Nu Ideaktiv, EML Meterai Kerjasama, Sasar Segmen Pengiklanan PKS

Share

Nu Ideaktiv Sdn Bhd (Nu Ideaktiv) dan Enrichment Media Lab (EML) Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang menyaksikan pelantikan EML sebagai rakan pakar media mensasarkan segmen Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Melayu.

Nu Ideaktiv yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Syamil Fahim Mohamed Fahim, manakala EML diwakili Pengarah Urusannya, Muhamad Ashraf DM Tej Nasir.

Menerusi kerjasama ini, Enrichment Media Lab akan bertindak sebagai rakan pakar media yang menyediakan perkhidmatan dan perundingan untuk pakej pemasaran serta pengiklanan eksklusif bagi segmen PKS dalam industri kecantikan, kesihatan, makanan dan minuman, pakaian, perabot, pendidikan dan bimbingan

Menurut Syamil Fahim, kerjasama ini juga bertujuan membantu perniagaan dan pengasas jenama untuk berkembang menerusi hebahan media meluas, pelaksanaan acara dan promosi rentas platform yang dimiliki Nu Ideaktiv di digital, program tv dan banyak lagi.

“Agensi media ini berpengalaman dalam pelaksanaan projek skala besar dan sederhana, banyak kerjasama yang telah dijalinkan dengan jenama terkenal dalam perniagaan PKS.

“Melihat kepakaran EML dalam segmen industri pengiklanan dan pengetahuan mereka terhadap strategi pemasaran PKS, ini satu peluang dan kelebihan bagi Nu Ideaktiv berkolaborasi untuk menguasai segmen pengiklanan media PKS,” katanya.

Antara kerjasama awal adalah penerbitan rancangan televisyen, perjalanan keibubapaan pengasas syarikat produk kecantikan tempatan, Noir Health & Beauty Sdn Bhd, Eriyca Baiduri Abd Rashid menerusi PA&MA: Diari Madammu.

Selain itu, rancangan Impinan Makeover Ruang Selebriti yang dihiasi Ella Furniture yang mana kedua-duanya bakal bersiaran di Astro awal tahun hadapan.

Sementara itu, Pengarah Urusan EML, Muhamad Ashraf DM Tej Nasir berkata, pihaknya akan merlihat kelebihan dan cabaran yang ada untuk bantu melonjakkan jenama dan pasaran PKS.

“NU Ideaktiv mempunyai idea yang hebat, tetapi dari segi PKS pula, mereka memerlukan pendekatan atau pengiklanan dengan cara yang berbeza kerana perniagaan dalam dunia maya ketika ini sangat kompetitif,” tambahnya.

Published by
Ibnatie -Aziza Mat Roff