Resipi Aneka Sup Sedap, Sesuai Makan Ketika Berbuka

Share

Di bulan Ramadan ini, memang sedap jika berbuka dengan aneka sup enak. Hirup kuah panas-panas, perghhh…memang membuka selera. Ada terasa rempah, harum bau sup, malah jika suka pedas dan masam, boleh tambah hirisan cili dan juga perahan jus limau nipis. Terasa kesegarannya. Bagi anda yang bercadang nak masak sup untuk berbuka hari ini,  pelbagai resipi dibawah ni anda boleh cuba. Semuanya mudah dan sedap-sedap belaka. Selamat mencuba!

 

1. SUP EKOR SPECIAL

BAHAN-BAHAN:

  • 400gm ekor | bersihkan dan rebus ¾ masak
  • 400ml air rebusan ekor
  • 1 biji tomato | belah 4
  • 1 batang saderi | potong
  • 1 batang serai | titik
  • 5 tangkai cili padi | ketuk
  • 1 keping asam gelugur
  • 2 inci lengkuas
  • 1 bungkus sup bunjut
  • Garam dan serbuk perasa secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Masukkan air rebusan ekor tadi ke dalam periuk dan didihkan.
  2. Masukkan kesemua bahan di atas kecuali ekor.
  3. Biarkan kuah sup mendidih seketika dan masukkan ekor dan tutup api.
  4. Angkat dan sedia dinikmati panas.

Info chef:  Ekor direbus dahulu supaya ia lebih empuk.

 

 2. SOTO DAGING

BAHAN-BAHAN:

  • 1 kapit nasi impit segera | rebus hingga lembut, sejukkan dan ketepikan

BAHAN UNTUK KUAH:

  • 500ml air
  • 400gm daging | rebus empuk, carik-carik

BAHAN UNTUK SUP:

  • 50gm rempah sup
  • 1 biji bawang merah
  • 1 inci halia
  • 1 bungkus sup bunjut
  • Air rebusan daging secukupnya
  • 30ml minyak masak untuk menumis
  • Garam dan serbuk perasa secukupnya

BAHAN SAYUR:

  • 30gm tauge
  • 40gm kacang goreng
  • Limau kasturi
  • Sedikit daun bawang

BAHAN UNTUK SAMBAL KICAP:

  • 50gm cili padi
  • 40ml kicap manis
  • 30gm gula pasir
  • 20ml air

CARA MEMASAK:

  1. Kisar semua bahan untuk sup kecuali sup bunjut, minyak dan air rebusan.
  2. Panaskan minyak masak di dalam kuali dan tumis bahan kisar hingga terbit wangi.
  3. Masukkan air rebusan, diikuti dengan sup bunjut, garam dan serbuk perasa secukup rasa. Gaul sebati.
  4. Biarkan ia mendidih, tutup api.
  5. Untuk menyediakan sambal kicap; kisar kesemua bahan hingga sebati.
  6. Untuk menyediakan soto; masukkan nasi impit ke dalam mangkuk. Tuang sup dan letakkan daging yang telah dicarik-carik, tauge, hirisan daun bawang, limau kasturi dan kacang goreng di atasnya.
  7. Sedia dinikmati bersama sambal kicap.

 

3. SUP TULANG RUSUK

BAHAN-BAHAN:

  • 400gm tulang rusuk lembu | bersihkan dan rebus ¾ empuk
  • 400ml air rebusan tulang
  • 3 biji buah pelaga
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 50gm rempah sup
  • 1 bungkus sup bunjut
  • 2 inci halia | hiris tebal
  • 1 batang serai | titik
  • 1 keping asam gelugur
  • Garam dan serbuk perasa secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Didihkan air rebusan tulang tadi dan masukkan kesemua bahan di atas kecuali tulang, garam dan serbuk perasa.
  2. Biarkan kuah mereneh dan mendidih seketika dan masukkan tulang.
  3. Perasakan dengan garam dan serbuk perasa secukup rasa. Kacau sekata.
  4. Angkat dan sedia dinikmati.

 

 4. BIHUN SUP BEBOLA DAGING

BAHAN-BAHAN:

  • 100gm bihun | celur ke dalam air panas hingga lembut, sejukkan
  • Bebola daging secukupnya
  • Air rebusan daging secukupnya
  • Garam dan serbuk perasa secukupnya

BAHAN KISAR:

  • 50gm rempah sup
  • 1 bungkus sup bunjut
  • 1 biji bawang merah
  • 1 inci halia
  • 2 biji buah pelaga
  • 1 batang kulit kayu manis
  • Minyak masak secukupnya

BAHAN SAYUR:

  • 30gm tauge
  • Sedikit daun sup
  • Sedikit limau nipis

CARA MEMASAK:

  1. Untuk membuat sup; Kisar kesemua bahan kecuali sup bunjut. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga terbit bau.
  2. Masukkan air rebusan daging, sup bunjut, bebola daging bersama garam dan serbuk perasa secukupnya. Kacau sekata.
  3. Biarkan mendidih, tutup api.
  4. Untuk menghidang; masukkan sedikit bihun ke dalam ke dalam mangkuk. Tuangkan sup, atur bebola daging di atasnya.
  5. Letakkan sedikit tauge, hirisan daun sup dan limau nipis di atas.
  6. Sedia dinikmati bersama sambal kicap.

 

5. SUP GEAR BOX

BAHAN-BAHAN:

  • 2 kg Tulang lembu Gear-Box
  • 5cm halia ] dititik
  • 1 biji bawang besar ] dihiris
  • 3 ulas bawang putih ]ketuk
  • 1 bungkus sup bunjut
  • 2 sudu makan serbuk ketumbar ]jadikan pes
  • 1 sudu makan serbuk jintan manis ] jadikan pes
  • 1 sudu makan serbuk jintan putih ]jadikan pes
  • 2 biji buah pelaga
  • 1cm kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga cengkih
  • 1kuntum bunga lawang
  • 5 biji cili padi ] ketuk
  • Sedikit bawang goreng ] hiasan
  • Daun sup secukupnya ] hiasan
  • Air limau nipis secukupnya
  • Air untuk merebus secukupnya
  • Minyak untuk menumis secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam sebuah periuk, rebus tulang sampai empuk. Setelah empuk, angkat tulang dan ketepikan.
  2. Masukkan sup bunjut, halia dan bawang besar di dalam rebusan sup. Teruskan mereneh menggunakan api yang kecil. Ketepikan.
  3. Ambil kuali dan letakkan dua sudu makan minyak masak dan tumis rempah empat sekawan iaitu buah pelaga, kulit kayu manis, bunga cengih dan bunga lawang secara berasingan. Kemudian masukkan pes rempah serta bawang putih dan halia yang dititik. Setelah naik bau wangi, tuangkan bahan goreng ini ke dalam periuk air rebusan tulang.
  4. Kacau dan didihkan. Masukkan semula tulang tadi ke dalam sup. Perisakan garam dan gula.
  5. Tuang air limau nipis dan suaikan rasanya.
  6. Masukkan beberapa biji cili padi yang diketuk dan suaikan rasa pedasnya. Dalam mangkuk besar, masukkan tulang dan taburkan daun sup serta bawang goreng sebagai hiasan.

 

6. SUP DAGING

BAHAN-BAHAN:

  • 1 kg daging | direbus seketika bersama 2 helai daun pandan
  • 3-4  biji cili padi
  • 1 kiub pati daging
  • 1 sudu kecil garam
  • Sedikit daun ketumbar
  • Sedikit daun bawang
  • 1 sudu kecil lada hitam | ditumbuk kasar

BAHAN TUMIS:

  • 4 sudu makan rempah sup
  • 100gm bawang kecil | dikisar halus
  • 30gm bawang putih | dikisar halus
  • 50gm  halia | dikisar halus
  • 2 batang kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • Sedikit bunga cengkih dan buah pelaga

 CARA MEMASAK:

  1. Tumiskan bahan kisar bersama rempah sup, kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga sehingga garing.
  2. Kemudian masukkan bahan tumisan ke dalam air rebusan daging. Masukkan pula bancuhan tepung dhal, cili padi, lada hitam beserta daun ketumbar.
  3. Perasakan secukupnya dan biarkan mendidih.
  4. Setelah mendidih, taburkan daun bawang dan tutup api.

 

7. SUP KAMBING BEREMPAH

BAHAN-BAHAN:

  • 5 keping isi dan tulang kambing
  • 1 biji bawang Bombay | dihiris
  • 3 ulas bawang putih | dihiris
  • 2 ulas bawang merah | dihiris
  • 2 sudu makan serbuk rempah sup | tambahkan sedikit air supaya menjadi pes
  • 1 bungkus sup bunjut
  • 1 kiub stok daging
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu teh serbuk lada hitam
  • 1 liter air
  • 1 biji ubi kentang | dipotong kiub
  • Hirisan cili merah secukupnya
  • Hirisan daun bawang secukupnya
  • Minyak masak untuk menumis

CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang Bombay, bawang merah dan bawang putih sehingga layu. Kemudian masukkan pes rempah sup dan sup bunjut. Tumis seketika.
  2. Masukkan daging serta tulang kambing dan gaul sebati. Tambahkan air dan kacau sebati. Perlahankan api dan biarkan sup merenih.
  3. Tambahkan kiub stok dagingdan ubi kentang. Biarkan sehingga masak.
  4. Perasakan dengan garam mengikut cita rasa anda.
  5. Hidangkan bersama hirisan cili merah dan daun bawang.

 

Dapatkan lebih banyak resipi yang mudah, sedap & cepat masak di laman web RASA: 

 

Tonton lebih banyak video masakan mudah & sedap di Youtube @Majalah Rasa Official

 

Published by
Nur