Kali ini RASA ingin kongsikan resipi cucur bilis kentang. Ya, cucur bilis kentang adalah hidangan yang biasa-biasa saja. Tapi dengan cara buat yang betul, cucur bilis kentang tak cukup sepinggan. Sebab apa? Sebab teksturnya rangup di luar dan lembut di dalam.
Cucur bilis kentang sesuai dimakan pada waktu pagi sebagai sarapan dan juga untuk minum petang. Namun ada juga yang membuat cucur bilis kentang sebagai selingan pada waktu malam sambil-sambil mengopi seisi keluarga.
Melalui lama facebook Suzana Othman, wanita ini kongsikan resipi cucur bilis kentang yang mungkin boleh buat anda bersemangat untuk memasak.
Sesuai dimakan dengan sambal kicap. Boleh juga dicecah bersama sos cili. Ikut selera anda.
Selain dipanggil cucur, ada juga tempat yang menamakan hidangan ini sebagai jemput-jemput. Tak kisah apa namanya, hidangannya sama saja ya.
BAHAN A
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 genggam ikan bilis
CARA MEMBUAT BAHAN A
1. Tumbuk semua BAHAN A.
2. Boleh juga dikisar kasar-kasar.
BAHAN B
2 cawan tepung gandum
1½ cawan air panas
2 biji kentang (disagat)
Daun bawang (dihiris)
Garam secukupnya
BAHAN C
Minyak masak untuk menggoreng
CARA MEMBUAT CUCUR BILIS KENTANG
1. Satukan BAHAN A dan BAHAN B dalam satu bekas besar.
2. Adun sehingga sebati
3. Panaskan minyak masak secukupnya. Cucurkan adunan ke dalam kuali. Boleh gunakan sudu atau gunakan tangan.
4. Goreng sehingga kekuningan. Angkat, toskan dan sedia dihidang.
Selamat mencuba!
Sumber: facebook Suzana Othman