Pelbagai kisah usahawan kedai makan boleh dikorek apabila bercerita halangan ketika dilanda wabak COVID-19. Siapa sangka, disebabkan berhenti kerja dalam waktu wabak yang menggila sedang melanda, akhirnya lahirlah kedai makan di sebelah kediaman yang dinamakan Icelicious.
Menurut empunya Icelicious, Nazurah Ahmad, suaminya, Abdul Rashid Nordin yang bekerja di Singapura terpaksa meletak jawatan disebabkan ingin menjaga ibunya yang sakit. Sukar untuk menjaga ibu jika dia bekerja disebabkan tidak boleh keluar masuk seberang tambak kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Apabila mengambil keputusan berniaga sendiri, kami perlu lakukan bersungguh-sungguh. Menu yang ditampilkan juga perlu istimewa supaya lebih ramai pelanggan datang berulang kali,” ujarnya percaya niat yang baik pasti dibalas dengan seribu kemanisan.
Icelicious bermula pada Julai 2020 dengan menu iced blended sahaja. Disebabkan itulah namanya Icelicious. Namun pada Ogos 2022, menu ditambah kepada hidangan makan dengan menu utamanya ikan bakar. Jadi, namanya kini Icelicious Ikan Bakar.
Iced blended ada pelbagai pilihan. Namun yang popular adalah Coffee Caramel, Vanilla, Coffee Hazelnut dan Strawberry. Harga bermula dari RM7.00 hingga RM8.50.
Menariknya menu ikan bakar di sini, pelanggan boleh pilih sos dwipilihan. Sos tersebut sama ada sos sambal ataupun sos kuah pecel (kuah lemak cekur).
Pilihan ikan yang ada adalah:
– Cencaru
– Keli
– Pari
– Bawal
– Siakap
– Ada juga sotong
“Menu paling banyak permintaan adalah nasi lemak ikan bakar. Pada awalnya, kami ragu juga untuk buka menu ikan bakar sebagai hidangan makan malam. Biasanya orang suka tomyam. Namun, ternyata ikan bakar juga turut banyak permintaan walaupun pada waktu malam,” ujarnya lagi yang sentiasa berfikiran positif.
Harga ikan bakar dan sotong bakar bermula dari RM6 hingga RM35 seekor.
“Iced blended mula dijual pada pukul 11 pagi. Manakala masakan panas dan ikan bakar kami mulakan dari pukul 4 petang. Kedai kami beroperasi hingga pukul 11 malam. Kami cuti pada setiap Khamis,” tambahnya.
Icelicious Ikan Bakar
Lokasi: Jalan Bawal, Taman Jaya Diri 2, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor
Waktu Operasi: 11 pagi hingga 11 malam. (Ikan bakar mula pukul 4 petang) Tutup setiap Khamis.
Kredit: Facebook Icelicious Official