Ikan keli harganya tidak begitu mahal. Tapi rasanya sangat sedap. Boleh pula dimasak macam-macam jenis masakan. Memang ada yang tak makan ikan ini. Tapi bagi yang suka, macam-macam masakan ikan keli nak dicuba. Nah, RASA berikan lima jenis resipi untuk anda cuba.

IKAN KELI GORENG BERLADA

 BAHAN-BAHAN

  • 10 ekor ikan keli sederhana besar 
  • 1 sudu besar sos ikan
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak secukupnya untuk menumis dan menggoreng

BAHAN-BAHAN (DIKISAR KERING)

  • 6 biji cili merah 
  • 3 biji lada besar (cili solok)
  • 5 biji cili padi hijau
  • 5 biji cili padi merah
  • 6 tangkai cili kering – direndam sehingga lembut dan dibasuh
  • 2 biji bawang besar – dibelah empat
  • 6 ulas bawang putih
  • 1 inci kunyit hidup

CARA MEMBERSIHKAN IKAN KELI

  1. Kebiasaannya ikan keli yang kita beli di pasar telah siap dipotong hujung kepala dan dibelah perutnya.  Bagi memudahkan kita memegang ikan keli yang agak licin dan berlendir, apa yang perlu kita buat ialah masukkan ikan keli di dalam sebuah besen bersama beberapa sudu garam besar dan beberapa biji limau kasturi yang diperah airnya.  Tutup dengan tudung periuk dan goncang.  Ketepikan selama 5 minit, kemudian ambil limau kasturi tadi dan gosok-gosokkan atas badan ikan keli.  Basuh ikan keli.  Anda akan dapat rasakan ikan keli telah kurang berlendir dan mudah untuk dipegang.
  2. Bersihkan semua bahagian isi perut hingga insang serta buang sekali darah beku pada bahagian kepala untuk menghilangkan hanyir. Potong kedua-dua patil dan sirip ekor serta sirip-sirip yang lain. Cuci dengan air bersih dan perapkan bersama limau kasturi dan garam selama 10 minit. Kemudian dibersihkan.

CARA PENYEDIAAN

  1. Selepas ikan dibersihkan, lumur dengan serbuk kunyit dan sedikit garam, gaul rata.  
  2. Panaskan minyak. Goreng ikan tadi sehingga garing, angkat dan toskan. Susun di atas pinggan. 
  3. Tumis bahan-bahan kisar tadi hingga garing. Tuangkan 1/2 cawan air, sos ikan, garam dan gula secukup rasa. Kacau lagi dan masak sehingga bahan-bahan tadi kering sedikit.
  4. Kemudian curahkan sambal tadi di atas ikan. Siap untuk dimakan.

Kredit resipi & foto: Kak Noor

 

MASAK LEMAK CILI PADI IKAN KELI SALAI

BAHAN-BAHAN

  • 6 ekor ikan keli salai
  • 1 1/2 kotak santan kotak
  • 1 keping asam keping
  • 1 helai daun kunyit
  • Garam

BAHAN (TUMBUK)

  • 1 tangkai cili merah 
  • 4-5 tangkai cili padi – ikut kepedasan masing-masing
  • 1-2 inci kunyit hidup

CARA PENYEDIAAN

  1. Basuh ikan bersih dan toskan. Ketepikan.
  2. Masukkan bahan tumbuk ke dalam periuk dengan sedikit air supaya cili masak. Masukkan air secukupnya dan santan. Kacau rata supaya santan tidak berketul. 
  3. Masukkan daun kunyit, garam dan asam keping. Bila mendidih, masukkan ikan dan kacau rata sehingga ikan masak. Sesuaikan rasa. Bolehlah ditutup api. 

INFO: Boleh masukkan juga belimbing buluh ketika santan mendidih. Sangat sedap.

Kredit resipi & foto: Azie Kitchen 

 

IKAN KELI BAKAR BERSAMA AIR ASAM BUNGA KANTAN

BAHAN-BAHAN

BAHAN A

  • 2 ekor ikan keli (Dibersihkan dan dikelar rapat) 
  • 1 sudu teh serbuk kunyit 
  • 2 biji cili api 
  • 1 batang serai 
  • (Cili api dan serai ditumbuk hancur bersama)
  • Garam secukup rasa

BAHAN B (AIR ASAM)

  • 1 kuntum bunga kantan (Dihiris halus) 
  • 4 biji cili api (Dihiris kasar)
  • 2 biji cili merah (Dihiris kasar)
  • 1 sudu teh belacan bakar 
  • 1 sudu makan asam jawa 
  • 1 cawan air (Dibancuh bersama asam jawa)
  • 1 biji tomato (Dipotong dadu)
  • 1 labu bawang besar (Dipotong dadu)
  • 1 sudu teh gula 
  • 5 biji limau kasturi (Diambil perahannya) 
  • Garam secukup rasa 

CARA PENYEDIAAN

  1. Lumurkan garam, serbuk kunyit, cili api, dan serai pada ikan, kemudian bakar ikan sehingga garing. 
  2. Bagi membuat air asam, masukkan bahan yang dikisar kasar bersama air asam jawa ke dalam mangkuk. 
  3. Kemudian, gaulkan bersama tomato, bawang besar, bunga kantan, perahan limau kasturi, gula, dan garam. 
  4. Sedia dihidangkan bersama ikan keli bakar.

Kredit resipi & foto: Chef Hanieliza 2

 

IKAN KELI GULAI BEREMPAH DAUN KESUM

BAHAN-BAHAN

  • 5 ekor ikan keli (saiz besar)
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu serbuk ketumbar
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1 cawan minyak masak
  • 1 cawan air
  • 8 tangkai cili kering
  • 5 biji bawang merah
  • 1 inci kunyit
  • ½ inci lengkuas
  • ½ halia
  • (Cili kering, bawang merah, kunyit & lengkuas dikisar bersama dengan air)
  • 1 sudu makan serbuk kari
  • 1 cawan santan pekat
  • 10 tangkai daun kesum
  • 2 keping asam gelugur

CARA PENYEDIAAN

  1. Bersihkan ikan keli dan kelarkan. Gaulkan ikan keli dengan serbuk kunyit dan garam.
  2. Panaskan minyak masak. Goreng ikan keli sehingga agak garing. Angkat dan ketepikan.
  3. Masukkan bahan kisar, serbuk kari, santan pekat, daun kesum, dan asam gelugur ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih.
  4. Masukkan ikan keli, gula dan garam. Biarkan mendidih. Siap untuk di hidang.

Kredit resipi & foto: Rismas Hanim

IKLAN

 

ASAM PEDAS IKAN KELI

BAHAN-BAHAN

  • 2 ekor ikan keli
  • 1 biji tomato – belah 4
  • 1 kuntum bunga kantan- belah 2
  • 1 genggam daun kesom
  • 5 biji kacang bendi
  • 1 1/2 senduk nasi cili kisar
  • 1/2 camca besar pes asam jawa
  • Air secukupnya
  • Garam secukup rasa

BAHAN TUMBUK HALUS / KISAR

  • 5 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 3/4 inci kunyit hidup
  • 1/2 inci halia
  • 1/2 inci belacan

CARA PENYEDIAAN

  1. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan tumbuk halus hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis cili hingga garing, guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya . Biar mendidih.
  3. Masukkan bunga kantan, daun kesom dan ikan, masak dengan api sederhana. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Akhir sekali masukkan tomato dan kacang bendi, masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api.

INFO:

  1. Jumlah air ikut suka kepekatan yang disukai
  2. Cili kisar pun boleh tambah atau kurangkan sesuka hati

Kredit resipi & foto: Cida de’ Nuanza

Selamat mencuba!