Dengan tiga bahan utama dalam pekasamnya, Kamarul Asiah Muhamad atau lebih mesra dipanggil Along menghasilkan pekasam yang sangat sedap. Tiga bahan utama itu ialah garam, asam keping atau asam kandis dan beras sangai.
Di bawah jenama De’Imaz, Along menghasilkan tiga jenis pekasam iaitu pekasam daging, pekasam ayam dan pekasam ikan sungai. Ikan yang digunakan adalah ikan loma dan ikam lampam. Produk ini telah berada di pasaran selama dua tahun dan mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pelanggan.
Menurut Along, “Saya menghasilkan pekasam kerana ingin memelihara khazanah orang dulu-dulu agar tidak luput ditelan zaman. Lagipun saya ingin generasi masa kini dan akan datang dapat mengenali produk warisan ini. Saya tak nak suatu hari nanti, mereka tak kenal apa itu pekasam.”
APA YANG BEST?
Kalau selalu orang kata pekasam ni jenis makanan yang berbau, tapi Pekasam De’Imanz tidak begitu. Keistimewaan produk ini adalah dari segi rasanya yang tidak terlalu masin. Pekasam ini juga tidak berbau kerana ada bau beras yang disangai sehingga kuning menggunakan api yang kecil. Itulah yang menjadikan pekasam ini istimewa.
Sesuai sangat untuk dijadikan sebagai instant food dan disimpan untuk dimakan ketika tak sempat nak masak lauk lain. Boleh dibawa travel.
BERAPA LAMA TAHAN?
Kalau disimpan dalam freezer, boleh tahan sehingga lebih enam bulan. Kalau disimpan di luar peti sejuk, boleh tahan dua minggu. Proses pembuatan semuanya dilakukan di rumah. Maknanya pekasam ini dibuat secara homemade.
RESIPI MASAK PEKASAM DAGING PETAI
BAHAN-BAHAN
1 senduk minyak masak
1 peket pekasam daging De’Imanz
1 labu bawang besar (dihiris)
1/2 labu bawang holand (dihiris)
Segenggam cili padi merah + cili padi hijau (dihiris)
Sedikit petai
CARA MEMBUAT
1. Panaskan minyak masak.
2. Masukkan 1 peket pekasam daging.
3. Masak sehingga agak kering.
4. Masukkan bawang besar, bawang holand, cili padi dan petai. Kacau sehingga garing.
5. Matikan api dan angkat. Sedia dihidang.
Selamat mencuba!