Pisang Benggala @Gala@gallor ( dialek Kelantan) ini adalah jenis pisang yang mempunyai biji yang banyak. Daunnya biasanya digunakan untuk membalut makanan manakala hanya buah yang muda sahaja diambil untuk dijadikan masakan. Salah satu sajian yang popular menggunakan pisang ini adalah Acar Pisang. Sedap! Jika susah nak jumpa pisang gala muda, boleh digantikan dengan pisang muda.

BAHAN-BAHAN:

  • 5-6 biji pisang gala/benggala/gallor muda
  • 2 sudu makan cuka
  • 1 1/2 sudu makan cili giling
  • 3 ulas bawang merah | dikisar
  • 2 ulas bawang putih | dikisar
  • Sedikit halia | dikisar
  • Sedikit garam
  • Gula dan gula melaka/manisan secukupnya
  • 1 biji bawang besar | dihiris
  • 2 biji cili merah | dibelah
  • Santan pekat dan santan cair secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Kelar pisang halus-halus namun jangan sampai putus. Rendam dengan air garam semalam.
  2. Rebus/ celur pisang tadi seketika (jangan sampai betul-betul masak pula). Toskan airnya dan perah buah sebiji demi sebiji bagi mengeringkan air. ( jangan sampai pisang hancur).
  3. Tumis bawang merah, bawang putih, halia, cili giling bersama cuka. Masak hingga serasi dan naik minyak.
  4. Kemudian masukkan gula serta gula melaka/manisan secukupnya. Ia penting bagi mendapatkan warna acar yang cantik dan kemerah-merahan.
  5. Masukkan santan pekat dan cair sebagai kuah. Apabila santan mendidih masukkan pisang yang telah diperah tadi.
  6. Biarkan sehingga kuah dan pisang masak dan sekata. Perasakan dengan garam secukupnya.
  7. Kemudian bolehlah dimasukkan hirisan bawang besar dan cili merah. Setelah kuah kelihatan agak pekat, padamkan api.
  8. Sedia untuk dinikmati. Untuk lebih sedap, tunggu acar betul-betul sejuk terlebih dahulu dan pisang kelihatan sebati dengan kuah. Barulah dimakan.

Kredit resipi & gambar: Wandra D’ralif via MAHN