Rempah Ratus VS Herba Dalam Masakan, Ini Perbezaannya.

Share

Apa bezanya rempah ratus dan herba dalam masakan? Bunyi macam sama, kadang-kadang kita guna kedua istilah ini untuk maksud yang sama, rempah ratus disebut bahan penumis dan begitu juga sebaliknya.  Tapi bila diteliti semula baru sedar bahawa ia dua perkara yang berbeza kalau dilihat jenis dan fungsinya dalam masakan.  Bagi mengetahui perbezaan ini dengan lebih jelas, anda perlu baca penjelasan di bawah ini.

Istilah 

Bahan herba atau disebut juga bumbu, adalah seperti bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit hidup, serai, cili daun kunyit, daun  kari dan daun limau purut. Ia dikenali juga sebagai bahan asas dalam masakan dan diguna sebagai penyedap masakan.  Sementara rempah ratus adalah bahan beraroma yang kuat, contohnya kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang, ketumbar, jintan, lada hitam dan beberapa  lagi.  Ia tidak termasuk sebagai bahan asas dalam masakan kerana masakan tertentu sahaja ,menggunakan rempah ratus.  Selain digunakan untuk tujuan masak, sebahagian rempah ratus juga  boleh digunakan sebagai ubat untuk tujuan kesihatan.

Jenis:

Herba dalam masakan ada dua jenis iaitu yang basah dan kering. Yang dikatakan  bahan basah termasuklah  bahan segar, sama ada yang dikisar atau dihiris halus dan sifatnya tidak tahan lama. Ia boleh tahan hingga seminggu jika disimpan dalam peti sejuk. Sementara jenis kering adalah herba  segar yang telah dikeringkan dan dikisar halus seperti serbuk kunyi, ia boleh disimpan lebih lama, daun kari atau salam yang dikeringkan. Berbeza dengan herba, rempah ratus dijual dalam bentuk kering dan  juga telah dijadikan serbuk untuk memudahkan penggunaannya.

Penggunaan

Herba sangat penting dalam masakan  kerana ia adalah bahan asas yang memberikan rasa pada makanan dan wajib ada dalam masakan.  Sementara rempah ratus dimasukkan dalam masakan tertentu seperti kari dan sebahagian masakan yang bertumis dan memerlukan rempah ratus untuk membangkitkan aroma.  Ia juga boleh digabungkan dengan bahan ramuan masakan dalam mendapatkan rasa yang lebih sedap.

 

Published by
Norasida Myasin