Pisang adalah buah tempatan yang sangat kaya dengan khasiat. Ia terdiri dari air (75%), protein (1.3%) dan lemak (0.6%). Setiap buah pisang juga mengandung karbohidrat dan potasium dalam jumlah cukup.
Buah ini mengandungi tiga jenis gula semula jadi – sukrosa, fruktosa dan glukosa yang sangat bagus untuk kanak-kanak yang sedang membesar.
Malah pisang juga memberikan tenaga dengan kadar segera dan berterusan. Kajian menunjukkan bahawa dua biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit. Tidak hairanlah pisang dijadikan buah utama kepada atlit terkenal dunia.
Pisang juga dikatakan mempunyai banyak manfaat terhadap kesihatan. Antaranya:
MANFAAT PISANG
- DARAH TINGGI DAN STROK – pisang membantu menurunkan tekanan darah kerana kandungan potasiumnya yang tinggi.
- KOLESTEROL – pisang rendah dari segi kalori lemak, sodium yang membantu merendah kolesterol.
- CIRIT-BIRIT – potasium dan magnesium yang terkandung di dalam pisang amat sesuai merawat masalah cirit-birit.
- ANAEMIA – anaemia ialah penyakit kurang darah. Pisang kaya dengan zat besi. Oleh itu ia boleh merangsang penghasilan haemoglobin di dalam darah.
- KEMURUNGAN – Jika anda stress atau mengalami kemurungan, cuba amalkan pengambilan pisang. Ini kerana pisang dikatakan mengandungi sejenis protein yang membantu kita menjadi tenang.
- Bagaimanapun, pisang tidak sesuai bagi pesakit kencing manis. Ini kerana kandungan gula di dalam pisang adalah tinggi. Terdapat 25 gram gula setiap 126 gram pisang.
Bagi yang ingin menikmati khasiat pisang, pelbagai sajian boleh dihasilkan menggunakan bahan ini. Antaranya ialah kuih muih, kek, manisan, kerepek dan juga minuman. Smoothies Pisang ni contohnya, sesuai dinikmati sewaktu sarapan dan membuatkan anda berasa kenyang dengan lebih lama. Bolehlah cuba.
SMOOTHIE PISANG BERSAMA MENTEGA KACANG
BAHAN-BAHAN:
- 2 biji pisang sederhana besar } potong
- 500ml susu UHL
- 60gm mentega kacang
- 2 sudu makan madu
- Kiub ais secukupnya
CARA MEMASAK:
- Masukkan pisang yang telah dipotong kasar, susu, mentega kacang, madu dan kiub ais di dalam pengisar. Kisar hingga ia bertukar menjadi sebati dan ais hancur kira-kira 30 saat.
- Tuang ke dalam gelas dan hiaskan dengan hirisan pisang jika suka. Sedia dihidangkan.
Info Chef: Boleh juga tambahkan sedikit yogurt jika suka.