Rasa: Ketuhar Kuali Ep 12 Kongsi 3 Resipi Enak, Lauk Utama Dan Kudapan

Share

Sekali lagi program Rasa: Ketuhar Kuali kembali dengan 3 resipi enak yang mudah dibuat. Gabungan idea resipi generasi Senior Aunty Aini dan pewaris dari golongan belia Adam Didam menghasilkan menu yang amat membangkitkan selera. Dengar nama menunya pun dah cukup buat kita terliur

3 resipi hebat minggu ini adalah Asam Pedas Ikan Jenahak, Cucur Udang dan Muffin Coklat Lava. Bagi siapa yang mahu mencatatkan resipi ini menjadi koleksi menu berharga anda, ni Rasa kongsikan ketiga-tiga resipi dalam rancangan Rasa: Ketuhar Kuali Episod 12. Cubalah , ya

CUCUR UDANG

BAHAN-BAHAN:

  • 500gm tepung naik sendiri
  • ½ kg udang kertas
  • 6 biji cili hijau
  • 6 biji cili merah
  • Daun kucai secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • 6 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • Daun bawang secukupnya
  • Minyak masak untuk menggoreng
  • Stok ikan bilis secukup rasa
  • Gula secukup rasa

Bahan Sos :

  • Sedikit air
  • Sedikit cuka
  • 4 biji cili merah
  • 2 biji cili padi
  • 4 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih

CARA MEMASAK
1. Hiris cili, daun kucai, daun bawang, bawang merah, bawang putih, dan stok ikan bilis.
2. Tambahkan tepung dan udang kemudian gaul rata.
3. Perasakan dengan garam, dan tambahkan sedikit air.
4. Panaskan minyak, dan goreng cucur dalam minyak penuh.
5. Untuk sos, kisar cili merah, cili padi, bawang merah dan bawang putih bersama sedikit air.
6. Masak bahan kisar bersama sedikit gula, garam dan cuka sehingga masak dan pekat.
7. Siap untuk dihidang.

ASAM PEDAS IKAN JENAHAK

BAHAN-BAHAN:

  • 20 biji cili kering | direbus
  • 5 sm lengkuas
  • 4 batang serai
  • 5 biji buah keras
  • 5 sm kunyit hidup
  • 5 sm belacan
  • Asam Jawa secukupnya | dicampur air
  • 6 biji bawang merah
  • 6 ulas bawang putih
  • Beberapa helai daun limau purut
  • 1 ekor ikan Jenahak
  • 10 batang bende
  • Beberapa daun kesum
  • 1 batang bunga Kantan
  • Buah keras secukupnyas

CARA MEMASAK :
1. Panaskan minyak.
2. Kisar serai, lengkuas, belacan, daun limau purut, cili kering rebus, buah keras, bawang merah, bawang putih, kunyit bersama air.


3.Tumis serai dalam minyak panas, kemudian masukkan bahan kisar.
4. Masukkan sedikit air dan didih hingga air mengering. Tambah air lagi, dan ulang proses yang sama selama 3 kali sehingga cili masak.
5. Masuk air asam jawa, dan tambahkan air mengikut kepekatan kuah.
6. Setelah kuah menggelegak, taburkan garam secukup rasa.
7. Kemudian masukkan ikan, bunga kantan, dan biarkan mendidih sehingga ikan masak.
8. Setelah mendidih, taburkan daun kesum dan tutup api.
9. Siap untuk dihidang.

MUFFIN COKLAT LAVA

  • 115gm mentega
  • 100gm gula perang
  • 110m gula halus
  • ½ sudu kecil esen vanila
  • 1 biji telur
  • 210gm tepung serbaguna
  • ½ susu kecil garam
  • ½ sudu kecil sodium bikarbonat
  • 150gm cip coklat
  • 100gm coklat gelap

CARA MEMASAK:
1. Dalam satu mangkuk, masukkan mentega dan mesinkan hingga gebu.
2. Masukkan gula putih, gula perang, esen vanila, kemudian mesinkan hinga tekstur berderai.
3. Masukkan telur dan mesinkan lagi.
4. Masukkan tepung, soda bikarbonat, dan garam kedalam adunan kemudian gaulkan.
5. Masukkan cip coklat dan gaul rata.
6. Buat bebola bersaiz sederhana dalam masukkan potongan coklat gelap didalam.
7. Masukkan doh kecil kedalam dulang pembakar muffin, dan tekankan kedalam sehingga padat.
8. Bakar selama 15-20minit pada suhu 180’C.
9. Siap untuk dihidang.

Published by
Faridah Talib