Bubur kacang hijau ini kalau layan waktu petang memang nikmat, makan pula yang disejukkan lagi sedap. Nak masak bubur ini ada macam-macam petua dan tip yang digunakan.
Salah satunya adalah perkongsian daripada No Or untuk sediakan bubur kacang hijau yang sedap dan wangi. Cara yang dipraktikkan, kacang hijau tak perlu direndam sebaliknya disangai.
“Ada sesetengah orang akan rendam kacang hijau terlebih dahulu, selepas itu, barulah direbus. Bezanya, resipi ini kacang hijau digoreng tanpa minyak atau sangai dulu. Ini resipi dari arwah opah dulu.
2 cawan kacang hijau
1 ketul gula melaka / gula kabung
1 sudu besar gula merah
3 sudu besar gula putih
3 sudu besar sagu (pilihan) – basuh dan rendam
Santan – Guna santan kotak je 200 ml + 1 cawan air.
Secubit garam
Daun pandan
1. Pilih kacang, buang yang hitam atau rosak mungkin ada batu. Basuh bersih dan toskan sekejap.
2. Goreng kacang tanpa minyak (sangai) sampai keluar bau wangi kacang.
3. Sediakan periuk dan masukkkan 2-3 cawan air. Masukkan kacang yang dah digoreng tadi.
4. Kemudian, masukkan daun pandan. Rebus sampai kacang lembut.
5. Seteruskan masukkan gula putih, gula merah dan gula melaka ke dalam periuk kacang tadi. Kacau sampai semua gula cair dan larut.
6. Kemudian masukkan santan, sagu dan garam. Masak hingga didih dan sagu elok masak. Kacau bubur jangan sampai santan pecah minyak.
7. Bila dah siap, boleh lah hidangkan, kalau nak makan panas panas. Tapi ada juga yang suka makan bubur sejuk sejuk.
Sumber: No Or