Mamee Monster, siapa je yang tak suka dengan snek makanan ringan dengan bungkusan ceria berwarna biru dan kuning ini. Rasanya yang rangup dan sedap dengan perencah tersendiri.
Di sebalik populariti jenama ini yang berjaya dipasarkan ke 100 negara sejak berpuluh-puluhan tahun, pengasasnya Datuk Pang Chin Hin dilaporkan meninggal dunia, Sabtu lalu.
Memetik laporan akhbar Sin Chew Daily, Chin Hin, 96, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 6.03 pagi. Mendiang meninggalkan tiga anak lelaki dan tiga anak perempuan.
Menyingkap sejarah Mamee Monster, Chin Hin asalnya bermula sebagai pengedar kereta terpakai sehinggalah pada tahun 1971, beliau membuka kilang kecil di bawah nama Pacific Food Products di Melaka untuk mengeluarkan produk mi segera.
Meskipun begitu, kejayaan tidak bergolek. Produk pertama iaitu Lucky Instant Noodle yang dikeluarkan setahun selepas itu tidak mendapat sambutan dan gagal di pasaran.
Sehinggalah pada tahun 1974, anak lelaki Chin Hin, Tan Sri Pang Tee Chew mendapat ilham mi segera siap dengan perisa tambahan selepas melihat penoreh getah di Malaysia memakan mi segera yang belum dimasak terus dari bungkusan.
Snek makanan ringan itu kemudiannya diberi nama Mamee Monster, yang ternyata membawa tuah dan kejayaan besar buat syarikat Chin Hin.
Tahun demi tahun perubahan dilakukan dan syarikat kemudiannya diberi nama baru sebagai Mamee-Double Decker pada tahun 1992 dan menghasilkan lebih daripada 50 makanan ringan.
Antara produk keluaran syarikat ini ialah snek Double Decker, Mister Potato, Nutrigen dan mi segera Mamee Chef.