
Kebanyakan makanan laut seperti udang dan sotong kecut bila dimasak. Tak berbaloi rasanya bila masak dalam kuantiti banyak tapi hasil selepas masak jadi sebaliknya. Contohnya sotong, masa beli 1 kg, nampak banyak. Tapi bila dimasak, dapat satu pinggan je. Aduhai…Namun sebenarnya ada petua yang boleh dicuba untuk elakkan sotong dari terlalu kecut semasa dimasak. Mudah je. Puan-puan boleh cuba.
PETUA ELAK SOTONG JADI KECUT SEMASA MASAK
BAHAN-BAHAN:
- 1kg sotong segar
- 1 cawan air
- 2 sudu makan cuka
CARA-CARA:
1. Bersihkan sotong dan masukkan ke dalam bekas.

2. Tuang air dan cuka. Gaul rata. Biarkan selama 5 minit.

3. Kemudian toskan air sotong tadi.
4. Sedia untuk dimasak mengikut resipi kegemaran masing-masing. Hasilnya sotong yang dimasak akan jadi lembut, tidak terlalu kecut dan sedap.

RESIPI SOTONG SUMBAT PANGGANG

BAHAN-BAHAN:
- 500gm sotong
- 20gm bawang putih | dikisar
- 15gm halia | dikisar
- 3 biji cili padi | dikisar
- 10gm garam
- 5gm serbuk kunyit
- Minyak masak secukupnya
CARA MEMASAK:
- Bersihkan sotong dan perasakan dengan garam serta serbuk kunyit.
- Kemudian perapkan bersama bahan-bahan yang telah dikisar.
- Oles sedikit minyak pada pemanggang dan panggang sotong sehingga masak.
- Angkat dan bolehlah dinikmati mengikut cita rasa anda.
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
6 Makanan Tinggi Protein Ni, Boleh Cepat Sembuhkan Luka…

Nak sembuhkan luka cepat, biasanya dikaitkan dengan vitamin C. Tetapi sebenarnya makanan yang tinggi kandungan proteinnya juga memberikan khasiat yang diperlukan untuk proses penyembuhan luka.

Anda kena percaya nih sebenarnya apa yang anda makan, boleh menentukan cepat atau lambat tubuh anda sembuh. Makanan yang tinggi kandungan protein ada kebaikan jangka panjang kepada tubuh kerana setiap sel di dalam tubuh mengandungi protein.
Jadi , pilihlah makanan kaya protein untuk bantu sembuhkan luka…
1. KEKACANG

Kekacang (legumes) memang sumber terbaik kaya protein. Anda boleh masukkan kacang merah, dhal, kacang pis ke dalam diet anda. Campurkan ke dalam nasi goreng dan pasta atau lauk .
2. KACANG

Kacang seperti kacang tanah, gajus, badam juga adalah sumber hebat dalam membekalkan protein dalam tubuh. Kudapan enak yang menceriakan ini boleh meningkatkan proses penyembuhan luka. Tabiat memakan kacang ni baik untuk kesihatan daripada anda memilih kudapan yang memudararkan seperti kentang goreng atau makanan ringan lain (jajan).
3. TELUR

Telur boleh sahaja diadunkan ke dalam pelbagai jenis hidangan makanan. Telur adalah efektif untuk menghimpun kandungan makanan yang kaya protein. Pun begitu kena jangan berlebihan sebab kuning telur juga tinggi kolestrol. Jadi bersederhanalah lebih lagi jika anda ada masalah isu kesihatan jantung.
4. AYAM

Ayam adalah salah satu sumber daging yang sihat dan kaya protein. Ia juga mudah dipelbagaikan dalam hidang. Beli ayam tanpa tulang seperti bahagian dada dan pangganglah ke dalam ketuhar, dah pun siap sajian tinggi protein anda.
5. SUSU

Susu adalah cara terbaik menguatkkan tubuh. Jika tubuh anda alah kepada laktos, atau anda tak suka minum susu lembu ada pilihan susu lain yang kaya protein seperti susu badam, susu soya. Jadikan susu sebagai rutin minuman harian anda.
6. SUPLIMEN PROTEIN

Jika anda alah atau tidak suka makanan dalam senarai di atas, anda boleh aje memasukkan suplimen protein (makanan tambahan/kesihatan) di dalam diet pemakanan. Terdapat pelbagai suplimen (makanan kesihatan) yang boleh membantu proses menyembuhkan luka.
Di antaranya adalah protein ‘whey’ (larutan cecair/air bila susu sudah berketul), protein soya dan protein berasaskan tumbuh-tumbuhan (dalam bentuk serbuk). Ambil secawan air atau susu dan kisarkan bersama sesudu dua serbuk suplimen kesihatan itu.
Nak Kurangkan Guna Santan Dalam Masakan? Gantikan Saja Dengan 6 Bahan Ni.

Santan adalah salah satu bahan masakan wajib bagi rakyat Malaysia. Maklumlah pelbagai jenis hidangan tradisi kebanyakannya menggunakan santan sebagai bahan utama. Bermula dari penyediaan kuih muih hinggalah ke sajian lauk pauk.

Namun ada juga yang memilih untuk tidak menggunakan banyak santan disebabkan faktor masalah kesihatan. Namun begitu, ia tidak bermaksud anda tidak boleh menikmati sajian kegemaran seperti masak lemak, rendang, kari dan sebagainya. Ada cara lain yang boleh dibuat bagi menghasilkan masakan tanpa santan tapi mempunyai rasa yang sedap.

Bagi menggantikan santan kelapa segar, ada juga boleh memilih untuk menggunakan santan kotak atau santan serbuk segera yang kurang kolesterol. Tapi, bagaimana jika sudah nak cari, kehabisan stok atau anda tak nak guna santan tersebut? Ha…ini dia 6 bahan yang boleh anda guna bagi menggantikan santan. Sesuai digunakan untuk masak lauk pauk, kuih muih dan juga minuman.
1. SUSU BADAM

Rendam 1 cawan ( 240gm) badam semalaman. Kemudian kisar dengan air suam atau susu. Jika mahukan tekstur susu yang pekat, lebihkan jumlah badam. Tapis sebelum digunakan ke dalam masakan. Susu badam ini sesuai digunakan dalam masakan kari dan gulai.
2. YOGURT

Untuk menghasilkan masakan seakan bersantan yang enak, anda juga boleh menggunakan yogurt tanpa perisa. Selain menyedapkan masakan, hidangan yang dihasilkan juga lebih sihat dan rendah kalori. Namun tekstur yogurt sedikit kental dan berketul. Untuk menjadikan kuah lebih cantic, masukkan yogurt ke dalam pengisar dan tambah sedikit kuah masakan. Kisar seketika dan barulah dituang ke dalam masakan.
3. CAMPURAN KRIM RENDAH LEMAK & SUSU

Selain bahan-bahan diatas, anda juga boleh menggunakan krim dan susu. Caranya ialah untuk sukatan 1 cawan santan, anda guna 1/2 cawan krim rendah lemak dan campurkan dengan 1/2 cawan susu. Kacau rata dan kisar seketika supaya sebati. Siap dan boleh digunakan. Namun campuran krim dan susu ini hanya memberikan rasa berkrim sahaja. Sesuai digunakan untuk buat manisan.
4. SUSU CAIR & SUSU PEKAT MANIS

Susu isian sejat (susu cair) atau susu pekat manis adalah antara bahan yang mudah diperolehi. Biasanya, ramai yang menggunakan susu sejat sebagai pengganti santan kerana rasanya yang sedikit tawar dan berlemak. Namun jika tiada susu cair, anda juga boleh menggunakan susu pekat manis. Untuk 1 cawan santan, ia boleh digantikan dengan 1 cawan susu cair atau 3/4 cawan susu pekat manis. Namun anda perlu menyesuaikan rasa kerana susu pekat manis mempunyai rasa yang lebih kompleks dan lebih berperisa. Kedua-dua ini sesuai digunakan untuk menghasilkan manisan atau ditambah ke dalam masakan nasi tumis.
5. WHIPPING & COOKING CREAM

Anda juga boleh menggunakan krim putar ( whipped cream) atau krim masakan dalam hidangan bersantan anda. Biasanya bahan-bahan ini digunakan untuk membuat sos sajian barat seperti pasta. Tapi, boleh je gunakan sebagai bahan ganti kepada santan untuk masakan Melayu. Rasanya tetap enak dan sangat mudah digunakan.
6. SERBUK KRIMER

Biasanya krimer ini digunakan sebagai campuran dalam minuman. Jangan tak tahu, anda juga boleh gunakannya sebagai pengganti santan dalam masakan. Caranya ialah dengan bancuh 5 sudu makan krimer dengan 1 cawan air. Ubah suai kepekatan bergantung pada masakan anda. Memang mudah dan sedap. Sesuai digunakan dalam masakan kari, kurma dan rendang.
Selamat mencuba!
Rempah Ratus VS Herba Dalam Masakan, Ini Perbezaannya.

Apa bezanya rempah ratus dan herba dalam masakan? Bunyi macam sama, kadang-kadang kita guna kedua istilah ini untuk maksud yang sama, rempah ratus disebut bahan penumis dan begitu juga sebaliknya. Tapi bila diteliti semula baru sedar bahawa ia dua perkara yang berbeza kalau dilihat jenis dan fungsinya dalam masakan. Bagi mengetahui perbezaan ini dengan lebih jelas, anda perlu baca penjelasan di bawah ini.

Istilah
Bahan herba atau disebut juga bumbu, adalah seperti bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit hidup, serai, cili daun kunyit, daun kari dan daun limau purut. Ia dikenali juga sebagai bahan asas dalam masakan dan diguna sebagai penyedap masakan. Sementara rempah ratus adalah bahan beraroma yang kuat, contohnya kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang, ketumbar, jintan, lada hitam dan beberapa lagi. Ia tidak termasuk sebagai bahan asas dalam masakan kerana masakan tertentu sahaja ,menggunakan rempah ratus. Selain digunakan untuk tujuan masak, sebahagian rempah ratus juga boleh digunakan sebagai ubat untuk tujuan kesihatan.

Jenis:
Herba dalam masakan ada dua jenis iaitu yang basah dan kering. Yang dikatakan bahan basah termasuklah bahan segar, sama ada yang dikisar atau dihiris halus dan sifatnya tidak tahan lama. Ia boleh tahan hingga seminggu jika disimpan dalam peti sejuk. Sementara jenis kering adalah herba segar yang telah dikeringkan dan dikisar halus seperti serbuk kunyi, ia boleh disimpan lebih lama, daun kari atau salam yang dikeringkan. Berbeza dengan herba, rempah ratus dijual dalam bentuk kering dan juga telah dijadikan serbuk untuk memudahkan penggunaannya.
Penggunaan
Herba sangat penting dalam masakan kerana ia adalah bahan asas yang memberikan rasa pada makanan dan wajib ada dalam masakan. Sementara rempah ratus dimasukkan dalam masakan tertentu seperti kari dan sebahagian masakan yang bertumis dan memerlukan rempah ratus untuk membangkitkan aroma. Ia juga boleh digabungkan dengan bahan ramuan masakan dalam mendapatkan rasa yang lebih sedap.

