Siapa yang tak sukakan donat gebu dan lembut kan? Paling penting, biarpun sudah lama dibuat ia tetap lembut. Kebanyakan donat memang sedap, tapi bila dah sejuk rasanya dah jadi ‘kureng’. Lepas tu liat pula.
Macam mana nak buat donat agar sentiasa gebu walaupun dah lama? Kalau dimakan waktu panas pun sedap, waktu sejuk pun masih best. Resipi RASA ni paling mudah dan tidak mengelirukan. Tak perlu banyak ramuan. Cukup-cukup saja untuk menghasilkan sehingga 20-25 ketul donat gebu-gebu manja!
RESIPI DONAT GEBU
BAHAN-BAHAN:
- 3 cawan tepung gandum
- 1 cawan air suam
- 2 sudu besar menetga
- 4 sudu besar gula pasir
- 3 sudu besar susu pekat
- 1 paket yis
- 1 biji telur
CARA MEMBUAT:
- Cairkan mentega dan ketepikan. Kemudian larutkan gula dan susu di dalam air suam. Masukkan yis dan sebatikan. Biar selama 10 minit.
- Pukul telur dan campurkan bersama mentega cair. Yis akan berbuih-buih pada waktu ini, Campurkan bersama mentega.
- Kemudian masukkan kesemuanya ke dalam tepung gandum dan gaul menggunakan senduk kayu. Rehatkan adunan selama 45 minit.
- Ambil adunan dan bentuk bulat menggunakan acuan. Biarkan seketika doh yang dah diterap tadi sekali lagi anggaran dalam 5 minit.
- Kemudian goreng dalam minyak penuh dengan api sederhana. Balik-balikkan sehingga warna donut bertukar keemasan. Bolehlah diangkat.
- Salut donut bersama gula atau apa sahaja topping kegemaran anda.
TIP BUAT DONUT GEBU
*Pastikan acuan anda diletakkan sedikit tepung bagi mengelakkan adunan melekat padanya.
* Pastikan yis betul-betul berbuih sebelum dicampur ke dalam adunan.
*Guna air suam untuk bancuh yis. jangan guna air panas kerana ia akan menyebabkan yis mati.
*Setelah doh siap diadun, rehatkan secukupnya bagi memastikan doh kembang.
*Tip mudah untuk menyalut donat dengan gula adalah dengan meletakkannya ke dalam zip lock bag. Kemudian digoncang agar gula rata pada donat.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Resipi Buat Cucur Udang ‘Confirm’ Rangup. Anda Pasti Suka!
Cucur udang memang sedap. Apatah lagi jika anda orang Utara, biasanya cucur udang ni dinikmati bersama kuah kacang. Untuk sarapan pagi atau minum petang, cucur udang adalah antara pilihan menu yang sesuai dihidangkan. Biasanya bila buat cucur udang ni masalahnya, bila digoreng ia ‘masuk minyak’ dan lembik. Itulah yang buat kita hilang selera nak makan. Gigit je cucur, terus mulut kita ‘bermandi’ minyak.
Ini salah satu resipi yang boleh anda gunakan untuk cucur udang yang rangup.
CUCUR UDANG RANGUP
BAHAN-BAHAN:
- 500gm tepung gandum
- 1 biji telur
- 1 paket yis segera | dicampur bersama 1 sudu gula dan ½ cawan air suam
- Air (ikut anggaran untuk bancuhan cucur)
- 1 sudu kecil garam
- Sedikit serbuk kunyit
- 200gm taugeh
- 1 pokok kucai
- 2 biji cili merah | dihiris nipis
- Minyak untuk menggoreng
CARA MEMASAK:
- Campurkan yis bersama air suam dan gula. Biarkan sehingga ia berbuih.
- Dalam mangkuk besar, masukkan tepung, serbuk kunyit dan garam. Kemudian digaul rata. Kemudian pecahkan telur dan masukkan bancuhan yis tadi bersama dua cawan air.
- Gaul sehingga semuanya sebati dan masukkan sayur-sayuran. Biarkan sebentar sehingga bancuhan nampak berbuih.
- Panaskan dan goreng dalam minyak yang banyak. Rendamkan sudip yang mahu anda guna dalam minyak panas. Kemudian barulah dituangkan adunan cucur tadi.
- Letakkan udang dan goyang-goyangkan adunan cucur sehingga tertanggal dari sudip.
- Perhatikan cucur sehingga kuning keemasan dan angkat untuk tos minyak.
*Jangan guna air panas untuk membancuh yis kerana ia akan ‘membunuh’ yis. Apabila anda mencampur gula ke dalam bancuhan yis, itu bagi mengaktifkannya. Bila naik berbuih, maknanya yis ‘hidup’ dan boleh digunakan.
*Untuk menjadikan cucur udang rangup, pastikan anda menggunakan sudip atau senduk yang leper supaya bahagian tepi cucur boleh menjadi lebih crispy.
*Goreng cucur dalam minyak sederhana panas untuk cucur yang rangup. Minyak yang tidak panas akan menyebabkan bancuhan cucur ‘masuk minyak’ dan minyak yang terlalu panas pula akan membuatnya menjadi hangit.
sumber foto: eatwhattonight.com
13 Kopi Aroma Super Lazat Luar Negara. Lain Negara Lain Cara Bancuhannya.
Nama-nama seperti latte, espresso, cappucino mungkin anda biasa dengan dan cuba. Tapi tahukah anda terdapat pelbagai lagi cara bancuhan kopi di luar negara? Namanya pun berbeza dan ada yang guna bahan tambahan seperti lemon dan keju. Macam menarik kan? Jom tengok apa lagi kopi yang ada.
1. DRIP COFFEE, AMERIKA SYARIKAT
Di Amerikat Syarikat, kopinya kebanyakannya dibancuh menggunakan biji kopi Arabica berbanding biji kopi lain. Kajian menunjukkan memanggang biji kopi apabila kopi sedang dibru sebenarnya boleh meningkatkan tahap antioksidan dalam kopi. Teknik drip ini juga bermaksud kopi dituang atas penapis dan dibiarkan menitik ke dalam kole atau mug.
2. TURKISH COFFEE, TURKI
Rasa kopi ini bukan sembarangan orang yang boleh meminumnya. Hanya penggemar kopi pekat, mungkin akan suka rasanya. Kopi tradisional ini lebih hitam dan rasanya juga lebih kuat. Jadi kalau anda bukan pencinta kopi sejati, pilihlah minuman lain.
Kopi ini dibuat dengan teknik mendidih (dimasak) dan bukan dibru (air panas dituang atas kopi dan dibiarkan mesra seketika). Disebabkan ia dididih katanya minuman ini mengandungi nutrisi sihat untuk jantung yang melindungi arteri.
3. EGG COFFEE, VIETNAM
Lupakan pencuci mulut, cubalah Vietnamese Egg Coffee. Seperti namanya ia dibancuh dengan kuning telur, susu pekat manis dan sudah tentulah kopi panas. Seakan tiramisu, gabungan susu dan kuning telur memberi khasiat protein.
4. KAFFEOST, FINLAND
Kopi dengan keju ? Itulah hidangan kopi yang akan anda jumpa bila melancong ke sana. Dihidang cara tradisional, kopi rakyat Finland ini akan dituang ke atas keju dipanggil ‘juustoleipa’ dan dibiarkan mesra seketika. Setelah habis kopi anda boleh makan keju tu. Menarik bukan?
5. CAFE’ DES E’PICES, MOROCCO (MAGHRIBI)
Dibuat dari campuran rempah seperti buah pala, lada hitam , biji bijan yang memberi rasa berempah. Sebagai antioksidan yang ‘power’, kajian mendapati buah pala juga boleh menenangkan perasaan dan meredakan tekanan.
6. CAFE’LAGRIMA, ARGENTINA
Dibuat dari susu yang distimkan berserta buih dan sedikit kopi. Cara terbaik mendapatkan khasiat kalsium . Ia seakan cappuciono tetapi tanpa rasa pahit espresso (kopi pekat hitam yang dibru dengan menekan air panas yang dituang diatas biji kopi yang dikisar halus).
7. CAFE’DEL OLLA, MEXICO
Kopi Mexico yang dibru dalam periuk tanah bersama kayu manis dan ‘piloncillo’(gula tebu mentah). Tapi berwaspada kerana minuman ini mengandungi kandungan gula yang agak tinggi untuk menenggelamkan rasa pahit kopi.
8. CAFE’ AU LAIT, PERANCIS
Bancuhan 1/2 kopi yang dibru dan separuh susu suam. Terdapat sedikit buih susu diatas kopi. Ini bermaksud kopi dicairkan dengan jumlah susu berkrim yang banyak. Tidak seperti kopi lain yang menggunakan susu sejuk atau creamer.
9. CAFE’BOMBON, SEPANYOL
Kopi popular rakyat Sepanyol. Bancuhannya adalah 1/2 kopi pekat dan 1/2 susu pekat manis. Hanya dua bahan ini diperlukan dan Cafe’bombon tidak memerlukan gula tambahan. Lihatlah lapisan yang terhasil. Nampak menarik bukan?
10. ESPRESSO ROMANO, ITALI
Satu perkara yang disetujui oleh penggemar kopi seluruh dunia adalah penduduk Itali memang arif dengan kopi mereka. Cubalah cara masyarakat Roman menikmati kopi iaitu dengan hirisan nipis Lemon digosok di keliling rim cawan untuk mengeluarkan rasa. Unik!
11. FLAT WHITE, AUSTRALIA DAN NEW ZEALAND
Dipopularkan oleh Starbucks, menu kopi ini telah menjadi terkenal di Amerika Syarikat. Dibuat dari espresso tapi hanya menggunakan 2/3 susu . Ia menjadi opsyen terbaik bagi mereka yang ingin mengurangkan penggunaan bahan tenusu.
12. YUAN YANG , HONG KONG
China dan Hong Kong terkenal dengan teh. Tetapi mereka juga ada minuman kopi popularnya tersendiri. Kopi terkenal Hong Kong ini dibuat dari campuran bru kopi kisar dengan teh hitam bersusu. Wow..Macam mana rasanya tu ya?
13. CAFE CUBANO, CUBA
Kopi ini ‘kuat’ dan bebas susu. Dibuat dari kopi hitam ekstra (pekat hitam) dan gula, menjadi kopi kegemaran masyarakat Cuba, Amerika Selatan. Biji kopi hitam (ekstra) yang dipanggang sebenarnya mengandungi 15 hingga 20 peratus pengurangan kafein berbanding kopi yang cair dan kurang pekat.
Sumber rujukan: www.shape.com
Chef Aminudin Kongsi 8 Sajian Utama Lauk Arab, Di Aroma Hijrah.
Menjejak kaki ke restoran Aroma Hijrah di Taman TTDI Jaya, aroma wangi rempah ratus sudah menusuk ke hidung. Sajian utama berdasarkan daging kambing, dan ayam menjadi menu tarikan ke sini. Pemilik dan Chefnya , Tn Hj Aminudin Resad bermurah hati untuk kongsi resepi rempah ratus sajian Arab bersama RASA.
1. Nasi Maqlubah Kambing
BAHAN-BAHAN :
- 1 kg beras basmathi /basuh dan rendam setengah jam
- 2 kg daging kambing /dipotong kiub 2 inchi@ 5 sm
- 4 sudu makan rempah Maqlubah
- 1 sudu makan serbuk lada hitam
- 2 liter air stok daging
- 2 biji bawang besar /dimayang
- 10 ulas bawang putih/ diketuk
- 2 batang kayu manis
- 10 biji bunga cengkih
- 10 biji buah pelaga
- 5 biji cili hijau / potong 1 inci@ 2.5 sm
- 3 biji lobak merah /dihiris dan goreng kuning keemasan
- 3 biji terung panjang /dipotong bulat 1 sm, digoreng kuning keemasan
- 6 biji kentang / dipotong bulat 1 sm , digoreng kuning keemasan
- 300 gm kubis bunga/ dipotong, digoreng kuning keemasan
- 1/2 cawan minyak masak
- 4 sudu makan minyak sapi
- 1 sudu makan garam halus
BAHAN HIASAN:
- Beberapa hiris tomato
- Beberapa helai daun pudina
- Beberapa hiris lemon
CARA MEMASAK :
- Daging kambing direbus selama 30 minit, dan ambil air stoknya.
- Panaskan minyak sapi dan minyak masak di dalam periuk.
- Tumiskan bawang besar dan bawang putih.
- Masukkan cili hijau bersama rempah ratus kayu manis, cengkih, pelaga, tumis hingga naik bau.
- Masukkan rempah maqlubah dan serbuk lada hitam . Tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan air rebusan daging kambing dan masukkan garam halus
- Didih dengan api perlahan selama 45 minit. Angkat asingkan kambing dan masukkan pula beras.
- Kacau dan ratakan beras, laraskan sukatan air kira-kira 40 mm melebihi paras beras.
- Biarkan mendidih dengan api sederhana dan tutup api sebelum kering.
- Sediakan periuk lain, masukkan satu sudu makan minyak masak.
- Masukkan satu senduk daging kambing, masukkan satu lapisan sayuran yang telah digoreng tadi diikuti satu lapisan beras. Lapiskan sayur, daging dan beras secara berselang seli.
- Setelah semua dimasukkan keringkan nasi menggunakan api paling kecil selama 20 minit.
- Setelah masak ambil dulang dan tutup periuk menggunakan dulang. Angkat periuk dan terbalikkan atas dulang tadi dan ketuk perlahan-lahan bahagian luar periuk.
- Tarik periuk keluar perlahan-lahan dan hiaskan nasi dengan hirisan lemon, daun pudina dan tomato.
Saiz hidangan : 8 -10 orang
Waktu memasak : 1 jam 45 minit
Cara memasak : Tumis dan reneh
Jenis hidangan : Nasi Arab
Keistimewaan : Berbeza dengan nasi Arab yang lain, nasi Maqlubah menggunakan sayur goreng sebagai ramuan.
INFO CHEF : Nasi Maqlubah adalah sajian Arab yang terkenal di Palestin dan Syria. Campuran daging dan sayur menjadikan ia sajian nutrisi lengkap berempah dan lazat.
2. Ayam Masywi @ Bakar
BAHAN-BAHAN:
- 1 ekor ayam/ seberat 1.8 kg dipotong empat
- 1 sudu makan serbuk jintan manis
- 1 sudu makan serbuk jintan putih
- 2.5 sm lengkuas
- 1/2 sudu makan serbuk kayu manis
- 1/2 sudu makan serbuk lada hitam
- 1/2 sudu makan serbuk buah pelaga
- 1 biji bawang besar /dikisar
- 5 ulas bawang putih /dikisar
- 2.5 sm halia /dikisar
- 3 sudu makan minyak zaitun
- 1 sudu makan cuka kurma @ epal
- 2 sudu makan yogurt
- 1 sudu garam halus
- 5 sudu makan madu /yang dicairkan
CARA MEMASAK :
- Kesemua bahan dimasukkan dalam pengisar dan tambah 1 cawan air, dan dikisar.
- Lumurkan bahan perapan ini pada ketulan ayam dan simpan dan peti sejuk sekurang-kurangnya empat jam.
- Bakar ayam dalam oven selama 1 setengah jam pada suhu 250 celcius.
- Selepas dikeluarkan dari , biarkan sejuk selama 30 minit.
- Sediakan pemanggang, dan bakar ayam atas bara arang selama lima minit.
- Sapu madu pada ayam, dan ia siap dihidangkan.
Saiz hidangan : 8-10 orang
Waktu memasak : 1 jam 40 minit
Cara memasak : Bakar dan panggang
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Rencah perapan ayam yang lama menyebabkan rasanya meresap ke daging ayam
INFO CHEF : Anda boleh juga memerap ayam semalaman . Campuran yogurt, rempah, madu mencipta kelazatan yang membangkit selera.
3. Sup Kambing Arab
BAHAN-BAHAN :
- 1 kg daging kambing /dipotong kiub 5 sm
- 1 sudu makan serbuk jintan manis
- 1/2 sudu makan serbuk jintan putih
- 1/2 sudu makan serbuk kulit kayu manis
- 1 sudu makan serbuk lada hitam
- 1 sudu makan rempah kurma
- 2 biji bawang besar /dimayang
- 10 ulas bawang putih/ dikisar
- 5 sm halia /dikisar
- 1.5 liter air stok rebusan daging
- 10 biji bunga cengkih
- 1 sudu makan cuka
- 5 biji buah pelaga
- 5 kuntum bunga lawang
- 2 batang saderi
- 2 biji tomato dipotong dadu
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
- Pijarkan minyak dan tumis bawang besar, bawang putih dan halia.
- Masukkan semua rempah yang telah dikisar dan segala rempah ratus.
- Setelah wangi dan pecah minyak, masukkan air stok dan daging kambing.
- Didih atas api perlahan selama satu jam dan masukan garam secukup rasa dan cuka.
- Setelah daging hampir empuk, masukkan potongan tomato dan hirisan saderi.
- Biar kira-kira lima minit mereneh, dan sup sedia dihidang.
Saiz hidangan : 4 orang
Waktu memasak : 1 jam 20 minit
Cara memasak : Didih dan reneh
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Sup berempah lazat dan menghangatkan tubuh
INFO CHEF: Daging kambing tinggi nilai protin di dalamnya dengan nisbah kandungan lemak yang sihat. Buang buih yang terbentuk ketika merebus daging agar ia tidak berbau.
4. AYAM HANITH PANGGANG
BAHAN-BAHAN :
- 1 ekor ayam (2 kg) / dipotong empat
- 2 sudu rempah hanith
- 1/2 sudu makan garam halus
- 1/2 sudu pewarna saffron
- 2 biji bawang holland /dimayang
- 1 biji lemoh /dihiris bulat
CARA MEMASAK :
- Campurkan dan gaul rata rempah hanith, garam dan pewarna saffron.
- Ayam yang telah dibersihkan ditabur rata dengan rempah
- Lapik lapisan aluminium di atas dulang, dan susun ayam di dalam dulang pembakar.
- Taburkan bawang holland dan susun hirisan lemon di atas ayam.
- Bakar dalam oven yang dipanaskan dengan suhu 250 darjah celcius selama 2 jam
- Ayam masywi sedia dihidang
Saiz hidangan : 4-5 orang
Waktu memasak : 2 jam
Cara memasak : Bakar
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Jus ayam yang terhasil bercampur rempah sungguh lazat
INFO CHEF : Ayam biar diperap dengan bahan-bahan ramuan agar rasanya lebih sebati dan meresap ke dalam daging
6. KAMBING HANITH TUMIS RENEH (BRAISED)
BAHAN-BAHAN :
- 1 kg daging kambing rusuk @bahu/ dipotong kiub 4”
- 100 gm rempah hanith
- 2 biji bawang besar /dikisar
- 5 ulas bawang putih /dikisar
- 2.5 sm halia /dikisar
- 2 batang kulit kayu manis
- 10 biji buah pelaga
- 5 biji bunga lawang
- 10 biji bunga cengkih
- 5 sudu makan minyak zaitun
- 30 gm daun ketumbar /dihiris
- 30 gm daun pudina /dihiris
- Garam secukup rasa
- 2 sudu makan yogurt
- Hirisan lemon dan daun pudina sebagai hiasan
CARA MEMASAK :
- Pijarkan minyak dalam kuali. Tumiskan bawang besar, bawang putih dan halia.
- Masukkan rempah empat sekawan. Tumis hingga wangi.
- Campurkan rempah hanith dengan sedikit air, dikacau dan ditumis
- Masukkan yogurt dan daging kambing
- Gaul perlahan-lahan selama tiga minit dan pindahkan kesemua bahan dalam dulang pembakar.
- Tutup dulang dengan kertas aluminium dan masukkan dalam oven yang sudah dipanaskan dengan suhu 200 celcius.
- Bakar selama dua setengah jam
- Setelah siap hidangkan dengan hirisan lemon dan daun pudina.
Saiz hidangan : 4-5 orang
Waktu memasak : 2 jam 30 minit
Cara memasak : Tumis, reneh dan bakar
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Campuran rempah Arab dan rempah ratus lain, melazatkan sajian.
INFO CHEF: Sedap dimakan bersama nasi Arab hanith, mandy dan kabsah, bakar dalam kertas alumuninium agar daging lebih berjus dan tidak kering.
6. Lamb Skewer
BAHAN -BAHAN :
- 1 kg daging kambing tanpa tulang /dipotong kiub 2”
- 1/2 sudu makan serbuk jintan manis
- 1/2 sudu makan serbuk jintan putih
- 1/2 sudu makan serbuk kayu manis
- 1/2 sudu makan serbuk lada hitam
- 1/4 sudu makan buah pelaga
- 5 ulas bawang putih /dikisar
- 2 sm halia /dikisar
- 3 sudu makan minyak zaitun
- 1 sudu makan cuka kurma atau epal
- 2 sudu makan yogurt
- Garam secukup rasa
CARA MEMASAK :
- Basuh daging dan toskan.
- Gaul rata semua bahan/rempah pada daging kambing dan diperap selama lima jam.
- Setelah diperap, cucuk daging pada besi ‘skewer’ atau lidi buluh.
- Bakar hingga masak di atas bara api, balik-balikkan hingga masak menyeluruh
- Lamb skewer siap dihidang
Saiz hidangan : 7- 8 orang
Waktu memasak : 15 minit
Cara memasak : Panggang
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Rasa rempah yang kuat dan rencah lain sungguh sedap dengan tambahan yogurt dan cuka epal
INFO CHEF : Usah panggang terlalu lama ia akan menyebabkan daging kering dan hilang jus. Perapan yang lebih lama, adalah lebih sedap dan sebati rasanya.
7. Puyuh gril dengan madu
BAHAN-BAHAN :
- 10 ekor burung puyuh
- 1 sudu makan serbuk jintan manis
- 1 sudu makan serbuk jintan putih
- 2.5 sm halia /dikisar
- 1/2 sudu makan serbuk kayu manis
- 1/2 sudu makan serbuk lada hitam
- Sedikit perahan lemon
- Sedikit garam lemon (lemon salt)
- Sedikit serbuk kunyit atau saffron
- Sedikit serbuk cili
- 5 sudu makan madu /dicairkan sedikit dengan air panas
CARA MEMASAK :
- Kesemua bahan dan rempah di atas digaul rata bersama daging puyuh dan diperap sekurang-kurangnya lima jam.
- Daging puyuh yang telah diperap disusun atas jaring pemanggang dan dipanggan atas bara api dengan kepanasan sederhana.
- Sentiasa balik balikkan agar tidak hangus.
- Selepas 10 minit angkat dan sapu dengan madu yang telah dicairkan.
- Daging puyuh sedia dihidang
Saiz hidangan : 10 orang
Waktu memasak : 10 minit
Cara memasak : Panggang
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Daging puyuh lembut dimakan. Sapuan madu melazatkan ramuan
INFO CHEF : Semasa memanggang, tuangkan air lebihan perapan di atas daging. Daging puyuh ini juga dihidangkan bersama nasi Arab atau dimakan begitu sahaja
8. Lamb Shank Bukhary
BAHAN-BAHAN :
- 4 ketul daging kambing shank (bahagian kaki bawah lutut /betis)
- 4 sudu makan rempah bukhary
- 3 sudu makan puri tomato
- 1.5 liter air stok rebusan daging
- 2 biji bawang besar /dikisar
- 10 ulas bawang putih/ diketuk
- 5 sm halia
- 2 batang kayu manis
- 50 gm daun ketumbar /dihiris halus
- 5 biji bunga cengkih
- 5 biji buah pelaga
- 5 biji bunga lawang
- 5 biji cili hijau /dipotong 2.5 sm
- 2 biji tomato dipotong empat
- 2 sudu makan minyak masak
- 2 sudu makan minyak sapi
- Garam secukup rasa
- Sedikit pewarna saffron
CARA MEMASAK :
- Rebus daging sehingga 30 minit
- Angkat dan keluarkan daging, ketepikan.
- Panaskan oven pada suhu 250 celcius selama 10 minit.
- Panaskan minyak masak dan masukkan sekali minyak sapi.
- Tumis bawang besar dan bawang putih dan masukkan cili hijau berserta rempah ratus empat sekawan.
- Masukkan pula rempah bukhari dan puri tomato, kacau dan tumis hingga pecah minyak.
- Masukkan hirisan daun ketumbar dan tomato
- Masukkan air rebusan kambing
- Masukkan garam dan pindahkan kesemua bahan di dalam dulang pembakar dan tutup dengan kertas aluminium
- Bakar di dalam oven selama 1 setengah jam pada suhu 250 celcius. Keluarkan dan ia siap dihidang.
Saiz hidangan : 4 – 6 orang
Waktu memasak : 1jam 40 minit
Cara memasak : Rebus, tumis dan bakar
Jenis hidangan : Lauk utama Arab
Keistimewaan : Sedap dimakan bersama nasi bukhari atau roti Naan/roti Arab
INFO CHEF : Semasa membersihkan daging buangkan tisu liat agar ia mudah empuk.
RESEPI : HJ AMINUDIN RESAD
Terima kasih : RESTORAN AROMA HIJRAH, Jalan Opera H U2/H, Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor