Buah Berangan kalau makan masa suam-suam, memang sedap. Biasanya kalau di pasaraya atau pasar tani, ia dijual dalam bentuk yang sudah masak. Kalau lalu di RnR Genting Sempah, memang ralitlah melihat penjual Buah Berangan ni duk melambai-lambai.
Jarang sekali jumpa Buah Berangan yang dijual mentah apatah lagi melihat pokok asalnya. Menyedari keunikan tanaman ini, seorang pemuda melalui posting di laman sosial telah menjemput sahabat-sahabat alam maya untuk datang ke kebunnya bagi mengenali dan merasai sendiri pengalaman mengutip buah berangan.
Menurut Hafiyullah Afiq selaku pemilik kebun, pokok-pokok Berangan ini pada mulanya hanya ada beberapa pokok sahaja namun lama kelamaan ia makin membiak. Kini, beliau memilik 10 batang pokok yang sedang berbuah lebat.
Posting beliau di laman sosial mengenai pokok Buah Berangan yang berbuah lebat ini menarik perhatian ramai sehinggakan ada yang sangup turun dari Kuala Lumpur ke Kedah semata-mata mahu merasai sendiri keseronokan mengutip hasil hutan ini. Oleh yang demikian, sempena cuti umum hujung minggu nanti, beliau sekali lagi menjemput orang ramai untuk datang ke kebun.
Salam hormat. Tumpang lalu…Sekali lagi bersiaran atas permintaan rakan-rakan yang nak datang ke kebun Berangan saya di lokasi Lata Celak Kg Iboi Kupang, Baling Kedah Darul Aman. Saya ingin mempersilakan terutama tuan admin en Izham Alias dan akak-akak, makcik-makcik, mak-mak, toknek-toknek yang nak mai ke kebun saya yang tak seberapa ni. Berhajat nak tengok pokok Berangan sambil mengutip buahnya sekali, saya open. Buka pintu pagaq ni seluas-luasnya kepada group Rakan Kebun Bandar JTS FB pada hari yang mulia.
Nampak menarik kan? Tengoklah buahnya. Bergugus-gugus. Bagi anda yang nak tengok rupa pokok Buah Berangan dan rasai sendiri pengalaman mengutip buah ni, bolehlah hubungi pemiliknya dan berkunjung ke Lata Celak Kg, Iboi Kupang, Baling Kedah.
Kredit foto: Hafiyullah Afiq