Bila sebut sahaja kari, pasti ramai yang terbayang aroma harum rempah ratus, kuah pekat berempah dan rasa yang membangkitkan selera. Kari bukan sekadar hidangan, ia adalah warisan budaya yang menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau usia.
Tahun ini, sempena Festival Budaya Malaysia 2025 anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara dan RASA tampil menganjurkan sebuah acara yang cukup luar biasa iaitu RASA Layan Curry Fiesta 2025, sebuah pesta penuh warna-warni yang bakal mencatat sejarah sebagai himpunan kari paling meriah di negara ini.
Bertempat di Laman Cita Rasa Warisan, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur (Laman 5), fiesta ini berlangsung selama lima hari bermula 12 hingga 16 September 2025, dari jam 9 pagi hingga 11 malam.
Sepanjang tempoh ini, pengunjung bakal dihidangkan dengan pelbagai pengalaman kulinari yang bukan sahaja memikat selera, tetapi juga menyatukan jiwa rakyat Malaysia di bawah panji 1001 rasa.
Lebih istimewa, YAB Perdana Menteri Malaysia (PMX) akan hadir bagi merasmikan Festival Budaya Malaysia ini pada 13 September 2025, jam 8.30 malam. Kehadiran beliau sebagai simbol sokongan kepada warisan kulinari negara pasti menambah seri dan memberi makna besar kepada acara berskala nasional ini.
Kemuncak acara yang paling dinantikan ialah Kenduri Kari Malaysia 68 yang ditaja oleh TUMIX® pada 13 September 2025. Bayangkan suasana kenduri paling besar yang bakal menyajikan lebih 2,000 pax kari percuma untuk orang ramai. Lebih menarik lagi, sebahagian daripada sajian kari merupakan kari warisan kebangsaan yang telah digazetkan pihak Jabatan Warisan Negara. Sejumlah lebih 12 jenis makanan berasaskan kari dihidangkan percuma nanti. Sesi demo memasak Kari Daging Umbut Pisang turut diadakan pada jam 12 tengah hari.
Ads
Sajian ini disediakan oleh gabungan hotel dan katerer ternama seperti Royale Chulan Hotels & Resorts Malaysia, Hotel TAMU KL, Shah Alam Convention Centre (SACC), Zai Sri Gemilang Catering Shah Alam dan beberapa penyedia makanan lain.
Aroma kari yang pekat berempah, dimasak dengan penuh kasih sayang oleh chef berpengalaman, pasti membuatkan setiap suapan membawa rasa syukur dan kebersamaan.
Fiesta ini turut diteruskan dengan Kenduri Makan Roti Jala Jelita Jalur Gemilang pada 14 September 2025. Sebanyak 2000 keping roti jala dan roti jala jelita elemen Jalur Gemilang akan diagihkan secara percuma, bukan sahaja untuk dimakan tetapi juga untuk dinikmati keindahan seni kreatif rakyat Malaysia yang menjala dengan penuh warna-warni sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Lebih menarik, rakyat turut berpeluang menunjukkan bakat dalam Pertandingan Roti Jala Jelita Jalur Gemilang Gala pada hari yang sama. Pertandingan ini menuntut kreativiti dalam menghasilkan roti jala jelita paling unik dengan corak patriotik, dan pemenang bakal membawa pulang hadiah wang tunai sehingga RM800.
Ads
Bagi pencinta roti canai pula, jangan lepaskan peluang menyaksikan kehebatan tangan-tangan cekap dalam Pertandingan Roti Canai Melayang tajaan Seri Pelangi pada 15 September 2025. Acara ini dijangka menjadi antara yang paling riuh dengan aksi roti canai berterbangan ke udara, termasuk penampilan khas Amir Hamzah, Super Roti Man Malaysia dan adik Amsyar, juara roti canai tertinggi kategori kanak-kanak.
Fiesta ini mencapai kemuncaknya pada 16 September 2025 dengan Pertandingan Teh Tarik King & Queen tajaan OKI. Inilah masanya untuk menyaksikan aksi paling kreatif dan paling meriah dalam dunia teh tarik. Gaya tuangan, ketinggian tarikan dan buih paling gebu akan menentukan siapa yang bakal dinobatkan Raja dan Ratu Teh Tarik tahun ini, dengan hadiah wang tunai menanti pemenang.
Ads
Selain dapat menyertai semua aktiviti yang dianjurkan, pengunjung juga berpeluang menikmati makanan jualan para pengusaha makanan berasaskan kari.
Keseluruhan fiesta ini bukan sekadar pesta makanan. Ia adalah cerminan kepada budaya dan identiti Malaysia. Lebih daripada seribu jenis sajian kari warisan dan fusion bakal diketengahkan, menjadikan acara ini platform terbaik untuk mengangkat martabat kari sebagai warisan kebangsaan yang menyatukan hati rakyat.
RASA Layan Curry Fiesta 2025 adalah bukti bahawa makanan mampu menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat berbilang bangsa. Dari semangkuk kari ke secawan teh tarik, setiap suapan membawa erti kebersamaan. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini. Tandakan tarikh anda, ajak keluarga dan rakan-rakan, dan mari kita bersama-sama meriahkan pesta kari terbesar Malaysia!
Tak tahu nak masak apa? Lubuk resipi RASA kini di SEENI, tak perlu susah lagi.
Download
sekarang!
Nasi Ambeng kini diisytihar dan diwartakan sebagai makanan warisan Selangor!
Majlis perisytiharan dan pewartaan makanan warisan tersebut dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Hotel Avani, Sepang.
Tujuan pewartaan nasi ambeng sebagai makanan warisan Selangor adalah bagi memberi ketetapan untuk ciri-ciri elemen nasi ambeng yang asli dan berasal dari Selangor.
Menurut Amirudin, pengisytiharan yang dilakukan ini ingin memartabatkan dan memastikan kelestarian nasi ambeng sebagai salah satu makanan warisan yang terdapat di Selangor.
“Proses bagi pewartaan nasi ambeng telah bermula semenjak tahun 2021 dan dimulakan dengan kajian sumber bertulis dan kajian lapangan, kemudian disusuli dengan Bengkel Meja Bulat yang dihadiri oleh para pengusaha nasi ambeng dari lima daerah yang popular dengan hidangan ini iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.
“Hasil daripada perbincangan tersebut telah memberikan satu kata putus bagi menghasilkan ciri-ciri Nasi Ambeng Selangor yang kemudian diwartakan sebagai Makanan Warisan Selangor,” jelas Amirudin.
Chef Suwarsi M Arukin, antara individu yang terlibat proses pewartaan Nasi Ambeng Selangor.
Umumnya, Nasi Ambeng dikenali sebagai makanan tradisional masyarakat Jawa yang kebiasaannya dihidangkan ketika kenduri seperti tahlil dan doa selamat.
Isinya terdiri daripada nasi putih yang dihidangkan bersama dengan lauk seperti ayam, sambal goreng Jawa, serunding kelapa dan mi goreng.
Juadah ini dihidangkan di dalam talam dan dikongsikan bersama-sama empat hingga enam tetamu.
Mengikut tradisi masyarakat Jawa, ketua keluarga yang menghadiri majlis tersebut akan menjamah sedikit nasi berkenaan sebelum ia dibahagikan dan dibawa pulang sebagai berkat kepada ahli keluarga di rumah.
Keunikan cara nasi ambeng dihidangkan ini menjadikannya menu tradisi yang bukan hanya enak malah mempunyai nilai falsafah yang tersendiri seperti kesepakatan dan perpaduan antara ahli masyarakat.
Bagi ciri-ciri Nasi Ambeng Tradisional Selangor, ia perlulah mengandungi nasi putih, ayam masak semur, mi goreng, ikan masin, serunding kelapa, sambal goreng dan rempeyek.
Tidak dilupakan, sempena pengisytiharan tersebut, Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS) menganjurkan Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor 2022 hari ini dari jam 9 pagi hingga 4 petang.
Ia merupakan suatu program kebudayaan dan kemasyarakatan bagi mewujudkan kesedaran berkenaan kepentingan nasi ambeng sebagai juadah tradisional daripada sudut budaya serta identiti bangsa di Selangor.
Sebanyak 2,022 dulang Nasi Ambeng dihidangkan secara percuma, sekali gus mencipta rekod di dalam Malaysia Book of Records sebagai hidangan nasi ambeng terbesar di Malaysia.
Teringin dessert yang lemak manis, korang boleh cuba dua jenis pemanis mulut berasasakan tepung pulut ini. Bubur Butir Nangka dan Puteri Mandi, kedua manisan ini sangat mudah disediakan dan tak banyak guna bahan. Tak sampai 30 minit korang boleh siapkan dengan mudah. Jangan tunggu lagi kalau ada tepung pulut dan kelapa dalam peti sejuk, boleh cuba petang ni…
BUBUR BUTIR NANGKA BAHAN-BAHAN:
1 cawan tepung beras pulut
3 sudu makan air daun pandan
Sedikit pewarna hijau
1 sudu makan air kapur
1/2 sudu teh garam
Air secukupnya
BAHAN KUAH:
300ml santan
10ml susu cair
150gm gula melaka
1/2 sudu makan halba | cuci dan tos
1 helai daun pandan
1/2 sudu teh garam halus
CARA MEMASAK:
Untuk menyediakan adunan butir nangka, masukkan tepung bersama bahan lain dalam mangkuk, kemudian uli hingga sebati.
Sementara itu, didihkan air dalam periuk.
Sementara menunggu air rebusan mendidih, bentukkan adunan seperti biji nangka, lakukan hingga adunan habis.
Masukkan adunan dalam air mendidih.
Apabila butir nangka timbul angkat dan masukkan dalam bekas berisi air sejuk.
Untuk menyediakan kuah, masukkan santan, gula Melaka, daun pandan dan sedikit garam dalam periuk.
Renehkan atas api sederhana, apabaila mendidih, masukkan susu cair dan biji halba, kacau seketika dan tutup api.
Bubur Butir Nangka sedia dihidangkan.
KUIH PUTRI MANDI BAHAN-BAHAN:
3 cawan tepung pulut
Air secukupnya
Secubit garam
Seddikit pewarna merah, hijau dan kuning
BAHAN KELAPA:
1 mangkuk kelapa parut | putih sahaja
1 keping gula Melaka
1/2 cawan air
1 helai daun pandan
Secubit garam
CARA MEMASAK:
Campurkan tepung dengan sedikit garam halus gaul rata.
Masukkan air sedikit demi sedikit sambil adaun hingga jadi doh.
Bahagikan doh menjadi tiga bahagian, pewarnakan setiap doh dengan warna merah, hijau dan kuning. Adun lagi hingga pewarna sebati.
Bentukkan doh menjadi bulat, kemudian leperkan sedidkit dan tekan ditengahnya.
Sementara itu didihkan air, dan rebus doh hingga timbul.
Angkat dan masukkan dalam bekas berisi air sejuk. Ketepikan.
Untuk menyediakan bahan kelapa, didikan air dalam kuali bersama gula Melaka dan daun pandan.
Setelah gula larut dan kuah pekat, masukkan kelapa dan sedikit garam halus, kecilkan api dan gaul rata lebih kurang 3-5 minit. Tutup api.
Kemudian, masukkan doh yang telah direbus ke dalamnya dan gaul rata.
Dato’ Aliuff Syukri beli private jet? Terkini di media sosial, Dato’ Aliff Syukritular sekali lagi hari ni. Bukan sebab lagu baru, bukan juga drama TikTok tapi mengenai video dan gambar usahawan hebat ini posing depan private jet miliknya.
“Masyaallah…Tabarakallah. Berkat menjual jeruk bersama Amayan, kita telah berjaya membeli sebuah…happy tak?”
Ramai ‘followers’ meninggalkan komen di posting tersebut. Macam-macam komen ada. Ada yang kagum, bangga dan macam-macam lagi.
Ramai yang tumpang gembira, senang hati dan bersyukur dengan kejayaan yang diperoleh oleh keluarga usahawan popular ini.
Nak ikut jejak langkah Dato’? Mungkin anda pun boleh cuba jual Jeruk Mangga guna resipi di bawah ni. Selamat mencuba!
Nak makan kuetiau tapi malas nak keluar? Jom belajar cara buat kuetiau homemade yang mudah, bersih dan jimat. Resipi lengkap Kak Yong Ima Shida, confirm jadi!