biarkan dan kacau sesekali hingga nasi sudah bertukar jadi bubur.
2. Bila tengok kanji dah mula keluar, bersedia untuk tentukan tahap mana anda suka bubur tu. Jangan terlalu hancur. Tak sedap nanti.
3. Meggi, mee,mihun celur je macam biasa.
4. Untuk sayur, gunakan kangkung, tauge, daun ketumbar dan asam limau nipis. Bukan limau kasturi.
5. Kangkung dan tauge tu rendam je dalam air panas. Tak perlu rebus.

CARA GABUNG:

1. Letak mee, meggi, bihun, nasi air dalam mangkuk. Letak isi ayam, perut muda, daging atau apa-apa lauk anda suka. Tambah pula sayur semua. Letak kuah secukupnya.
2. Baru letak 1 ½ sudu teh gula halus, ½ garam, dan semua bahan rencah sikit-sikit.
3. Perah asam limau dan gaul semua. Cuba rasa. Yang mana tak cukup lagi, tambah.
4. Semua ni atas skill pembuat/pengadun mee celup. Masa menulis ni pun, saya boleh bayang satu-satu dan menitik air liur.

Kredit: Ben Safwan

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap dan cepat dimasak di laman web Rasa

Tonton lebih banyak video masakan mudah dan sedap Dailymotion @Rasa dan YouTube @Majalah Rasa Official

Published by
Ibnatie -Aziza Mat Roff