Nak tahu cara buat cucur udang yang senang tapi sedap? RASA berikan resipi cucur udang yang mudah tapi sedap. Antara menu jualan laris di gerai untuk minum petang adalah cucur udang. Selain pisang goreng, cucur udang juga amat menarik perhatian untuk dibeli dan dijadikan hidangan minum petang. Apatah lagi kalau dimakan panas-panas. Tepung yang digoreng bersama udang dan juga sayuran, kemudian dimakan pula dengan sos cili memang sangat mengasyikkan.
.
BAHAN-BAHAN
• 1 kg tepung gandum
• 1 peket mauripan
• 1 batang lobak merah (disagat halus)
• Sedikit daun kucai
• Sedikit taugeh
• Sedikit garam
• Air secukupnya
• Udang
• Minyak masak
CARA MEMBUAT
1. Satukan tepung gandum, mauripan, lobak merah, daun kucai, taugeh dan garam. Bancuh dengan air. Jangan pekat dan jangan cair sangat.
2. Peram bancuhan dalam sejam.
3. Apabila sudah kembang bolehlah digoreng bersama-sama udang.
4. Tekan sikit udang pada bancuhan tadi supaya udang tidak jatuh.
5. Api jangan terlalu besar. Nanti masak di luar saja tapi di dalam mentah lagi.
Resipi oleh Hamizah Yatim dari Telegram KakiMakan