Rasa Instafamous, Program Memasak RASA untuk siri yang keempat ini menampilkan Instafamous pertama lelaki dan bujang, Wan Mohd Raffie Wan Yusof, anak kelahiran Terengganu.
Beliau yang berhijrah ke Kuala Lumpur dan kini aktif menjalankan bisnes online kek dan pastri tidak menduga dipilih sebagai tetamu Rasa Instafamous untuk berkongsi tiga resipinya. Apa yang menarik, selain pandai memasak, Raffie juga sebenarnya seorang yang pakar dalam kek dan pastri.
Sebagai buah tangan untuk semua penonton Rasa Instafamous, Raffie telah berkongsi tiga resipi kegemarannya, Kerabu Mangga, Sambal Udang Petai dan Bubur Pulut Hitam yang sangat menggoda rasa melihat Raffie menyediakan masakan tersebut.
Menariknya, gabungan Raffie bersama pengacara Auntie Aini umpama ibu dan anak yang begitu serasi berkongsi passion yang sama di dapur. Sambil memasak bersama, mereka saling berkongsi tip dan petua memasak dengan penonton, sudah tentu suasana ini mengembalikan nostalgia penonton memasak bersama ibu di kampung.
Pengaruh Media Sosial
Instafamous masakan yang mempunyai follower lebih 205k ini memang tidak menyangka kuasa media sosial boleh menjadikan seseorang itu ramai follower dan mampu menjana pendapatan lumayan jika rajin berusaha.
“Saya mula berjinak dengan kerja memuat turun video masakan hanya setahun lepas dengan niat sekadar suka-suka di instagram. Kebanyakan video masak saya adalah resipi yang mudah, ringkas dan sedap pada tekak orang bujang macam saya. Sambil masak saya rakam video .
“Dari hanya memuat turun video dan gambar, akhirnya ramai yang mintak saya sharekan sekali resipi. Secara tak sengaja saya bagaikan ada komitmen bila masa terus buat video sekali untuk disharekan di Instagram. Semua ini bermula hanya setahun lepas je. Tak sangka bila ramai follower. Saya dapat pula rezeki untuk review beberapa produk berkaitan makanan untuk dimuat turunkan dl instagram saya.
Sekarang Raffie telah membuat review beberapa produk secara langsung atau tidak langsung dengan cara memasukkan produk tersebut dalam masakan yang dimasak olehnya.
“Media sosial sekarang bukan hanya sebagai saluran untuk promosi produk tetapi juga boleh mendatangkan bisnes. Seronok bekerja sendiri seperti ini, lebih-lebih lagi melakukan kerja yang saya minat dan mengikut fleksibel masa sendiri. Apa yang penting adalah kesungguhan dan disiplin diri untuk berjaya,” ujar Raffie mengucapkan terima kasih kerana diberi kepercayaan sebagai tetamu program Rasa Instafamous.
Untuk anda yang belum menyaksikan program memasak Rasa Instafamous, jangan lupa saksikan di saluran Astro Proma dan Maya HD setiap hari Insin jam 12.00 tengah hari dan siaran ulangan pada jam 9.00 malam.