Khabar pemergian Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali menghadap Ilahi awal pagi hari ini membuatkan ramai terkejut. Berita sedih buat kami.
Beliau amat dekat di hati kami karyawan Majalah Rasa kerana dahulu ketika di bawah Grup Majalah Karangkraf dia adalah antara ketua yang menjadi rujukan kami. Malah setelah tidak lagi sebumbung, beliau tetap bertanya khabar, mengambil tahu tentang kami.
Berita pemergiannya telah disahkan sendiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dalam Twitter beliau. Menurutnya, setakat jam 7.08 pagi, jenazah Allahyarham masih berada di hospital dan akan dibawa ke rumahnya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.
Semoga sahabatku Dtk Abd Jalil Ali damai di sana. Dunia kewartawanan sudah kehilangan sebuah bintang.
“Semoga sahabatku Datuk Abd Jalil Ali damai di sana. Dunia kewartawanan sudah kehilangan sebuah bintang,” katanya dalam ciapan di akaun Twitter miliknya.
Berusia 66 tahun, berpengalaman lebih 47 tahun dalam bidang penulisan dan kewartawanan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas. Beliau juga ialah Profesor Adjung di Fakulti Kemanusian, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah.
Tulisannya Sangat Digemari
Kehebatannya dalam bidang penulisan sememangnya tidak perlu dipertikaikan. Professionalismenya dalam profesion ini sangat disanjung, dihormati dan disegani. Tulisannya sentiasa mampu ‘menangkap’ perhatian. Dari isu politik, ekonomi, kemasyaraktan hinggalah kepada penulisan santai yang ringan, mesej yang disampaikan sangat tajam, padat dan tepat. Malah dalam penulisan yang lucu juga pasti terselit sindiran penuh pengajaran. Tidak keras , tidak menimbulkan amarah.
Lalu tidak hairanlah tulisannya sentiasa dinantikan. Cerita tentang kisah keluarga di Majalah Keluarga membuatkan ramai pembaca tidak sabar untuk menunggu untuk kisah bulan hadapannya. Belum lagi kisah pengantin baru dalam kolum yang dikendalikannya di Majalah Pesona Pengantin. Pasti membuatkan pengantin baru dan pengantin lama tersipu-sipu dan senyum sendirian. Malah sering kami yang membaca beramai-ramai berderai tawa kerana baris ayat yang dicoret sentiasa mencuit hati.
Koleksi Buku Tentang Kehidupan & Motivasi
Dalam kesibukan tugasnya, beliau juga sempat menghasilkan beberapa buku tentang kehidupan dan motivasi. Juga dari koleksi artikel yang disiarkan dalam kolum khasnya di beberapa majalah. Antara buku-buku tulisannya adalah Asam, Garam, Kopi & Gula. Kopi O Tanpa Gula, Teh Tarik Kurang Manis dan Dari Menara KL serta Asam Pedas Sirap Bandung,sebuah buku motivasi.
Ads
Melihat buku-bukunya, nama-nama makanan menjadi tajuk yang menarik. Ya itulah kehidupan. Ibarat makanan yang kita ambil saban hari. Setiap rasa ada cerita dan kisahnya. Pendekatan mudah ini nyata mudah diterima oleh pembaca.
Beliau juga sangat dekat dihati setiap kakitangan di Karangkraf. Seorang ketua, mentor dan sifu yang sangat disenangi. Sangat disayangi. Yang sentiasa punya jawapan dan jalan penyelesaian dalam setiap masalah terutama dalam penulisan. Ideanya sentiasa mencurah, nasihat dan ceritanya pasti membuatkan ramai kakitangan merasa sangat selesa kala berbicara dengannya.
Ads
Setiap kakitangan disapa dengan mesra. Bertanya khabar bukan sahaja tentang kerja, malah tentang kehidupan dan keluarga juga. Sambil pasti memberi nasihat dan ingatan. Pasti selalu dalam berbicara akan juga diingatkan kami, agar selalu jaga ibu ayah, jaga keluarga, jaga isteri, jaga suami , jaga anak-anak. Jasa dan budi baiknya akan sentiasan kami hargai. Kebaikan, nasihat dan perkongsian ilmunya akan tetap kami kenang.
Doa kami semoga rohnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah. – Ida Abd Aziz – Editor Pengurusan
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi. Download seeNI sekarang!
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyaksikan penutupan Program Pemakanan Sihat Gardenia #RollingHealthyWithRollUpWraps oleh Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd.
SMK Seri Permaisuri telah dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan di antara 20 buah sekolah di sekitar Lembah Klang. Dalam program itu, pelajar-pelajar dan guru dari setiap sekolah dikehendaki bekerjasama dalam mencipta resipi berpandukan kedua-dua Piramid Makanan Malaysia dan Pinggan Sihat Malaysia.
Program Pemakanan Sihat Gardenia #RollingHealthyWithRollUpWraps bermula pada penghujung tahun 2021 di mana pelajar dan guru dari 20 buah sekolah di sekitar Lembah Klang telah berkumpul dalam persidangan atas talian yang mana juga merupakan pelancaran program tersebut. Taklimat di atas talian tersebut kemudiannya disusuli dengan pengedaran Gardenia Roll-Up Wraps di sekolah-sekolah berikut. Poster dan papan rentang yang penuh berinformasi tentang amalan pemakanan sihat juga diletakkan di sekitar pekarangan sekolah bagi sentiasa mengingatkan pelajar tentang faedah dan garis panduan pemakanan sihat.
Wakil dari setiap sekolah terdiri daripada satu pasukan yang dianggotai oleh seorang guru pembimbing dan tiga orang pelajar. Di pusingan pertama, setiap kumpulan dikehendaki mereka cipta resipi sihat menggunakan Gardenia Roll-Up Wraps dan menghantar entri tersebut dalam bentuk video pendek menarik yang membawa mesej “Tabiat Pemakanan Sihat”.
Video itu kemudiannya dimuatnaik di media sosial dengan hashtag #RollingHealthyWithRollUpWraps untuk dinilai oleh panel juri dari Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. Entri tersebut kemudiannya disenarai pendek kepada hanya lima resipi terbaik yang bersaing antara satu sama lain pada pusingan akhir, hari ini, di Dewan Serbaguna Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi. Lima sekolah yang tersenarai ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Selatan; SMK Sentul Utama; SMK Seri Permaisuri; SMK St Mary; dan SMK Taman Setiawangsa.
Resipi yang memenangi tempat pertama ialah The Permaisuri oleh SMK Seri Permaisuri. Kumpulan ini dibentuk oleh Haslina Ramli sebagai guru pembimbing, bersama Nor Adriana Batisyia, Nurul Farlisa Idrish, dan Adeem Khairil dari Tingkatan 5. Menurut Haslina, kumpulan itu mengambil masa empat hari untuk menghasilkan resipi yang sempurna dan beberapa siri percubaan dan kesilapan terlibat dalam mendapatkan resipi yang tepat.
“Tabiat pemakanan sihat perlu diterapkan pada usia muda. Dengan itu, #Rollinghealthywithrollupwraps adalah sebahagian daripada harapan yang lebih tinggi untuk memperkasakan belia dengan makan dengan lebih sihat. Kempen ini bukan sahaja menyediakan informasi pemakanan, ia juga melibatkan para pelajar dalam penyediaan hidangan mereka yang diharapkan dapat menggalakkan kelestarian dan meningkatkan penyesuaian gaya hidup pemakanan sihat. Di samping itu, penyediaannya sangat mudah. Apa yang anda perlu lakukan ialah, Just Wrap It!” kata Lavinia Anthony, Pengurus Pemasaran, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd.
Lavinia menambah bahawa program ini adalah projek perintis yang dijangka akan diperluas jangkauannya kepada 80 lagi sekolah di Semenanjung Malaysia dalam masa terdekat.
Ha…Inilah 10 resipi Bubur Lambuk popular yang RASA agihkan kepada orang ramai sempena program RASA Bubur Lambuk Warisan yang bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Projek dengan kerjasama BABA’S, Petron Gasul dan Saji serta penaja lokasi, MBSA meneruskan tradisi untuk berkongsi rezeki Ramadan dengan menyumbangkan Bubur Lambuk kepada barisan frontliner, golongan asnaf, masjid dan orang ramai.
Sebanyak 6000 pek Bubur Lambuk diagihkan. Maklumlah, bila tibanya Ramadan, salah satu menu yang menjadi buruan ramai tentunya sajian Bubur Lambuk. Ia adalah salah satu juadah paling popular dan dinanti-nantikan oleh semua. Memang sedap!
Bubur Lambuk popular tentunya Bubur Lambuk Kg Baru. Tapi tahukah anda sebenarnya setiap negeri di Malaysia ni mempunyai resipi Bubur Lambuk warisan yang tersendiri? Setiap satunya punya keistimewaan masing-masing.
Sekali imbas, nampak sama, tetapi sebenarnya ia punya keunikan yang tersendiri adri segi penggunaan rempah dan juga rencah. Sekali sekala, cubalah rasa Bubur Lambuk dari negeri yang berlainan. Anda pasti teruja!
Jadi sempena bulan puasa ini, RASA kongsikan 10 resipi Bubur Lambuk Warisan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Dari Utara hinggalah ke Borneo, semua ada! Pastinya sangat enak. Resipi yang dikongsi ini juga untuk sukatan 2 periuk dimana boleh menghasilkan 600 pek Bubur Lambuk. Mudah bagi anda yang nak masak dalam jumlah yang banyak. Jom cuba!
1.BUBURLAMBUK KUALA TERENGGANU
RESIPI UNTUK 600 ORANG 2 PERIUK
BAHAN-BAHAN:
50kg beras
16kg ikan selayang
18kg santan
3kg halia
3kg keledek
3 sudu besar kerisik
4 kiub ikan bilis
Garam
Gula
6 ketul gula Melaka
Perasa
Budu secukup rasa
BABA’S Serbuk Lada Hitam
BAHAN KISAR HALUS:
4kg bawang besar
3kg bawang putih
BAHAN DAUN:
Pucuk midin (75% keseluruhan daun)
Pucuk ubi
Pucuk kemangin
Daun kaduk
2 helai daun kunyit
Daun kesum
Pucuk manis
Daun kunyit
CARA MEMASAK:
Mulakan dengan masak beras hingga menjadi bubur.
Seterusnya masukkan bahan kisar halus dan halia ketuk. Kacau.
Tambahkan pula ikan yang dikisar halus. Kacau.
Kemudian masukkan keledek, diikuti santan dan kiub ikan bilis. Kacau.
Campurkan pula kerisik. Masak sehingga mendidih.
Lepas agak-agak keledek sudah masak, masukkan segala daun. Kacau rata.
Tambah pula garam, gula dan BABA’S Serbuk Lada Hitam dan budu. Rasa, jika cukup rasa lemak dan masinnya, dah siap.
Tutup api dan boleh dihidang panas-panas.
2. BUBUR LAMBUK SELANGOR
UNTUK 600 ORANG 2 PERIUK
BAHAN-BAHAN:
50kg beras – basuh dan toskan
18kg santan
8kg minyak kelapa
4 tin besar minyak sapi
18kg daging cincang atau potong dadu
(Udang besar jika suka)
3kg halia muda – dikisar
3kg udang kering – kisar separuh hancur
3kg bawang putih
4kg bawang besar
120 helai daun pandan
Penumis:
Bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga, halba dan kulit kayu manis
3kg BABA’S Rempah Sup
1kg BABA’S Briyani
800gm BABA’S Serbuk Kurma
200gm BABA’S Serbuk Lada Hitam
Lobak merah – potong dadu kecil
Kacang tanah putih
4kg daun sup & daun bawang
Garam
Penambah rasa
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak kelapa dan minyak sapi. Masukan rempah 3 sekawan.
Kemudian tumis bawang besar dan bawang putih. Bila sudah kuning, masukkan daun pandan.
Masukkan BABA’S Rempah Sup, BABA’S Serbuk Briyani dan BABA’S Serbuk Kurma. Masak hingga naik minyak dan garing.
Masukkan daging dan kacau rata. Bila air daging kering sedikit, masukkan halia dan udang kering.
Masukkan BABA’S Serbuk Lada Hitam. Masak hingga wangi dan garing.
Masukkan air sehingga separuh periuk. Masak hingga air mendidih baru masukkan beras dan kacang putih.
Bila beras sudah kembang dan hampir masak, masukan santan, lobak merah dadu dan letak perasa secukupnya.
Bila siap, taburkan daun bawang dan daun sup.
3. BUBUR LAMBUK KUANTAN
RESIPI UNTUK 600 ORANG 2 PERIUK
BAHAN-BAHAN:
50kg beras
16kg ikan selayang panggang
18kg santan
6kg sotong
6kg udang
3kg halia
3 sudu besar kerisik
4 kiub ikan bilis
Garam
Gula
6 ketul gula Melaka
Perasa
BAHAN KISAR:
4kg bawang besar
3kg bawang putih
200gm BABA’S Serbuk Lada Hitam
BAHAN DAUN:
Pucuk midin (75% keseluruhan daun)
Pucuk kemangin
Daun kaduk
2 helai daun kunyit
Daun kesum
Pucuk manis
Daun kunyit
CARA MEMASAK:
Mulakan dengan masak beras hingga menjadi bubur.
Seterusnya masukkan bahan kisar halus dan halia ketuk, kacau.
Tambahkan pula ikan yang dikisar halus, kacau.
Kemudian masukkan keledek diikuti santan dan kiub ikan bilis. Kacau.
Campurkan kerisik. Masak sehingga mendidih.
Tambah pula garam, gula dan BABA’S Serbuk Lada Hitam.
Rasa, jika cukup rasa lemak dan masinnya, boleh tutup api dan dihidang panas-panas.
4. BUBUR LAMBUK PULAU PINANG
RESIPI UNTUK 600 ORANG 2 PERIUK
BAHAN-BAHAN:
50kg beras
18kg santan
3kg halia
3kg keledek
3 sudu besar kerisik
200gm BABA’S Serbuk Lada Hitam
800gm BABA’S Serbuk Ketumbar
800gm BABA’S Serbuk Jintan Manis
950gm BABA’S Rempah Sup
Garam
Gula
Perasa
BAHAN KISAR:
4kg bawang besar
3kg bawang putih
SAYURAN:
Daun pudina
Daun pandan
Lobak merah
Kacang dhall
Kacang buncis
CARA MEMASAK:
Mulakan dengan masak beras hingga menjadi bubur.
Seterusnya masukkan bahan kisar halus, halia ketuk, BABA’SSerbuk Ketumbar, BABA’S Serbuk Jintan Manis dan BABA’S Rempah Sup. Kacau.
Kemudian masukkan santan dan kacau.
Campurkan pula kerisik. Masak sehingga mendidih.
Lepas agak-agak sudah masak, masukkan segala daun. Kacau rata.
Tambah pula garam, gula dan BABA’S Serbuk Lada Hitam.
Jika cukup rasa lemak dan masinnya, tutup api dan boleh dihidang panas-panas.
5. BUBUR LAMBUK KOTA BHARU
RESIPI UNTUK 600 ORANG 2 PERIUK
BAHAN-BAHAN:
50kg beras
18kg santan
10kg ikan Selayang
3kg ikan masin bulu ayam
3kg halia
3 sudu besar kerisik
4 kiub ikan bilis
200gm BABA’S Serbuk Lada Hitam
Garam
Gula
Perasa
Budu secukup rasa
BAHAN KISAR:
4kg bawang besar
3kg bawang putih
BAHAN DAUN:
Pucuk midin (75% keseluruhan daun)
Pucuk ubi
Pucuk kemangin
Daun kaduk
2 helai daun kunyit
Daun kesum
Pucuk manis
Rebung
CARA MEMASAK:
Mulakan dengan masak beras hingga menjadi bubur.
Seterusnya masukkan bahan kisar halus dan halia ketuk. Kacau.
Tambahkan pula ikan yang dikisar halus, kacau.
Kemudian masukkan santan dan kiub ikan bilis. Kacau lagi.
Campurkan pula kerisik. Masak sehingga mendidih.
Lepas agak-agak sudah masak, masukkan segala daun. Kacau rata.
Tambah pula garam, gula, BABA’S SerbukLada Hitam dan budu.
Rasa untuk pastikan cukup lemak dan masinnya. Tutup api dan boleh dihidang panas-panas.
6. RESIPI BUBUR LAMBUK KUALA PERLIS
RESIPI UNTUK 2 PERIUK(600pax)
BAHAN-BAHAN:
60kg beras – direndam
12kg santan
8kg minyak masak
20kg udang kertas @ udang rencah
4 cawan santan pekat
8 kiub ikan bilis
400gm BABA’S Serbuk Lada Hitam
400gm BABA’S Serbuk Lada Putih
30 batang serai
4kg bawang merah
3kg bawang putih
3kg halia
Kulit kayu manis
Bunga cengkih
Daun sup
CARA MEMASAK:
Rebus beras sampai kembang.
Masukkan kulit kayu manis, bunga cengkih, halia, bawang, kiub ikan bilis, BABA’S Serbuk Lada Hitam, BABA’S Serbuk Lada Putih dan serai.
Masukkan udang dan barulah masuk pati santan.
Letakkan garam secukup rasa diikuti daun sup dan bawang goreng.
Sedia untuk dinikmati.
7. RESIPI BUBUR LAMBUK KULAI, JOHOR
RESIPI UNTUK 2 PERIUK(600pax)
BAHAN-BAHAN:
60kg beras beras – cuci dan toskan
Air secukupnya
12kg santan
18kg isi ayam
Daun pandan – simpul
30 batang serai – diketuk
1kg BABA’S Serbuk Briyani
8 kiub ayam
Sup bunjut
Kacang kuda – rendam semalaman, toskan
Sayur campur (lobak merah. jagung, kacang pis)
400gm BABA’S Serbuk Lada Hitam
Kulit kayu manis
Bunga lawang
Bunga cengkih
Buah pelaga
Pucuk paku merah yang siap disiang
Garam secukup rasa
8kg minyak masak
4 tin besar minyak sapi
BAHAN KISAR HALUS:
4kg bawang besar
3kg bawang putih
3kg halia
BAHAN SAMPINGAN:
Hirisan daun sup
Hirisan daun bawang
Bawang goreng
Serunding secukupnya
CARA MEMASAK:
Satukan bahan kisar halus dengan BABA’S Serbuk Briyani, kacau rata hingga menjadi pes.
Panaskan minyak dalam periuk. Tumis kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga dan serai hingga harum. Masukkan pes rempah dan kacau hingga pecah minyak.
Masukkan beras. Gaul rata dan masak sekejap.
Tuang air, masukkan daun pandan, sup bunjut, kiub ayam, kacang kuda (toskan) dan isi ayam. Kacau rata dan masak hingga beras kembang menjadi bubur dan kacang kuda empuk.
Tambah sayur campur, BABA’SSerbuk Lada Hitam dan garam secukup rasa.
Masuk santan, kacau dan jika suka cair, boleh tambah sedikit air.
Akhir sekali masukkan daun pucuk paku merah, kacau rata dan rasa, jika sempurna, boleh matikan api.
Hidangkan bubur lambuk dengan bahan-bahan sampingan. Sedap dimakan panas.
8. RESIPI BUBUR LAMBUK KUCHING, SARAWAK
RESIPI UNTUK 2 PERIUK(600pax)
RESEPI BUBUR PEDAS SARAWAK
BAHAN-BAHAN BUMBU:
60kg beras
18kg bawang merah
8kg bawang putih
6kg cili kering – buang biji
4kg kunyit
4kg halia
2kg lengkuas
300 batang serai – hiris kecil
2kg BABA’S Serbuk Lada Hitam
3kg BABA’S Serbuk Lada Putih
3kg BABA’S Serbuk Ketumbar
16kg kelapa parut
60 kuntum bunga lawang
60 kuntum bunga cengkih
60 batang Kulit kayu manis
80 biji buah pelaga
BAHAN-BAHAN BUBUR PEDAS:
Bumbu Bubur Pedas
Udang
Tendon daging lembu
4kg bawang merah
3kg bawang putih
12kg santan
Udang kering
Garam dan gula secukup rasa
8kg minyak
BAHAN SAYUR:
Kacang panjang
Lobak merah
Kentang
Keledek
Rebung manis
Daun kesum
Daun kunyit
Kulat Hitam
Cendawan
Kacang rebus
Jagung Muda
Sayur midin
CARA MEMASAK BUMBU:
Masukkan semua bahan ke dalam kuali dan tumis dengan api sederhana hingga semuanya berubah menjadi warna keemasan.
Setelah selesai, kisar campuran bahan hingga halus dan sebati. Ketepikan dalam satu bekas.
CARA MEMASAK BUBUR:
Tumis bawang merah, bawang putih dan udang kering hingga keemasan dan wangi di dalam periuk.
Kemudian masukkan bumbu bubur pedas yang telah dikisar (campurkan dengan air), kemudian gaul sehingga pecah minyak.
Masukkan udang dan tendon daging lembu. Secara berperingkat, masukkan air hingga semua bahan mendidih.
Kemudian masukkan semua sayur yang dihiris. Gaul rata semua bahan hingga berbau wangi.
Akhir sekali masukkan santan, sedikit garam dan gula.
NOTA: Jika tiada sayur midin, sebagai alternatif boleh digantikan dengan sayur lain seperti kubis.
9. RESIPI BUBUR LAMBUK BUKIT PIATU, MELAKA
RESIPI UNTUK 2 PERIUK(600pax)
BAHAN-BAHAN:
60kg beras – basuh dan toskan
12kg santan besar
20kg daging – potong kecil
4kg udang kering – rendam air panas dikisar kasar
4kg BABA’S Serbuk Sup
3kg bawang putih – dikisar
4kg bawang besar – dikisar
4kg minyak sapi
8kg minyak masak
Daun pandan (basuh dan dicarit-carikkan)
Garam/gula secukup rasa
Air secukupnya
1.2kg BABA’S Serbuk Ketumbar
2kg BABA’S Serbuk Lada Hitam
2kg BABA’S Serbuk Lada Putih
REMPAH TUMIS:
80 batang kulit kayu manis
120 kuntum bunga cengkih
120 kuntum bunga lawang
120 biji buah pelaga
1kg halba
600gm BABA’S Serbuk Jintan Manis
600gm BABA’S Serbuk Jintan Putih
BAHAN TABUR:
2kg daun sup (potong kecil).
2kg daun bawang
Bawang goreng
CARA MEMASAK:
Panaskan periuk. Masukkan minyak masak dan minyak sapi. Apabila panas, masukkan bawang putih, bawang besar yang telah dikisar dan rempah sup. Kacau.
Masukkan rempah 4 sekawan, BABA’S Serbuk Jintan Manis, BABA’S Serbuk Jintan Putih, BABA’S Serbuk Ketumbar dan daun pandan.
Masukkan beras, daging, udang kering dan kacau sebentar. Masukkan air secukupnya. Biar sehingga nasi masak dan mula menjadi bubur.
Masukkan santan, BABA’SSerbuk Lada Hitam, BABA’S Serbuk Lada Putih dan perasa lain.
Biarkan bubur mereneh dan rasa secukupnya.
Taburkan dengan bahan tabur. Siap.
10. RESIPI BUBUR LAMBUK KUBANG PASU, KEDAH
RESIPI UNTUK 2 PERIUK(600pax)
BAHAN-BAHAN
60kg beras – dicuci dan tapis
20kg daging – hiris
4kg halia, dihiris nipis
2kg BABA’S Serbuk Lada Hitam
2kg BABA’S Serbuk Lada Putih
Garam secukup rasa
12kg santan
Air secukupnya
Daun sup dan daun bawang
Bawang goreng
BAHAN TUMIS:
4kg BABA’S Serbuk Sup
4kg bawang merah – dihiris halus
3kg ulas bawang putih – dihiris nipis
8kg minyak masak
CARA MEMASAK:
Rebus daging bersama halia sehingga daging empuk. Tambah sedikit garam
Apabila daging empuk, masukkan beras ke dalam periuk rebusan tadi dan terus rebus sehingga beras kembang. Tambah air jika perlu.
Setelah beras kembang, masukkan BABA’S Serbuk Lada Hitam, BABA’S Serbuk Lada Putih dan garam secukup rasa.
Masukkan juga santan dan kacau rata. Biar mendidih seketika dan boleh la tutup api.
Dalam kuali kecil, panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih sehingga agak garing.
Kemudian masukkan BABA’S Serbuk Sup dan terus kacau.
Masukkan sedikit saja air supaya rempah tak hangus. Kacau seketika dan terus tuang kedalam bubur mcm tumis darat. Kacau rata.
Tabur daun bawang, daun sup dan bawang goreng, dan tutup periuk seketika sebelum dihidangkan.
Chef Zam adalah di antara chef selebriti yang tersentuh jiwa dan prihatin mengenai nasib mereka yang berada di Pusat Kuarantin, anggota polis , golongan asnaf dan gelandangan di kala wabak Covid-19 ini. Aktivitinya membuat kerja sukarelawan dapat dilihat di Instagramnya @ Chef_ Zam.
Usaha murninya bersama badan kebajikan Food Aid Foundation di mana Chef Zam adalah salah seorang pengasasnya menjalankan kerja sukarelawan , menyediakan masakan untuk mereka yang memerlukan memang patut dipuji dan dicontohi masyarakat.
Dalam menjalani Perintah Kawalan Pergerakan ini (PKP) untuk menyekat penyebaran Covid -19 ini ada yang kena berkurung kerana berada di Pusat Kuarantin.
Chef Zam juga prihatin dengan anggota polis yang sibuk bertugas dan lebih -lebih lagi golongan gelandangan dan asnaf yang tidak berkemampuan untuk menyediakan makanan untuk diri dan keluarga.
Ketika dihubungi Chef Zam menerangkan aktiviti ini selari dengan objektif penubuhan Food Aid Foundation iaitu memastikan tiada sesiapa yang kelaparan di Malaysia dan atas prinsip semua orang patut mendapat makanan tanpa mengira bangsa, agama waima kerakyatan.
Bukan hanya ketika wabak Covid-19 sahaja , malah di hari biasa adalah menjadi aktiviti dan rutin kebajikan Yayasan ini menghulurkan bantuan makanan kepada pelarian Rohingya dan pekerja-pekerja asing di negara ini dan golongan susah , asnaf serta gelandangan.
Apabila Covid-19 mula menular bermula 14hb Mac lagi, Food Aid Foundation menambahkan senarai bantuan makanan kepada pusat kuarantin iaitu Akademi Audit Negara di Nilai dan juga pusat kuarantin di AKEPT (Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi) di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
Mereka adalah rakyat Malaysia dan negara jiran yang dibawa pulang dari Iran dan Itali .
Food Aid Foundation juga melipat gandakan bantuan makanan kepada asnaf dan gelandangan dengan menyediakan makanan basah seperti daging, ikan dan ayamdan juga makanan kering.
Kata Chef Zam lagi ,“Jika sebelum bantuan makanan dihantar sendiri, namun kerana covid-19 , ini bantuan set makanan diambil oleh anggota pertahanan awam untuk diserahkan kepada pusat kuarantin dan mereka yang perlu dibantu itu.”
Chef Zam yang juga Pengetua dan Pemilik , Kolej Antarabangsa Silverspoon juga turut merakam penghargaan kepada MBSB Bank (Malaysia Building Society Berhad). Berahim , Air Asia, Tesco, syarikat-syarikat korporat dan orang perseorangan yang turut memberi sumbangan kepada Food Aid Foundation.
Anda juga boleh membuat sumbangan samada wang atau bahan makanan melalui IG dan FB Food Aid Foundation..
Singgang tumis ikan selar, antara lauk ringkas yang pastinya membuka selera. Selain direbus, masak singgang ada banyak jenis, ramai yang tak tahu ada juga...