Resipi 4 Jenis Bubur Paling Sedap Dan Menyelerakan

Share

 

Ketika waktu lapang misalnya petang-petang, mesti terasa nak makan sesuatu. Bubur atau pengat adalah salah satu hidangan yang paling sedap untuk dimakan. Rasanya lemak manis. RASA berikan 4 resipi yang pasti membuatkan anda puas hati.

BUBUR KACANG HIJAU

BAHAN-BAHAN
1 mangkuk kacang hijau
2 cawan santan + 1 cawan air
3 1 helai daun pandan (disimpul)
2 inci halia
Gula merah secukupnya
Sedikit garam

CARA MEMBUAT
1. Rebus kacang hijau sampai lembut. Angkat dan toskan. Ketepikan.
2. Masukkan santan dalam periuk.
3. Masukkan daun pandan, halia, gula merah dan garam.
4. Biarkan mendidih.
5. Masukkan kacang hijau. Kacau sebati. biarkan mendidih dan matikan api.

BUBUR BARLI

BAHAN-BAHAN
1 cawan barli (direndam 1 jam dan toskan)
1/2 cawan gula pasir
2 sudu besar gula merah
1 cawan santan pekat
2 helai daun pandan (disimpul)
Sedikit garam

CARA MEMBUAT
1. Rebus barli dengan 2 cawan air sehingga kembang. Lebih kurang 30 minit.
2. Dalam periuk lain, isi 1/2 cawan air. Kemudian masukkan gula pasir dan gula merah. Biarkan mendidih.
3. Tapiskan bancuhan gula ke dalam periuk berisi barli tadi.
4. Masukkan santan, daun pandan dan garam. Kacau sehingga mendidih lagi.
5. Masukkan ke dalam mangkuk dan sedia hidangkan.

BUBUR CHA CHA

BAHAN-BAHAN
100 gram tepung Cha Cha kering
300 gram keladi | rebus setengah masak
200 gram keledek kuning | rebus setengah masak
200 gram keledek oren | rebus setengah masak
200 gram keledek ungu | rebus setengah masak
70 gram sago mata ikan

BAHAN KUAH SANTAN
400 ml santan cair
400 ml santan pekat
2 helai daun pandan
300 gram gula
1 sudu teh garam

CARA MEMBUAT
1. Rebus tepung cha cha kering. Bila sudah terapung, angkat dan rendam dalam air.
2. Rebus keladi dan keledek hingga empuk secara berasingan. Angkat dan toskan.
3. Seterusnya masukkan bahan ubi-ubian dalam periuk bersama santan cair, gula, secubit garam dan daun pandan.
4. Renehkan hingga ubi empuk.
5. Setelah empuk, tambahkan santan pekat, tepung Cha-Cha yang telah direbus tadi dan bersama sagu, sederhanakan api, kacau hingga kuah mendidih.
6. Perasakan dengan secubit garam.
7. Setelah cukup rasa, tutup api dan hidangkan panas atau sejuk.

BUBUR PULUT HITAM

FB : Resepi Mutiara HATI

BAHAN-BAHAN
1 1/2 cawan pulut hitam
6 cawan air untuk merebus pulut
2 helai daun pandan, carikkan dan simpul
2 cawan santan cair
Garam secukup rasa
3/4 cawan gula
1/2 ketul gula melaka
2 cawan santan pekat
1 sudu besar tepung jagung
1 cawan air
Sedikit garam

CARA MEMBUAT
1. Rebus pulut hitam dengan 6 cawan air dan daun pandan sehingga lembut. Pastikan api sederhana sahaja. Pulut hitam akan pecah kembang apabila lembut. Biarkan pulut masak dan kuah menjadi pekat.
2. Masukkan santan cair, garam, gula dan gula melaka. Masak sehingga bahan larut dan kacau. Kemudian masukkan 1 cawan santan pekat dan sebatikan. Sesuaikan rasa.
3. Dalam periuk lain, masak santan pekat di atas api kecil. Sentiasa kacau supaya tidak berketul. Tambahkan tepung jagung yang telah dicampurkan 1 cawan air. Kacau sebati sebelum ditambah masuk ke dalam periuk. Masukkan sedikit garam sedikit. Kacau dan utup api.

Selamat mencuba!

Published by
Maryam Elyas