Nasi Ambeng kini diisytihar dan diwartakan sebagai makanan warisan Selangor!
Majlis perisytiharan dan pewartaan makanan warisan tersebut dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Hotel Avani, Sepang.
Tujuan pewartaan nasi ambeng sebagai makanan warisan Selangor adalah bagi memberi ketetapan untuk ciri-ciri elemen nasi ambeng yang asli dan berasal dari Selangor.
Menurut Amirudin, pengisytiharan yang dilakukan ini ingin memartabatkan dan memastikan kelestarian nasi ambeng sebagai salah satu makanan warisan yang terdapat di Selangor.
“Proses bagi pewartaan nasi ambeng telah bermula semenjak tahun 2021 dan dimulakan dengan kajian sumber bertulis dan kajian lapangan, kemudian disusuli dengan Bengkel Meja Bulat yang dihadiri oleh para pengusaha nasi ambeng dari lima daerah yang popular dengan hidangan ini iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.
“Hasil daripada perbincangan tersebut telah memberikan satu kata putus bagi menghasilkan ciri-ciri Nasi Ambeng Selangor yang kemudian diwartakan sebagai Makanan Warisan Selangor,” jelas Amirudin.
Chef Suwarsi M Arukin, antara individu yang terlibat proses pewartaan Nasi Ambeng Selangor.
Umumnya, Nasi Ambeng dikenali sebagai makanan tradisional masyarakat Jawa yang kebiasaannya dihidangkan ketika kenduri seperti tahlil dan doa selamat.
Isinya terdiri daripada nasi putih yang dihidangkan bersama dengan lauk seperti ayam, sambal goreng Jawa, serunding kelapa dan mi goreng.
Juadah ini dihidangkan di dalam talam dan dikongsikan bersama-sama empat hingga enam tetamu.
Mengikut tradisi masyarakat Jawa, ketua keluarga yang menghadiri majlis tersebut akan menjamah sedikit nasi berkenaan sebelum ia dibahagikan dan dibawa pulang sebagai berkat kepada ahli keluarga di rumah.
Keunikan cara nasi ambeng dihidangkan ini menjadikannya menu tradisi yang bukan hanya enak malah mempunyai nilai falsafah yang tersendiri seperti kesepakatan dan perpaduan antara ahli masyarakat.
Bagi ciri-ciri Nasi Ambeng Tradisional Selangor, ia perlulah mengandungi nasi putih, ayam masak semur, mi goreng, ikan masin, serunding kelapa, sambal goreng dan rempeyek.
Tidak dilupakan, sempena pengisytiharan tersebut, Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS) menganjurkan Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor 2022 hari ini dari jam 9 pagi hingga 4 petang.
Ia merupakan suatu program kebudayaan dan kemasyarakatan bagi mewujudkan kesedaran berkenaan kepentingan nasi ambeng sebagai juadah tradisional daripada sudut budaya serta identiti bangsa di Selangor.
Sebanyak 2,022 dulang Nasi Ambeng dihidangkan secara percuma, sekali gus mencipta rekod di dalam Malaysia Book of Records sebagai hidangan nasi ambeng terbesar di Malaysia.