Kalau anda ada di pusat beli-belah One Utama, jangan lupa singgah ke restoran Noodle Shack. Restoran yang mula beroperasi sejak 2009 ini menyajikan hidangan mi dan pencuci mulut yang amat sedap. Dimiliki oleh pasangan suami isteri berbangsa Cina namun segala bahan yang digunakan adalah daripada pengedar yang mempunyai sijil halal.
Mencintai makanan yang sedap bagaikan masakan ibu, Natalie Ng Phui Phui dan suaminya, Joseph Sun Chee Fai yang juga sebagai Pengurus Besar dan Pengasas Noodle Shack menampilkan hidangan bangsa Cina tanah air yang boleh dinikmati oleh semua bangsa di Malaysia. Secara mudahnya, Noodle Shack menyediakan hidangan mi yang dikenali sebagai Mian Fen Gua atau lebih mudah, Pan Mee serta Ban Mian.
Mi yang dimasak secara tradisional ini diberikan nafas baru supaya lebih segar, diperkaya dengan cita rasa dan lebih lembut. Pun begitu, menurut Natalie, walaupun resipinya diperbaharui mengikut peredaran masa, namun dia sesekali tidak berkompromi tentang rasa dan cara membuat supaya tidak menjejaskan cita rasa.
CITA RASA BERBEZA
Jika pada hari ini, kebanyakan restoran menyediakan makanan dengan pantas secara komersial. Misalnya menggunakan mesin dan menambah perasa tiruan, pewarna dan juga penambah perisa. Namun di Noodle Shack, Natalie selaku Pengarah Perniagaan dan Pemasaran mengakui bahawa mereka masih mengekalkan keaslian rasa hidangan yang disediakan.
“Kami berbangga kerana menawarkan makanan yang lebih sihat sebagai menggalakkan pelanggan makan makanan sihat. Semua makanan yang kami hidangkan tiada sebarang MSG, tiada pengawet dan tiada pewarna tiruan. Malah kami masak dengan cara terbaik iaitu kurang garam dan kurang minyak,” ujarnya.
Sebab itulah restoran ini dikatakan sebagai restoran yang menyediakan comfort food untuk pelanggan. Hidangannya sihat, bercirikan masakan rumah, sedap dan menyihatkan. Bagi anda yang mahukan hidangan kaum Cina tanah air yang dimasak menggunakan bahan berkualiti dan halal, bolehlah ke sini untuk mencuba.
MI DIMASAK SENDIRI
Kebanyakan restoran menyediakan hidangan mi menggunakan mihun, mi kuning atau kuetiau yang dibeli di pasar raya. Namun berbeza dengan Noodle Shack yang memasak mi sendiri untuk diolah menjadi resipi mengikut menu yang disediakan. Malah mi yang dihidang pula warnanya berbeza mengikut bahan asli yang digunakan untuk dimasak.
“Setiap mi di sini kami masak sendiri bukan dibeli di mana-mana pasar raya. Sebab itulah rasanya takkan sama dengan mana-mana kedai. Semuanya dihidangkan segar dari dapur. Resipi kami adalah resipi tradisional kaum Hakka. Semua bangsa boleh mencuba resipi kami. Ibu kepada suami saya memang suka masak dan beliau masak sendiri mi untuk dinikmati seisi keluarga. Dari situlah timbul idea untuk mengkomersialkan hidangan keluarga kepada orang ramai,” ceritanya lagi.
SUASANA SEPERTI DI RUMAH
Menikmati hidangan di restoran Noodle Shack, terasa bagaikan makan di rumah. Manakan tidak, suasana restoran ini dihias bagaikan persekitaran kediaman kita di rumah. Dengan adanya potret di dinding yang bagaikan potret keluarga. Turut mencuri perhatian adalah lampu neon yang bagaikan kita makan di bawah lampu suasana kediaman bangsa Cina suatu ketika dulu.
Ruang di sebelah dapur juga amat ringkas dekorasinya namun turut sedap mata memandang. Hiasan seperti ruang kanak-kanak mencetuskan suasana riang tatkala menikmati makanan. Malah semua pelayan di restoran ini juga amat dedikasi dan peramah.
Meja kerusi kayu dan dinding kayu turut menguatkan lagi persekitaran bagaikan di rumah sendiri. Inilah yang ingin Natalie dan suaminya tonjolkan kepada pelanggan iaitu mereka mahu pelanggan benar-benar merasai suasana makan masakan ibu sendiri di rumah.
“Selain mengangkat suasana seperti di rumah, saya turut membuat kelainan pada buku menu. Saya reka buku menu berbentuk buku nota sekolah. Ini kelainan yang ingin saya tonjolkan supaya pelanggan ingat restoran kami dengan keunikan ini,” katanya lagi.
Selain di pusat beli-belah One Utama, Noodle Shack juga ada cawangannya di IPC Shopping Centre dan Avenue K di Jalan Ampang. Orang ramai boleh mengunjungi mana-mana cawangan Noodle Shack untuk menikmati hidangan mi homemade yang sedap dan menyihatkan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI