Petua Buat Cucur Bilis Garing Tapi Lembut Bila Dimakan. Begini Caranya

Share

Memang sedap kalau dapat menikmati sepinggan Cucur Bilis panas-panas. Cicah pula dengan sos, memang berselera. Nak tahu petua menghasilkan cucur atau jemput-jemput yang rangup diluar dan lembut di dalam? Ikut cara ni, adunan pun jadi sempurna. Tidak terlalu lembik dan tidak keras. Barulah cucur bila digoreng, elok bentuknya. Jom lihat cara-caranya.

 

RESIPI CUCUR BILIS YANG GARING & LEMBUT

 

BAHAN-BAHAN:

  • 3 cawan tepung gandum
  • 1 1/2 cawan air panas menggelegak
  • 1/4 cawan air biasa
  • 1 biji bawang besar – didadu
  • 1 biji cili merah – dihiris halus
  • 2 sudu teh perencah MAGGI® Cukup Rasa
  • 1 genggam ikan bilis yang telah dicuci

 

CARA MEMASAK:

1. Masukkan tepung, bawang besar, cili besar, perencah MAGGI® Cukup Rasa dan ikan bilis ke dalam mangkuk.

2. Kacau sekata bahan-bahan tadi.

3. Kemudian masukkan pula air panas. Kacau laju supaya semua bahan sebati dan bergaul rata.

4. Tambah lagi air sejuk dan adun sekata. Tekstur adunan akan jadi sempurna. Tidak lembik sangat dan tidak terlalu keras.

5. Panaskan minyak dengan menggunakan api sederhana perlahan. Jemputkan adunan ke dalam minyak.

6. Goreng seketika. Bila adunan cucur sudah sedikit keras, sentiasa balik-balikkan agar masak sekata.

7. Bila cucur sudah nampak garing, angkat dan toskan minyaknya.

8. Hidangkan untuk keluarga. Enak dimakan bersama sos.

 

PETUA: Kalau nak membuat cucur yang rangup di luar dan lembut di dalam, bancuhan pertama kena guna air panas menggelegak. Selebihnya barulah guna air sejuk biasa. Adunan pula tak lembik dan tak keras sangat baru menjadi cucur yang bulat dan tidak leper apabila digoreng. Selain itu, ikan bilis juga boleh diganti dengan isi udang.

 

Kredit foto: Shutterstock

Published by
Team Rasa