Pencarian Ikon Wanita Moden Masa Kini Menerusi ‘Ratu Hijabista’

Share

Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2012, Majalah Hijabista terbukti berjaya memberi impak sekaligus mewarnai industri penerbitan dan digital tanah air. Sehingga kini, jenama Hijabista juga sering menjadi rujukan golongan wanita berhijab khusus dalam memberi inspirasi, tip kecantikan, fesyen dan juga kerohanian.

Justeru, buat julung kalinya pihak Astro menerusi kerjasama strategik di antara saluran Astro Prima dan pihak Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. bakal menganjurkan pertandingan realiti ‘Ratu Hijabista’ bagi mencari ikon wanita berhijab yang berinspirasi dan boleh menjadi contoh kepada segenap lapisan masyarakat.

Bakal bersiaran selama lapan minggu, para peserta harus memperlihatkan pesona ratu ideal melalui siri cabaran yang bakal menguji kekuatan fizikal dan mental serta keazaman mereka untuk menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat sekaligus berentap untuk merebut gelaran juara.

Diacarakan oleh Uyaina Arshad dan Fikry Ibrahim, rancangan ini bakal menyaksikan kemunculan personaliti pengacaraan terkenal, Puan Sri Normala Samsudin yang diberi mandat untuk menggalas tanggung jawab selaku juri tetap untuk musim pertama ini.

Rangkaian program ‘Ratu Hijabista’ akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 12 Ogos 2020.

Juara ‘Ratu Hijabista’ akan membawa pulang wang tunai RM10,000, tiara, trofi dan selempang. Tempat kedua pula bakal membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi dan selempang manakala pemenang ‘Hijabista Favourite 2020’ pula akan dipilih berdasarkan undian peminat tertinggi di laman web rasmi www.hijabista.com.my

Penganjuran ‘Ratu Hijabista’ juga turut disokong oleh Safi Hijabista yang hadir sebagai Penaja Utama untuk penganjuran musim pertama. Manakala ZAYAN pula turut menghulurkan sokongan selaku Radio Rasmi.

Published by
Nur