Bihun goreng memang nampak senang je nak masak. Tetapi benda yang senang ni la yang kita selalu ‘fail’ nak masak. Ada je bihun keras la, bihun lembik macam bubur lah. Tawar lah. Memang macam-macam. Jom lihat panduan basic untuk memasak bihun agar elok sempurna. BArulah tak segan sangat nak hidang buat tetamu masa raya nanti.
1. Kenali ‘Perangai’ Bihun.
Bihun ni nampak je sama tetapi ‘perangai’nya berbeza-beza. Mana tak nya, ada yang masa masak, kena lebihkan air, ada yang kena kurangkan air. Macam-macam. Oleh itu, jika nak masak hidangan bihun ni sebaiknya gunalah jenama yang anda biasa masak. Ini kerana kita dah tahu jumlah air yang diperlukan, berapa lama kena rendam dan sebagainya. Barulah bila masak, elok je rupa bihun goreng anda.
2. Rendam Dengan Air Biasa.
Ramai yang keliru, nak rendam bihun ni guna air panas ke air biasa? Maklumlah, nampak keras kejung je kan? Sebaiknya, guna sahaja air paip biasa tu. Jika nak cepat masak, boleh lebihkan air semasa menggoreng. Jika anda merendamnya menggunakan air panas, dikhuatiri bihun anda akan terlebih lembik seterusnya menyukarkan proses menggoreng. Bihun yang direndam dengan air panas ni lebih sesuai digunakan untuk masakan berkuah seperti bihun sup, soto, kari dan sebagainya.
3. Jangan Banjirkan Kuali.
Setelah rencah ditumis, kita akan masukkan air. Masa proses ni, sebaiknya jangan masukkan air dalam kuantiti yang banyak sekaligus. Untuk satu paket bihun, sebaiknya masukkan dahulu dalam dua gelas air dan setelah mendidih, masukkan bihun. Jika setelah digaul, bihun anda masih keras, barulah tambahkan air. Ia adalah cara selamat untuk memastikan bihun goreng anda tak jadi bubur.
Selain itu, jika sebelum goreng kondisi bihun anda memang sudah lembut dan lembik, sebaiknya jangan masukkan air. Gaul sahaja bersama bahan tumisan dan tambah air jika perlu sahaja.
4. Gaul Dengan Lemah Lembut.
Bihun sifatnya lembut. Oleh tu, janganlah terlalu ganas masa menggaul. Lakukan dengan lemah lembut. Jika tidak, akhirnya nanti pasti bihun anda akan menjadi terlalu hancur. Tak sedap uols!
5. Tambah Garam, Gula. Jangan Biar Tawar .
Waktu yang sesuai untuk menambah perasa seperti gula dan garam ke dalam bihun adalah selepas masukkan bihun dan airnya masih ada. Namun, jika air telah kering tetapi bihun anda masih lagi kurang rasa, usah risau. Ada caranya. Ambil garam dan gula dalam kuantiti yang secukupnya ke dalam mangkuk, tambah sedikit air dan kacau hingga larut. Kemudian, tuang ke atas bihun goreng dan gaul sehingga rata. Cara lain, anda juga boleh tambahkan kicap atau sos ikan. Ikut citarasa masing-masing.
6. Api Jangan Besar Sangat!
Bihun ni berkanji. Jadi, semasa menggoreng elakkan guna api yang terlalu besar lebih-lebih lagi setelah air bihun kering. Guna api sederhana sahaja bagi mengelakkan bihun goreng anda hangus. Kurang sedaplah nanti rasanya. Kuali pun jadi berkerak. Penat tu nak sental.
7. Guna Sudip Bersesuaian
Ha..jangan tak tahu. Sudip masak pun mempengaruhi rupa paras bihun goreng tau. Jika masa memasak tu, gunalah sudip yang mempunyai bentuk empat segi yang memang sesuai digunakan untuk masakan kacau goreng. Jangan pula anda guna sudip berbentuk bulat yang biasa guna untuk goreng cekodok tu. Tak sesuai tau! Nak ceduk pun payah.