Padu. Ini Cara Masak Nasi Kandar Sedap Secara Homemade.

Share

Bagi penggemarnya, sajian Nasi Kandar memang sedap dan membuka selera. Hidang dengan kuah banjir, lengkap dengan bendi dan cili hijau. Wah..memang makan tak pandang kiri kanan dah. Biasanya sajian begini boleh dinikmati di restoran-restoran sahaja. Kali ni apa kata cuba buat sendiri. Resipi perkongsian saudari Siti Fatimah Mohd Jamil ni memang terbaik dan lengkap. Nak masak pun mudah. Suami dan anak-anak anda pasti puji.

 

CARA MASAK NASI KANDAR SEDAP SECARA HOMEMADE

KARI SOTONG

BAHAN-BAHAN:

  • 4-5 ekor sotong – dibersihkan
  • 3/4 cawan serbuk kari daging babas – bancuh dengan air hingga pekat
  • Air secukupnya
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 biji terung – potong kecil
  • 1 biji tomato – belah 4
  • Cili padi
  • Garam, gula & perasa secukupnya

BAHAN TUMIS:

  • 1 biji bawang besar – hiris memanjang
  • 4 ulas bawang putih – hiris
  • 1 inci halia – hiris
  • 1 inci kunyit hidup – hiris
  • 2-3 tangkai daun kari
  • Sup bunjut

CARA MEMASAK:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan tumis hingga naik bau.


2. Masukkan serbuk kari daging yang telah dibancuh dengan air.


3. Bila rempah telah pecah minyak, masukkan sedikit air.


4. Kemudian masukkan sotong bersama 2 cawan air. Biar hingga mendidih dan masak.


5. Masukkan juga 1 keping asam gelugur. Jika masuk awal, isi sotong akan jadi liat.
6. Seterusnya masukkan terung dan cili. Cili adalah optional. Jika tidak suka pedas, abaikan.


7. Akhir sekali masukkan tomato. Biarkan kuah memekat dan perasakan dengan garam, gula serta perasa dengan secukupnya.


8. Angkat dan sedia dihidangkan.

 

KUAH KICAP PEKAT ALA DEEN MAJU

BAHAN-BAHAN:

  • 8-10 tangkai cili kering – kisar
  • 1 biji bawang besar – kisar
  • 4 ulas bawang putih – kisar
  • 1/2 cawan air
  • Hirisan bawang besar secukupnya
  • Cili padi – optional
  • Kicap manis secukupnya
  • Garam, gula dan perasa secukupnya
  • Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK:
1. Tumis bahan-bahan kisar hingga wangi. Kemudian masukkan air.


2. Bila sudah pecah minyak, masukkan hirisan bawang besar.


3. Masukkan juga cili padi (jika suka).


4. Masukkan kicap manis hingga warnanya cantik.


5. Perasakan dengan gula, garam dan perasa dengan secukupnya.


6. Kuah kicap ini mesti rasa manis yang seimbang barulah sedap. Siap untuk dihidang.

 

 

AYAM GORENG MAMAK

BAHAN-BAHAN:

  • 4-5 ketul ayam
  • 4 ulas bawang putih – kisar
  • 1 inci halia – kisar
  • 1 sudu teh garam
  • 3 sudu serbuk kunyit
  • 3 sudu serbuk kari
  • 3 sudu seerbuk cili
  • 2 sudu gula
  • Serbuk perasa secukupnya
  • 1-2 tangkai daun kari
  • 1 senduk kecil tepung beras
  • Minyak untuk menggoreng

CARA MEMASAK:


1. Bersihkan ayam dan lumur bersama bahan kisar dan garam. Perap selama 30 minit.


2. Bila ayam sudah sedia untuk dimasak, masukkan serbuk kunyit, serbuk kari, serbuk cili, gula dan serbuk perasa ke dalam bekas. Gaul bersama ayam. Tidak perlu perap kerana ayam akan rasa pahit.


3. Masukkan daun kari. Lagi banyak digunakan, lagi harum baunya.


4. Apabila minyak mula dipanaskan, masukkan tepung beras. Lumur pada ayam.


5. Ayam yang telah siap dilumur dengan tepung beras.


6. Goreng ayam dalam minyak yang banyak dan betul-betul panas. Kemudian guna api kecil bagi memastikan ayam masak sekata.


7. Angkat dan toskan minyak.

 

NASI HARUM & TAK MUAK

BAHAN-BAHAN:

  • 2.5 pot beras + 3 pot air ( empunya resipi guna beras faiza dan sukat guna pot periuk nasi elektrik)
  • 2 helai daun pandan
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu teh esen pandan

CARA MEMASAK:
1. Basuh beras dan masukkan bahan-bahan lain. Kacau sebati.


2. Masak nasi dalam periuk elektrik seperti biasa.
3. Bila masak, hidangkan nasi bersama Kari Sotong, kuah kicap pekat, Ayam Goreng Mamak, telur masin, bendi celur dan cili hijau.

INFO: Rebus telur masin bersama akan melemakkan lagi rasa nasi.

 

Kredit resipi & foto: Siti Fatimah Mohd Jamil

 

Tercari-cari ‘AIR FRYER’ yang berkualiti dengan harga yang berpatutan? Boleh dapatkan DISINI.

 

Nak lebih banyak resipi best? Boleh cuba resipi di bawah ni:

 

Published by
Nur