Putih Telur Kena Pukul Asing, Baru Dapat Telur Dadar Gebu & Lembut Macam Ni

Share

Telur dadar memang dah jadi lauk kebiasaan kita dan ada banyak versi. Ada yang suka telur dadar garing tapi yang pasti ramai suka ia lembut dan gebu di dalam. Nak dapat hasil telur dadar gebu ini boleh gunakan teknik kedua yang dikongsi oleh Nur Mashitah

Teknik buat telur dadar gebu

Teknik masakan yang berbeza mampu menghasilkan hidangan yang berbeza meski pun menggunakan bahan yang sama. Begitu juga apabila anda ingin menghasilkan telur dadar yang gebu.

Ada teknik atau cara yang boleh diguna pakai bagi menghasilkan telur dadar yang gebu. Cuba bezakan dua teknik di bawah:

Teknik Pertama
Pukul telur putih dan telur kuning di dalam satu bekas dan kemudian goreng.

Teknik Kedua
Asingkan kuning telur dan putih telur. Pukul kedua bahan di dalam bekas yang berasingan. Putih telur dipukul sehingga kembang seakan-akan awan putih. Kemudian kuning telur di gaul dengan perlahan ke dalam bekas yang mengandungi putih telur tadi dan kemudian goreng.

Kedua-dua teknik ini menggunakan bahan yang sama, tetapi hasilnya berbeza. Telur dadar yang dihasilkan dengan teknik kedua akan lebih gebu daripada teknik pertama.

Hasilnya…

Apabila putih telur dipukul, anda sebenarnya sedang menambahkan udara pada putih telur.

Udara yang terperangkap menghasilkan buih-buih seperti awan putih tadi dan meningkatkan isipadu telur. Hasilnya telur tampak lebih gebu dan lebih besar berbanding teknik pertama.

Hebat bukan, hanya dengan mengubah cara atau teknik masakan mampu menghasilkan produk yang berbeza.

Selain teknik pukulan, kesegaran dan suhu telur juga memainkan peranan dalam penghasilan buih yang stabil.

Jom kongsikan cara anda menghasilkan telur dadar yang gebu.

Sumber rujukan: Lomakina, K., Míková, K. (2006). A study of the factors affecting the foaming properties of egg white – a review. Czech Journal of Food Sciences, 24(No. 3), 110–118.

Gambar: Sumber Google

Sumber: Nur Mashitah
Sembang Science

 

Published by
Rose